12 Disember 2007

NGO kena hantar masuk sekolah balik untuk belajar sejarah

Dilaporkan bahawa 395 badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum dan agama telah mengadakan 'pertemuan' atas nama Damai Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, 6 Disember lalu bagi menolak demonstrasi jalanan dan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat. NGO terbabit kononnya mewakili 1.5 juta rakyat Malaysia. Bagaimanapun yang hadir dalam 'unjuk rasa' itu cuma berjumlah 600 orang.
Bagi melembutkan sedikit pemaparan 'unjuk rasa' itu, program itu dipanggil 'forum' dengan tajuk "Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita". Gabungan NGO itu mengeluarkan deklarasi mengutuk sebarang penganjuran demonstrasi jalanan dan menolak perbincangan isu sensitif melibatkan kaum serta agama melalui cara itu. Deklarasi Damai Malaysia itu juga mengecam tindakan pihak tertentu menggunakan 'penipuan, fitnah dan hasutan' untuk meraih sokongan negara dan kuasa luar bagi mencampuri urusan dalaman negara. "Kami atas nama Damai Malaysia sepakat mengutuk perbuatan biadap yang menuduh kepimpinan negara sebagai melakukan 'penghapusan kaum' sedangkan semua kaum mendapat layanan sama rata," tegas deklarasi itu. Antara NGO yang menganggotai gabungan itu adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Majlis Belia Felda Malaysia, Pertubuhan Kebajikan India Bersatu dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC).
Berpuluh-puluh persatuan Cina dan India mewakili kumpulan tokong, peniaga, profesional, komuniti dan pendidikan menyertai gabungan itu termasuk Persatuan Penganut-Penganut Tokong Kim Ying, Ampang, Persatuan Penganut Dewa Cheng Guan Kuan, Persatuan Penjaja Cina Wilayah Persekutuan, Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia dan Persatuan Perubatan Cina Malaysia. Kelab Bell Belia Tamil, Persatuan Kelab-Kelab Belia India, Malaysia Hindu Sangam dan Kuil Sri Sakhti Vinayagar, Brickfields turut menyertainya.
Forum itu yang berlangsung dalam keadaan 'aman dan terkawal' turut dihadiri bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman, lapor Utusan Online.
Tidak pula diketahui sama ada perhimpunan itu mendapat permit polis atau tidak; bagaimanapun daripada intipati deklarasi yang dicapai, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ia dilangsungkan sebagai tanda protes kepada perhimpunan anjuran Hindraf, 25 November lalu yang kini telah diangkat menjadi isu nasional. Enam ratus wakil NGO itu pastinya mempunyai hak untuk mempertikaikan langkah para pemimpin Hindraf memainkan isu kaum dan agama dalam menyuarakan pandangan. Bagaimanapun menjadikan "Demonstrasi Jalanan Bukan Budaya Kita" sebagai tema, agak tersasar daripada tujuan sebenar program itu diadakan.
Dan yang lebih utama, benarkah demonstrasi bukan budaya kita? Dan adakah slogan itu tidak benar-benar mengguris hati para pejuang bangsa seawal dasawarsa 1940-an yang memilih demonstrasi jalanan atau unjuk rasa sebagai medium menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap penjajah? Untuk tidak dibuai sentimen, suka bagi penulis menurunkan petikan kajian sejarah berhubung unjuk rasa ini untuk penelitian semua. Ramlah Adam (Prof Dr) dalam bukunya, "Dato' Onn Ja'afar: Pengasas Kemerdekaan" menukilkan: Persatuan-persatuan negeri Melayu yang tumbuh sebelum perang dan selepas perang, menghantar nota-nota bantahan kepada Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office). Orang ramia pula seperti di Kedah dan Kelantan mengadakan tunjuk perasaan menentangnya. (Di Kedah seramai 50,000 orang telah berarak. Warta Negara, 21/1/46. Di Kelantan, seramai 10,000 orang telah menunjuk perasaan). Tegasnya, penentangan kepada Malayan Union adalah kesedaran politik yang sangat penting selepas perang dunia itu." (Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar, Pengasas Kemerdekaan, hlm. 86-87) Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Tan Sri Asri Muda dalam bukunya "Memoir Politik Asri - Meniti Arus" menyebut: "Ketika Malayan Union hendak disogokkan kepada masyarakat kita (Semenanjung Tanah Melayu itu), parti-parti politik telah bertambah dengan banyaknya. Di tiap-tiap negeri lahir parti politik dan ditambah pula dengan beberapa parti politik yang bersifat kebangsaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sebagainya. "Jadi gagasan Malayan Union yang dikemukakan oleh Sir Harold MacMichael, utusan khas Kerajaan Inggeris dikemukakan pada saat kesedaran politik orang Melayu begitu memuncak sekali. Seluruh rakyat Melayu bersatu, mengadakan perarakan menentang Malayan Union di kebanyakan kota-kota besar seperti di Johor Bahru, Alor Setar dan juga di Kota Bharu. "Saya sendiri bukan hanya sebagai pemerhati, tetapi ikut terlibat sama dalam gelombang kesedaran rakyat, menyertai perarakan rakyat atau demonstrasi rakyat di Kota Bharu. Dengan jumlah yang tidak kurang daripada 20,000 orang, kami berhimpun di Padang Bank (kini Padang Merdeka) dan berarak menuju ke tempat penginapan Residen British (kalau tak salah ingatan saya, nama beliau ialah Somerville) dan surat protes pun dibaca. "... Kemudian perarakan itu bergerak lagi menuju ke Istana Seri Cemerlang, tempat bersemayam DYMM al-Sultan Ibrahim... Surat persembahan pun dibaca dan kemudian dipersembahkan ke bawah duli. Orang yang membaca ucapan sembah itu adalah saya sendiri." (Mohd Asri bin Haji Muda, Memoir Politik Asri: Meniti Arus, hlm. 32-33). Dari pemaparan dua episod sejarah negara itu, 395 NGO pro-BN yang berkumpul di Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, 6 Disember lalu, sepatutnya merasa malu kerana berdusta atas nama negara dan bangsa. Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara sebenarnya tidak lepas daripada siri-siri unjuk rasa walaupun Tanah Melayu pada waktu itu baru menghadapi saat getir Perang Dunia Kedua. Jika memoir Asri Muda boleh dijadikan sandaran, perarakan rakyat 10 November lalu ke Istana Negara sebenarnya mengulangi apa yang datuk nenek kita lakukan di Kota Bharu pada 1946. Apa yang membezakan dua peristiwa itu adalah layanan pihak berkuasa kepada rakyat. Di zaman penjajahan British, datuk nenek kita dibenarkan berarak menunjuk rasa kerana pemerintahnya mempunyai mentaliti dunia pertama walaupun prasarana negara masih di tahap dunia ketiga. Sayangnya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita mempunyai pemerintah yang bermentaliti dunia ketiga, walaupun berbangga dengan prasarana dunia pertama!

Tiada ulasan: