22 Januari 2008

AUTA LINGAM

KUALA LUMPUR: "Saya tidak tahu dengan siapa saya berbual (ketika itu), tetapi yang pasti itu bukan Ahmad Fairuz," kata peguam Datuk V K Lingam, dalam keterangannya di hadapan Suruhanjaya Diraja semalam. Lingam, yang dikaitkan dalam klip video merakamkan perbualannya dengan seseorang yang dikatakan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bagaimanapun mengaku pernah bercuti bersama bekas Peguam Negara, Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dan ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan di Sepanyol dan Maghribi antara 1995 hingga 1996. Pada prosiding hari keenam itu, Lingam menafikan Ahmad Fairuz adalah kenalan rapatnya, malah mendakwa beliau tidak pernah memiliki nombor telefon bekas Ketua Hakim Negara itu dan begitu juga sebaliknya. "Kami tidak pernah berborak dalam telefon," katanya yang memberi keterangan sebagai saksi ke-13. Ini kali pertama Lingam memberi keterangan di hadapan suruhanjaya itu sejak ia bersidang 14 Januari lalu. Menjawab soalan Pegawai Pengendali, Timbalan Ketua Bahagian I (Polisi) Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan, Lingam mengakui lelaki yang dirakam dalam klip video itu mirip dirinya tetapi menegaskan perkara itu hanya boleh dipastikan kesahihannya jika rakaman dan peralatan asal yang digunakan boleh disemak."Memang saya pernah lihat klip video itu di internet, selain ditunjukkan kepada saya oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). Tidak kiralah apa orang (saksi) lain kata, lelaki dalam klip video itu nampak seperti saya. Jika kamu menyoal saya 100 kali sekalipun saya akan memberikan jawapan serupa. "Malah, saya sendiri juga membuat rujukan mengenai isu ini, termasuk meminta pandangan pakar. Mereka memaklumkan, kesahihan klip ini hanya boleh dipastikan melalui peralatan dan rakaman asal. "Bagaimanapun sehingga kini rakaman atau peralatan asal masih tidak dikemukakan," katanya sambil dicelah Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohd Noor: "Adakah kamu sedang mengemukakan hujahan?" Lingam kemudian menjawab: "Tidak. Saya hanya menyatakan fakta. Bila saya berjaya memperoleh rakaman atau peralatan asal, saya akan menghantarnya kepada pakar saya sendiri untuk dibandingkan dengan keterangan dan pendapat yang dikemukakan selama ini.
"Malah, saya juga akan meminta pakar saya hadir bagi memberi keterangan kepada suruhanjaya ini," katanya. Terdahulu, Lingam mengakui beliau kenal ahli perniagaan Loh Mui Fan dan anaknya Gwo Burne, tetapi menegaskan Mui Fan tidak pernah menjadi anak guamnya dan beliau sendiri juga tidak pernah melakukan kerja guaman. "Saya tidak pernah dilantik olehnya tetapi pernah menjadi peguam bagi pihak ayahnya dulu. Bagaimanapun, Mui Fah memang biasa datang ke pejabat saya, mungkin tiga kali setahun untuk berjumpa dengan saya sejak saya mengenalinya sekitar 1995. Anaknya juga pernah menemaninya ke rumah dan pejabat saya beberapa kali," katanya. Selain itu, beliau mengakui kenal Vincent Tan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sejak 1990-an melalui Kumpulan Berjaya. "Firma guaman saya adalah satu daripada panel peguam Kumpulan Berjaya dan saya sendiri pernah melakukan kerja guaman untuk Vincent Tan, manakala Tengku Adnan ketika itu pengarah eksekutif beberapa syarikat kumpulan berkenaan," katanya. Pada prosiding petang pula, Lingam yang ditanya peguam pemerhati Majlis Peguam, Robert Lazar, adakah beliau pernah mengadakan percutian lain dengan Mohtar dan Vincent Tan, berkata: "Ya ada lagi, tapi hanya dengan Vincent Tan." Lingam yang menganggap Vincent Tan sebagai kawan rapatnya, berkata sehingga 1999 beliau pernah bercuti bersama Tan di India sebanyak dua kali. Sekeping gambar yang dirakamkan di Sepanyol antara Lingam, Mohtar dan Vincent Tan serta keluarga masing-masing dikemukakan oleh Lazar kepada suruhanjaya sebagai barang kes. Lingam yang kelihatan tenang apabila dirujuk gambar percutian itu, bagaimanapun memeranjatkan semua pihak apabila meminta peguamnya, R Thayalan mengemukakan hujah sebaik soalan mengenai percutiannya dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin, dibangkitkan. Haidar membenarkan permohonan Lingam untuk Thayalan berhujah sama ada perkara itu relevan atau tidak. Sebelum itu, ketika ditanya oleh Lazar mengenai hubungannya dengan Mohtar yang meninggal dunia pada 2003 kerana serangan angin ahmar, Lingam berkata mereka hanya kawan biasa dan tidak terlalu rapat. "Saya pernah mengunjungi Mohtar yang berjawatan Peguam Negara ketika itu di rumahnya pada Hari Raya tetapi saya tidak pernah makan malam dengannya," katanya.

Tiada ulasan: