24 Disember 2007

SAH ... ADA UDANG DISEBALIK BATU ...PERANCANGAN MENGHAPUSKAN SAR ( SEKOLAH AGAMA RAKYAT)

KOTA BHARU 23 Dis. – Kerajaan Pas Kelantan terkejut dengan tindakan Kementerian Pelajaran menolak syarat-syarat pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dengan kementerian yang telah diterima bersama sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, syarat-syarat yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) itu telah dikemukakan kepada kementerian yang kemudiannya membuat beberapa pindaan.
‘‘Draf MoU yang dikemukakan itu telah melalui proses pindaan oleh kementerian dan apabila kita semak dan perhalusi, hanya dua tiga patah perkataan yang kita minta ubah agar lebih jelas sedangkan kandungan utama telah diterima,” ujarnya.
Katanya, kandungan utama menyebut persetujuan kerajaan negeri mendaftar untuk mendapatkan bantuan, pengurusan sekolah kekal di bawah kerajaan negeri dan sebarang perubahan kurikulum mesti mendapat kelulusan Lembaga Yayasan Islam Kelantan (YIK).
‘‘Kementerian tidak merubah syarat itu yang didakwa ketat dan tentulah ia telah diterima dan dipersetujui. Soal penghantaran guru kementerian kita terima tanpa masalah sebagaimana sekarang.
‘‘Ia mengejutkan dan menghairankan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa kementerian tidak akan melayan syarat ketat mengenai pendaftaran SAR yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.
Menurut Hishammuddin, syarat yang dikemukakan antara lain kementeriannya hanya memberikan peruntukan yang diperlukan, sedangkan kerajaan negeri terus berkuasa penuh atas sekolah-sekolah berkenaan.
Beliau berkata, jika kementerian menerima syarat itu, penyelarasan kurikulum yang diterima pakai dengan baik di negeri-negeri lain tidak dapat dilakukan.
Kerajaan negeri sebelum ini bersetuju menyerahkan 68 buah SAR atau lebih dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Negeri di Kelantan secara berperingkat dengan beberapa buah sebagai permulaan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut MoU.
Nik Amar memberitahu, cadangan balas kerajaan negeri dalam MoU itu termasuk soal keanggotaan lembaga penasihat dengan gabungan keahlian kerajaan negeri dan kementerian yang dicadangkan.
‘‘Cuma kita minta agar turut dimasukkan sama Exco berkaitan pendidikan dan pembangunan Islam dan apa-apa pertikaian dirujuk kepada Lembaga Pengelola YIK manakala kandungan lain kekal,” ujarnya.
Sehubungan itu Nik Amar berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian berhubung perkembangan terbaru itu kerana pihaknya merancang menandatangani MoU pada awal tahun depan.

Tiada ulasan: