KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS merasakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak layak untuk bercakap mengenai soal keadilan dan kebebasan media di forum antarabangsa kerana beliau sendiri adalah 'diktator' yang mengongkong kebebasan media.Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily mengulas kenyataan Abdullah di Forum Perikatan Ketamadunan (AOC) di Sepanyol yang menggesa media meningkatkan peranan dalam merapatkan hubungan peradaban Timur dan Barat. Kenyataan Abdullah tersebut merupakan satu tempelak ke atas media mainstream di negara ini yang selama ini memainkan peranan melaga-lagakan masyarakat pelbagai kaum. Lebih dahsyat lagi apabila parti-parti komponen BN yang menguasai media-media utama menggunakan media ini untuk mencetuskan isu perkauman dalam negara,"jelasnya. Malah menurutnya, tindakan Abdullah menyekat permit akhbar Harakah ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri pada tahun 2000 adalah satu dosa yang tidak boleh dimaafkan. "Jika Abdullah ingin bercakap soal kebebasan dan peranan media bagi merapatkan hubungan tamadun, beliau perlu terlebih dahulu memberikan kebebasan media sepenuhnya kepada rakyat di negara ini," ujarnya. Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga menempelak kenyataan Abdullah dengan mendakwa bahawa media di negara ini langsung tidak adil. "Mereka bukan sahaja berpihak kepada Umno-BN, bahkan menyokong setiap penindasan BN ke atas rakyat seperti memberikan gambaran bahawa kenaikan tol, harga petrol, barang keperluan pengguna dan yuran sekolah sebagai positif. "Dalam masa yang sama, mereka juga menyebarkan fitnah dan maklumat palsu ke atas pemimpin PAS dengan memutar belitkan berita," katanya. Tambahnya, apabila menjelang pilihan raya wajah sebenar media proksi kerajaan begitu terserlah dengan peranan mereka mencanang isu-isu palsu dan bertindak secara berat sebelah dalam sebarang liputan yang dibuat. "Setiap kali musim pilihan raya, PAS digambarkan memusuhi orang bukan Melayu, undang-undang Islam akan menzalimi orang bukan Islam dan sebagainya. "Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah indeks kebebasan media di Malaysia berada pada tahap yang amat rendah," katanya lagi. Ketika membicarakan isu yang sama, Salahuddin turut mengemukakan contoh isu yang menjadi perdebatan seperti menimbulkan semula isu-isu kecil dan terlalu teknikal dalam agama seperti ruangan Astora Jabat untuk mengeliru dan menimbulkan kemarahan umat Islam. "Kita juga masih ingat bahawa News Straits Times pernah menyiarkan karikatur Nabi selain beberapa media termasuk yang menggunakan nama Allah untuk merujuk kepada 'God'," ringkasnya.Jelasnya lagi, dalam isu Hindraf pula media Umno-BN sengaja membesar-besarkan hal ini supaya BN dapat mengambil kesempatan untuk kepentingan politik mereka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan