18 Disember 2007

JOM PUASA 9 ZULHIJJAH NIE

PENGKALAN CHEPA, 17 Dis (Hrkh) - Umat Islam digalak berpuasa sunat pada 9 Zulhijjah bagi mendidik manusia untuk melawan hawa nafsu, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Tarikh 9 Zulhijjah merupakan hari di mana umat Islam yang menunaikan haji, akan wukuf di Padang Arafah mulai esok. Wukuf bermakna 'duduk' yakni melatih manusia 'mati' kerana berpakaian seperti orang dikafankan," katanya di majlis penyampaian Kad Kifaalah di sini, hari ini. Esok kerajaan negeri juga akan mengadakan program khas sempena Hari Wukuf di Masjid Bandar Tanah Merah bermula jam 8.30 pagi, memandangkan esok merupakan tarikh 9 Zulhijjah di Arab Saudi. Program itu merupakan acara tahunan di Kelantan yang diadakan sejak lebih 10 tahun lalu. Menteri Besar Kelantan itu berkata, Takaful Kifaalah yang dilaksanakan di Kelantan sekarang menjadi ikutan beberapa negeri termasuk Selangor yang kini sedang dalam proses melaksanakan skim tersebut. Pada majlis itu juga beliau menyampaikan kad kifaalah kepada 11 pencarum dan cek sebanyak RM2,000 kepada setiap 21 orang wasi. Sementara itu, Penolong Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Rosli Abdullah berkata, sehingga kini keahlian Takaful Kifaalah yang berdaftar berjumlah 99,393 orang, di mana 3,222 pencarum telah meninggal dunia. Selain itu katanya, Takaful Kifaalah menarik minat pelajar-pelajar intitusi pengajian tinggi membuat kajian mengenainya.

Tiada ulasan: