11 Disember 2007

Yuran Sekolah Tak Mansuh Sepenuhnya

KEMENTERIAN Pelajaran perlu memberi penjelasan terperinci berhubung langkah memansuhkan yuran sekolah rendah dan menengah bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ibu bapa.Senator Datuk Samsiah Samsudin berkata, salah faham mengenai pemansuhan yuran sekolah itu berlaku terutama di kalangan ibu bapa di kawasan luar bandar yang berpendapat tidak perlu lagi sebarang pembayaran yuran berikutan pemansuhan yuran sekolah seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2008, September lalu.“Kita tidak boleh salahkan mereka kerana penjelasan yang diberikan kementerian selama ini pun tidak secara terperinci,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2007 di Dewan Negara, semalam.Pada pembentangan Bajet 2008 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pemansuhan yuran rasmi sekolah rendah sebanyak RM4.50 manakala sekolah menengah RM9. Senator Dr Mohd Puad Zarkashi yang sependapat dengan Samsiah berkata, penerangan perlu diberikan kerana pembayaran yuran tambahan lain membuatkan usaha kerajaan itu dilihat sia-sia.Justeru, beliau mencadangkan pembayaran yuran tambahan tidak perlu dibuat pada awal tahun, sebaliknya dibuat pada bulan kedua atau ketiga daripada tarikh sekolah dibuka untuk mengelakkan kekeliruan berkenaan.Sementara itu, Dr Mohd Puad turut mencadangkan hukuman rotan terhadap pelajar perempuan diperkenalkan semula memandangkan disiplin pelajar itu kebelakangan ini semakin membimbangkan.Beliau berkata, ibu bapa sepatutnya tidak boleh campur tangan sekiranya pihak sekolah mengenakan hukuman rotan kepada anak mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah disiplin.“Apa yang menjadi masalah utama ialah ibu yang suka menjadi batu api apabila anak mereka dirotan dan mendesak bapa ke sekolah untuk memarahi pihak sekolah atas tindakan mereka,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan: