26 Ogos 2009

SPRM Kuda Tunggangan UMNO /BN

nkues kematian mendiang Teoh Beng Hock hari ini bermula jam 9.15 pagi dengan mahkamah memanggil semula saksi ke- 16, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Anuar Ismail. Ini merupakan kali ke 3 beliau dipanggil memberi keterangan.

Seawal prosiding Anuar telah diasak bertubi- tubi oleh peguam yang mewakili keluarga mendiang Beng Hock, Gobind Singh Deo.

Dalam soal balas itu, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau diarahkan untuk mempercepatkan siasatan kes yang melibatkan Beng Hock sebagai saksinya kerana isu penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan Negeri Selangor heboh dimainkan di dada-dada akhbar tempatan.

Anuar mengakui beliau telah diarahkan orang dua orang pegawai atasannya untuk berbuat demikian.

Anuar memberitahu mahkamah dua individu yang mengarahkannya ialah Timbalan Pengarah SPRM, Hishamuddin Hashim dan Ketua Unit Siasatan SPRM, Hairul Idham Hamzah.

Salah satu nama yang disebutkan oleh Anuar sama dengan nama yang terdapat dalam surat misteri yang diberikan oleh Gobind.

Mahkamah berhenti rehat seketika.

Prosiding bersambung dengan menyaksikan Anuar terus diasak oleh Gobind.

Dalam sesi soal jawab itu, Anuar mengakui bahawa pihaknya tidak menunggu kehadiran peguam M. Manoharan sebelum memulakan soal siasat. Bagaimana pun, Anuar menyatakan kepada mahkamah bahawa beliau percaya si mati ada menghubungi Manoharan dan bertanya sama ada ingin datang ke pejabat SPRM atau tidak.


Gobind kemudiannya mendapatkan kepastian Anuar mengapa beliau tidak menunggu kehadiran peguam, Manoharan. Anuar menjawab jika peguam Manoharan ingin datang, tiada halangan bagi pihaknya. Namun beliau mengakui tidak berusaha untuk menunggu atau mendapatkan peguam bagi pihak Beng Hock.

TV Antara mendapatkan komen dari M. Manoharan berkenaan dengan kenyataan Anuar tersebut.

" Saya dinafikan hak untuk bersama-sama dengan Teoh Beng Hock. Saya naik ke tingkat 14 untuk bersama-sama dengan Teoh Beng Hock tapi apabila saya tiba di kaunter pertanyaan tingkat 14, saya tidak dibenarkan masuk ke bilik penyiasatan. Saya dibiar menunggu lebih kurang 1 jam di tempat menunggu untuk berjumpa Beng Hock. Akhirnya, tidak dapat berjumpa dengan Beng Hock. Saya tidak dibenarkan langsung untuk berada bersama-sama dengan Beng Hock dari awal sehingga akhir" kata Manoharan.

Malah suasana menjadi semakin tegang apabila Anuar mengakui dia tidur sewaktu sesi soal siasat berjalan iaitu kira-kira jam 2.30 pagi 16 Julai sehingga jam 8.30 pagi hari yang sama.

Gobind bertanya kepada Anuar, sekiranya siasatan terhadap Beng Hock ingin dipercepatkan, mengapa Anuar boleh tidur hampir sepanjang malam.

Dalam sesi soal siasat itu juga, Anuar mengakui telah menerima arahan dari Hishamuddin supaya tidak membuat laporan polis ketika beliau melihat mayat Beng Hock terdampar di tingkat lima bangunan Plaza Masalam.

Rentetan diasak bertubi-tubi oleh Gobind, Anuar akhirnya mengaku dia megabaikan Beng Hock semasa menjenguk mangsa yang sedang disoal siasat, kerana beliau tidak melakukan apa-apa apabila mangsa tidak memberikan respon ketika ditanya keadaannya.

Malah Anuar berkata dia menyedari perubahan mangsa dari reaksinya tetapi masih tidak berbuat apa-apa.

Anuar bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa Teoh telah dikerumuni oleh 10 orang pegawai semasa soal siasat. Sebaliknya beliau menjelaskan hanya 2 orang pegawai yang menjalankan proses soal siasat.

"Soalan ditanya dan kepada saya, jelas apa yang dinyatakan oleh saksi terdapat banyak isu yang timbul khususnya setelah SPRM tahu bahawa saudara Teoh Beng Hock telah meninggal dunia bila melihat mayat pada jam 2 petang, apa tindakan dan sebagainya? Banyak perkara yang dibangkitkan pada hari ini" menurut Gobind.

Mahkamah hari ini menyaksikan Tunang mendiang Teoh, Soh Cher Wei turut bersama-sama dengan ahli keluarga mendiang untuk mengikuti prosiding hari ini.

Koroner membenarkan permohonan Abdul Razak supaya pegawai penyiasat, ASP Mohd Nazri Zainal merakamkan kenyataan saksi ke-16, Mohd Anuar Ismail berkenaan hasil siasatan SPRM terhadap Beng Hock.

Prk N11 Permatang Pasir : Calon Bersih dan Berwibawa bawa tuah

Pemimpin Pakatan Rakyat bersetuju bahawa kemenangan Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir menunjukkan pemilihan calon yang berwibawa disamping manifesto perubahan yang jelas menjadi penentu sokongan rakyat.

Naib Presiden Pas Mahfuz Omar dalam satu sidang media selepas pengumuman kemenangan PRK Dun N11 berkata, telahan pimpinan gagasan kerajaan alternatif bahawa rakyat sudah semakin bijak menilai ternyata tidak meleset.

“Corak 2008 masih kekal kerana pengundi mahukan pemrubahan sistem dan cara yang mana dorak kepimpinan yang berintegriti perlu ada pada seseorang pemimpin,” katanya pada sidang media yang diadakan sebentar tadi.

Mahfuz, hari ini genap 52 tahun, juga menggangap kemenangan ini adalah hadiah hari jadi yang kedua buat beliau selepas memenangi kes saman terhadap media pro-kerajaan baru-baru ini.

Beliau menambah pelbagai taktik dan isu yang dibawa Umno-BN dalam tempoh berkempen ternyata gagal, seraya menuntut pimpinan Umno-BN supaya mengambil iktibar dari kekalahan ini.

“Saya minta maaf kepada pemimpin Umno-BN di atas kemenangan kami. Walaupun sasaran satu undi majority, 1 Malaysia 1 undi untuk majoriti. Jadi bila dapat 4551 undi ini maknanya 4551 peratus naik,” katanya.

Sementara itu Adun Permatang Pasir Salleh Man berkata, kemenangannya adalah mustahil tanpa kerjasama erat jentera kerajaan dan sokongan majoriti rakyat.

“Kerjasama yang ditunjukkan jentera (Pakatan Rakyat) seluruh negara membawa hasil kejayaan murni iaitu kemenangan Pas di Dun N11 Permatang Pasir. Kita akan meletakukan satu tanggungjawab yang baik dan bekerjasama dengan semua pihak.

“Walaupun pelbagai fitnah yang dilontarkan akhirnya kita capai kemenangan dan pertahan kemenangan di kawasan ini,” katanya.

Isteri Salleh Man, Siti Fatimah Osman menganggap kemenangan suaminya adalah kemenangan bersama hasil sokongan semua pihak.

Mengulas mengenai Menteri Dalam Negeri yang marah kononnya penyokong Pakatan bertindak ganas semasa tempoh pembuangan undi, Mahfuz berkata, isu berkenaan tidak timbul. Sebaliknya beliau kecewa dengan tindakan BN memperalat pelajar-pelajar sekolah menengah dari Kepala Batas yang berseragam baju Pemuda Umno untuk membantu kempen mereka.

Beliau mempersoalkan tindakan Umno mendirikan sepanduk dan panji menghina Pas dan Pakatan Rakyat sepanjang tempoh berkempen, yang menurut Mahfuz menerapkan nilai tidak elok dalam diri belia muda.

“Kalau hendak murid-murid sekolah ini sebagi satu pendedahan kepada politik saya tidak kata ia salah tetapi jangan kita bentuk budaya yang tidak elok iaitu jadi budaya ganas budaya liar.

“Apakah ini modul baru kepada rakan muda yang akan dibawa oleh kementerian belia di negara kita. Jadi saya cukup kesal atas apa yang berlaku,” katanya.

Akhirnya UMNO tak laku juga di Permatang Pasir

Walaupun pelbagai taktik kotor yang digunakan Umno-BN dalam pilihanraya kecil Dun N11 Permatang Pasir namun taktik berkenaan terbukti gagal apabila calon Pas Salleh Man dipilih pengundi Dun berkenaan untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Salleh Man yang mendapat 9618 undi, menang dengan majoriti 4551 undi sekaligus mengalahkan calon Umno-BN Rohaizat Othman yang hanya mendapat 5067 undi.

Sebelum ini, bekas Adun Permatang Pasir - Allahyarham Mohd Hamdan Abdul Rahman telah mengalahkan calon Umno-BN Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti sebanyak 5,433 undi.

Pilihanraya kecil kali ini juga menyaksikan seramai 20,350 pengundi berdaftar yang layak keluar mengundi dengan peratusan pengundi - 72 peratus terdiri daripada kaum Melayu, 25.7 peratus kaum Cina, 1.2 peratus kaum India dan 0.2 peratus lain-lain.

Kemenangan ini sekaligus menyaksikan Salleh Man dapat mengekalkan dan sekaligus mempertahankan kerusi Dun N11 yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Mohd Hamdan sejak pilihan raya umum 1999.

Kejayaan ini juga menyaksikan Pas berjaya mempertahankan kerusi tradisi yang telah disandang sejak tahun 1999.

Pilihanraya kali ini memperlihatkan kekalahan kali ke-7 berturut-turut BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil yang diadakan sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu.

Malam ini bertempat di Markaz induk Permatang Pasir juga, akan diadakan satu ceramah bagi meraikan kemenangan Pas yang akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

kami dari saff kepimpinan Majlis Tindakan Dun N26 Serkam mengucapkan tahniah dan syabas atas kemenangan PAS dan Ummat Islam di Pulau Pinang.

12 Ogos 2009

UMNO SENGAJA CARI NAHAS DENGAN RAKYAT

TIMBALAN Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba-tiba membuka gelanggang perdebatan, dengan mendakwa Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.

Media massa yang menjadi alat pengampu Umno-Barisan Nasional digunakan sehebat-hebatnya untuk menyerang Anwar dan mengecam PAS yang turut diheret sama kononnya menggadai masa depan Melayu-Islam kerana berkawan dengan DAP.

Seolah-olahnya Muhyiddin dan media pengampunya mahu memberitahu rakyat bahawa Umnolah sebuah parti yang jujur dan tulen memperjuangkan nasib Melayu.

Jujurkah Umno? Tulenkah Umno? Memang isu ini amat menarik untuk diperdebatkan, khususnya oleh orang-orang Melayu, kerana ia bakal membuktikan kepada rakyat, siapa sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu.

Seharusnya Muhyiddin mencermin diri sendiri terlebih dahulu, apakah perjuangan Umno benar-benar tulen untuk membela nasib bangsa? Jika Umno pejuang tulen, mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal?

Muhyiddin harus juga memikirkan, apakah beliau semasa menjadi Menteri Besar Johor tidak lama dahulu, beliau tidak terbabit dalam mengadaikan tanah dan kepentingan Melayu kepada bukan Melayu, khususnya rakyat asing dari negara jiran?

Dalam isu PPSMI misalnya, yang diakui sendiri beliau di Perth baru-baru ini dengan mengatakan 3 juta pelajar Melayu menjadi korban dasar PPSMI.

Soalnya mengapa Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno menyokong dasar 'membunuh' bangsa yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulu?

Muhyiddin hanya membuka pekung Umno. Sekaligus beliau memberitahu rakyat bahawa betapa bodohnya pemimpin-pemimpin Umno yang menyokong dasar PPSMI secara membuta tuli, demi kepentingan politik Umno, walaupun dasar itu menindas bangsanya sendiri?

Dalam kolum ini, penulis belum berhasrat untuk membahaskan persoalan siapa sebenar pengkhianat Melayu secara terperinci.

Penulis mahu melontarkan persoalan dari sudut yang berbeza, iaitu mengapa tiba-tiba sahaja Muhyiddin beria-ia mencanangkan ketuanan Melayu dan menempelak Anwar, yang pernah menjadi pemimpin yang disokong dan disanjungnya sebagai pengkhianat?

Penulis beranggapan 'tembakan' Muhyiddin terhadap Anwar bukan bertujuan untuk membunuh karier politik Anwar semata-mata. Beliau ada agenda yang lebih besar dari itu.

Justeru, apa agenda tersirat Muhyiddin dalam konteks ini? Pada penulis tindak tanduk Muhyiddin sebenarnya mencurigakan orang-orang Umno sendiri.

Tatkala Presiden Umno dan PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bercakap soal One Malaysia, rakyat pelbagai bangsa diutamakan, Muhyiddin pula bercakap sebaliknya, seolah-olah mempamerkan beliau seorang yang rasis.

Tindakan Muhyiddin bercanggah dengan aspirasi Najib yang meuar-uarkan dasar liberalisasi pentadbirannya, yang menarik balik atau memansuhkan puluhan dasar kepentingan bumiputera.

Umno kini ibarat kapal dengan dua nakhoda. Apa yang berlaku ialah wujud perbezaan ketara antara Najib dengan Muhyiddin. Ini menunjukkan perbezaan pendapat dan perpecahan dalam Umno masih wujud, khususnya di kalangan pemimpin tertinggi.

Politiking dalam Umno memang hebat. Masing-masing tidak mempercayai rakan sendiri, masing-masing berjuang untuk melindungi kepentingan peribadi dan puak. Najib takut dicantas Muhyiddin dan Muhyiddin juga mahu mencari jalan untuk menjadi PM.

Masa tidak mencukupi buat Muhyiddin kerana usianya lebih tua daripada Najib. Beliau hanya boleh tunggu sepenggal sahaja lagi untuk menaik setakuk. Barangkali Muhyiddin juga bimbang, beliau akan mengulangi nasib Tan Sri Musa Hitam sewaktu menjadi TPM di zaman Mahathir dahulu.

Oleh itu, sewaktu Najib sibuk mencari sokongan bukan Melayu, Muhyiddin mengorak langkahnya sendiri dengan percubaan untuk menjadi 'jagoan' menjuarai isu-isu Melayu. Najib cuba membuat reform supaya Umno lebih terbuka dan tidak rasis, sebaliknya Muhyiddin menarik 'gear' ke belakang.

Muhyiddin bukannya memperjuangkan semangat ketulenan Melayu, beliau hanya mahu memperkuatkan 'political base'nya sahaja.

Muhyiddin tahu teras sokongan kepada Umno ialah dari orang-orang Melayu, bukan dari bangsa lain. Bagi Muhyiddin inilah masa yang terbaik buat beliau, iaitu sewaktu Umno lemah, untuk membangkitkan semangat rasis atau nasionalisme Melayu.

Ini adalah strategi serampang dua mata. Jika selepas ini dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil atau Umum, Umno-BN kalah juga, bermakna dasar One Malaysia yang diperkenalkan Najib merupakan suatu kesilapan.

Maka ketika itu orang-orang Umno yang dalam setahun dua ini dibentuk dengan persepsi bahawa Muhyiddin adalah nasionalis tulen, akan menuding jari pula kepada Najib, sekaligus menyuruh PM berundur dan digantikan dengan Muhyiddin.

Dalam politik Umno tiada jaminan setiakawan. Muhyiddin bersama Najib dalam satu kumpulan wawasan yang bertembung dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang sekumpulan dengan aruah Tun Ghafar Baba dalam pertembungan sengit Umno tahun 1993.

Mereka 'naik' dalam parti bersama Anwar, meninggalkan dan membuang Anwar sebaik bekas TPM itu dipecat pada tahun 1998.

Selepas Abdullah lantik TPM oleh Mahathir, Muhyiddin meninggalkan Najib yang sekumpulan dengannya dahulu untuk menyertai 'geng' Abdullah pula.

Selepas kegagalan besar Umno-BN pada PRU 2008, Muhyiddin mengambil kesempatan dari kelemahan Abdullah, 'menikamnya dari depan' dengan membuat gesaan berulangkali supaya berundur dari jawatan PM.

Maka dalam keadaan sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti, Najib juga, jika tersilap langkah, akan menerima nasib yang sama dengan Abdullah.

Semua ini hanya sekelumit bukti yang menunjukkan bahawa, pemimpin-pemimpin Umno bukannya jujur memperjuangkan kepentingan bangsa, tetapi lebih kepada perjuangan untuk kepentingan peribadi, demi merebut jawatan dan kuasa.

Reform untuk memperbaiki Umno dari dalam akan terus menemui kegagalan kerana mereka mempunyai pemimpin-pemimpin yang materialistik dan tamak.

Hanya kuasa rakyat sahaja yang boleh menghentikan semua kedangkalan ini.

PENJELASAN ISU ARAK SELANGOR

KENYATAAN MEDIA BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

“KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”


PENDAHULUAN

Meminum arak ataupun minuman beralkohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada si peminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.

Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “(al Maidah: 90)

Nabi Muhammad S.A.W pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan:

1. yang memerahnya
2. yang minta diperahkannya
3. yang meminumnya
4. yang membawanya
5. yang minta dihantarinya
6. yang menuangkannya
7. yang menjualnya
8. yang makan harganya
9. yang membelinya
10. yang minta dibelikannya


(Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)


ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.

Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan UMNO Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.

Semoga penjelasan ini akan mengukuhkan lagi PR di Selangor dan memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada UMNO

10 Ogos 2009

Konsep Kerja Menurut Pandangan Islam

Majoriti manusia menghabiskan masa dewasanyatiga puluh tahun atau lebih untuk bekerja selama lapan jam sehari dalam dunia pekerjaan. Dan adalah salah sekiranya berpegang kepada hakikat bahawa pekerjaan merupakan beban yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Terdapat bukti yang jelas bahawa manusia memerlukan pekerjaan malah pekerjaan merupakan salah satu aktiviti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sejak dari nabi Adam as hingga ke zaman kini, manusia menjadikan pekerjaan sebagai sebahagian besar daripada pusingan hidup mereka. Sememangnya pekerjaan menjadi gelanggang tempat manusia berjuang dan besraing sebagai salah satu proses memajukan diri dan menyambung usia hidup.


Dalam Islam, pekerjaan mempunyai taraf kemuliaan yang tinggi yang tidak ada tolok bandingnya dengan agama dan juga kebudayaan lain. Islam memandang tinggi setiap pekerjaan yang diakui sah dari segi hukum sebagaimana penghormatan yang diberikan oleh Rasulullah terhadap pengikutnya yang pernah mengajukan soalan kepada baginda yang bermaksud : "Hai Rasulullah, apakah pendapat tuan mengenai kerja saya? Baginda bertanya : Apakah pekerjaan kamu? Jawab orang itu : Pembuat pukat. Lalu baginda bersabda : Pekerjaan kamu adalah pekerjaan bapa kita nabi Adam as. Ia adalah orang yang pertama menjalin pukat yang diajar oleh Jibril."


Penegasan Islam tentangnya pentingnya pekerjaan dapat dilihat dalam al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah saw yang akan dijadikan landasan perbincangan dalam bab ini. Allah swt berfirman yang bermaksud : "Katakan Muhammad! Bekerjalah, akan dilihat oleh Allah hasil kerjamu itu, dan oleh Rasul dan oleh orang yang beriman."(Surah at-Taubah ayat 106). Menurut penjelasan Sunnah Rasulullah saw bahawa kesemua para Nabi as biarpun tinggi darjat mereka, mereka telah menjadikan pekerjaan sebagai landasan hidup masing-masing. Adam telah mengambil bahagian dalam pertanian, Nuh dalam perniagaan, Daud dalam pertukangan besi, Musa dalam penulisan, Zakaria sebagai seorang tukang kayu dan begitulah juga para nabi selain mereka.

KITAKAH PEMIMPIN YANG DICARI ??

Salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan seorang manusia adalah memimpin. Bila kita mampu memimpin diri kita ke arah syakhsiah cemerlang maka ia merupakan kejayaan bagi kita. Di samping itu, kita mesti memimpin diri orang lain agar kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah generasi Al-Quran.
Manusia sebagai Khalifah.

Setiap manusia di muka bumi ini dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah. Sama ada dia memimpin diri sendiri atau orang lain, ia dinamakan sebagai khalifah.

Ayat di atas jelas menunjukan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita sebagai khalifah atau pemimpin. Namun begitu, tidak semua mampu mentadbir dirinya dan orang lain dengan baik mengikut landasan Islam yang sebenarnya. Dunia akan kucar-kacir jika semua manusia mahu menjadi pemimpin dan enggan menjadi orang yang dipimpin atau lebih dikenali sebagai "orang bawahan". Oleh kerana itu, Allah SWT dengan sifat bijaksananya telah mengatur dan menentukan kehidupan manusia mengikut acuan keperibadian yang asal sejak dari azali lagi. Ada
segolongan manusia yang dilantik menjadi pemimpin, golongan lain sebagai yang dipimpin dan golongan yang mengadu-domba enggan menjadi pemimpin dan enggan dipimpin.

Persediaan Sebelum Menjadi Pemimpin
Perkara utama yang perlu ditekankan sebelum melangkah memikul jawatan pemimpin ialah persediaan kita sebelum menjawatnya supaya terlaksana proses pembentukan Syahsiah Berakidah di kalangan orang bawahan.

Kita wajib membuat persediaan awal di samping menempuh berbagai ujian sebelum layak digelar Pemimpin Dunia Dan Akhirat. Dalam dunia menuju ke gerbang akhir zaman, majoriti pemimpin dewasa ini sebenarnya tidak layak memimpin lantaran diri mereka sendiri tidak terpimpin dengan pimpinan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka merupakan Pemimpin Dunia semata, mengejar kemewahan dunia, menindas orang bawahan, bertopengkan syaitan dalam menentukan hukum-hakam Islam dan seribu satu macam keburukan berupa keduniaan. Benar sabda Rasulullah s.a.w:-

Di sini jelas menunjukan bahawa pemimpin yang zalim termasuk di dalam keburukan agama. Sedangkan pemimpin akhirat tidak ramai dan boleh dikira dengan jari.
Terdapat banyak syarat yang menyumbang ke arah melahirkan seorang pemimpin dunia dan akhirat. Untuk memenuhi syarat-syarat ini ramai yang tewas dan kecundang kecuali beberapa orang yang sememangnya telah dipilih oleh hakim yang agung iaitu Allah S.W.T.

1) Pemimpin Berilmu
Ilmu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pemimpin yang unggul. Tanpa ilmu,
pemimpin akan menjadi "lembu dicucuk hidung", hanya memimpin setelah diarah-arahkan oleh orang lain. Berapa ramai Perdana Menteri di serata dunia yang menjadi boneka. Menjadi pemimpin tetapi tidak memimpin. Warisan ilmu pengecut yang dimiliki oleh oleh para pemimpin menyebabkan mereka rela menjual maruah agama demi sesuap nasi?.
Maksud firman Allah SWT: "Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?". Ilmu di sini merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Seorang pemimpin yang berilmu pasti mendapat kepercayaan masyarakat untuk menangani sebarang masalah yang menimpa negara berbanding pemimpin yang tidak berilmu. Ini adalah satu hakikat yang nyata. Kedunguan pemimpin-pemimpin masa kini dalam menyelesaikan masalah dalam negara menyaksikan campur tangan kuasa asing yang sewenang-wenangnya mengubah dasar negara hatta undang-undang sama ada peraturan negara atau agama.
Untuk mengubah situasi yang telah menjadi adat ini, negara kecil seperti Malaysia contohnya harus meletakkan pemimpin yang bijak dan berilmu untuk menerajui negara supaya negara kita nanti tidak "sekandang dengan lembu-lembu yang dicucuk hidung sejak sekian lama."

2) Pemimpin Sebagai Idola Dan Pentazkirah
Di kalangan masyarakat pertengahan, mereka lebih mementingkan seorang pemimpin yang peka dengan isu-isu dunia dan bijak bercakap hal-hal keduniaan.Tanpa disedari, kita sepatutnya "dahagakan"seorang pemimpin yang bersifat universal. Seimbang antara dunia dan akhirat. Contoh tanpa bandingan tapi patut dijadikan ikutan, Rasulullah SAW mampu menjadi pemimpin dalam masa yang sama berada di tempat yang teratas dalam pemikiran dan penampilannya kepada masyarakat dan yang paling utama kepada Penciptanya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh masyarakat bawahan.
Sebagai seorang pemimpin yang menjadi idola kepada masyarakat, pemimpin seharusnya memiliki akhlak yang terpuji mengikut adab-adab kemanusiaan sejagat dan lunas-lunas islami yang tulin. Ciri-ciri pentazkirah pun harus ada pada seorang ketua bahkan ciri-ciri seorang ulama'.
Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa'dan pandai 'mentazkirah' orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Seperti kata-kata 'cakap serupa bikin'.
Contoh melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini.

3) Sanggup Menghadapi Tribulasi Untuk Mencapai Matlamat
Ujian adalah satu perkara tabi'i yang pasti 'memburu' kehidupan seorang manusia. Semakin tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t. dan di sisi masyarakat, maka semakin besar cubaan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Berjaya atau gagal menghadapi mehnah perjuangan ditentukan oleh kekuatan asas yang terpasak dalam diri seseorang. Mereka yang lemah dari sudut material dan rohani terutamanya pasti akan tewas dengan mudah dan jatuh tersungkur di tengah-tengah medan perjuangan. Hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan jiwa dan semangat sahaja yang tetap kekal dengan matlamat yang satu walaupun tanpa kekuatan material. “Demi sesungguh-Nya akan Kami uji kamu dengan satu cubaan, iaitu kekuatan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira bagi orang-orang yang sabar atas cubaan itu”.Al-Baqarah ayat 155.

Seperti yang telah dinyatakan, setiap manusia akan diuji. Tatkala Malaysia diuji dengan kejatuhan nilai RM, kita turut juga teruji. Bagi yang di luar kemampuan (kekurangan harta), pulang ke tanah air adalah langkah terakhir sebagai jalan penyelesain tanpa menamatkan pengajian tentunya.

Ketiga-tiga faktor di atas bakal melayakkan kita menerajui negara bahkan dunia. Tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal menjadi polis dunia menggantikan Amerika yang mengaku berjaya memimpin dunia ke arah keamanan tetapi sebenarnya ke arah kemusnahan. Pemimpin dunia abad akan datang wajar diwarisi oleh pemimpin islam untuk 'meneutralkan' dunia sebelum menjadi padang jarak padang terkukur. Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu untuk mencipta seorang pemimpin Islam yang tulin sebagaimana yang pernah diciptakan oleh ulama'-ulama' yang terdahulu.