01 Februari 2008

Husam saman RM6 juta ke atas 2 Adun BN Kelantan

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa telah memfailkan saman fitnah RM6 juta berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kelantan serta sebuah media yang membuat penyiaran mengenai dakwaan berlakunya penyelewengan terancang oleh kerajaan PAS Kelantan di Bilik Rehat Adun Kelantan pada 27 November lalu. Husam yang diwakili peguamnya, Gobind Singh Deo serta Ahmad Shabrimi Mohamad Sidek berkata demikian kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur setelah menghantar permohonan saman ke atas Adun Paloh, Dato'Nozula Mat Diah, Adun Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik serta media The New Straits Times Press (M) Bhd. "Tindakan ini bukan bermotifkan wang tetapi yang lebih penting adalah mengenai prinsip dan keadilan yang perlu ditegakkan," ujar Gobind Singh Deo.
Tambahnya, meskipun jumlah yang dituntut adalah suatu nilai yang besar, pihaknya menyerahkan kepada budi bicara pihak mahkamah bagi menentukan kebenaran hal tersebut.
Menurut penyataan tuntutan yang dikemukakan oleh pihak Husam, isu yang dibangkitkan adalah berkaitan sembilan dakwaan yang dibuat kesemua pihak yang tersebut, antaranya mengenai aduan salah laku dan salah guna kuasa Exco iaitu Dato' Husam berkenaan dengan pengambilan wang untuk satu kontrak dan selain dakwaan berkenaan laporan mengenai penyelewengan Pengarah Air Kelantan yang telah banyak diperkatakan, isu kegagalan pengurusan Air Kelantan kerana kroni-kroni dalam Air Kelantan dilindungi oleh Exco iaitu Dato' Husam. Di dalam sidang media yang sama Nozula, Mohd Adhan serta Adun-adun BN yang lain telah mengedarkan tuduhan palsu yang berbunyi 'Laporan mengenai Kes-kes penyelewengan Kerajaan PAS Kelantan'. Husam yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat kerajaan Negeri Kelantan menyatakan bahawa beliau telah difitnah oleh Adun-adun BN yang mendakwanya mempunyai imej sebagai seorang yang menyalahguna kuasa dan korup. Bahkan, beliau turut dituduh sebagai seorang ahli politik dan pemimpin parti yang memperjuangkan Islam, berpura-pura dalam perjuangan dan digambarkan sebagai seorang hipokrit, penipu, mengumpul kekayaan dengan cara yang salah serta menggunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi. Sehubungan dengan kenyataan media tersebut, pihak NST telah menyiarkan satu kenyataan palsu dan fitnah pada halaman 21 akhbar The New Straits Times Edisi bertarikh 28 November 2007 dalam satu rencana yang bertajuk 'Suspended BN Duo Turn To ACA'. Berikut petikan rencana tersebut: "The two Barisan Nasional assemblymen currently facing a six-month suspension from the assembly, yesterday lodged a report at the state Anti-Corruption Agency alleging nine cases of abuse by the Pas government. Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) and Mohd Adnan Kechik (BN-Bukit Bunga) turned up at the assembly premises yesterday but did not join their collegues. Instead, they held a joint press conference outside, accusing state Public Administration, Finance, Economic Planning and Community Development Committee Chairman Dato' Husam Musa of abusing his powers, especially in managing Air Kelantan Sdn Bhd.
Other allegations include attempts to sell a piece of land in developing a new township in Bandar Baru Tunjong through Kind Network Sdn Bhd and abuses involving the purchase of land in Gual Periok, Pasir Mas, by one Syarikat Galeri Tanah." Menurutnya, pernyataan fitnah tersebut yang diucapkan dan diedarkan pada sidang akhbar tersebut telah mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar utama tempatan dan telah disiarkan di televisyen serta boleh dimuat turun daripada laman web yang pada masa yang relevan mempunyai jutaan pengguna, kesemuanya mempunyai akses percuma dan terbuka kepada fitnah-fitnah yang diadukan. "Adalah dapat diandaikan bahawa terdapat jumlah yang besar tetapi tidak dapat ditentukan jumlah pengguna yang membaca laporan akhbar-akhbar pada 28 November 2007 dan menonton siaran berita pada 27 November 2007 dan kesemua hari-hari berikutnya dan Adun BN dengan bantuan akhbar NST terus menerus untuk menerbitkan perkara yang sama sehingga hari ini," jelasnya.
Dengan itu, pihak Husam menuntut Ganti rugi Am sebanyak RM1 juta daripada kedua-dua Adun BN berdasarkan fitnah lisan semasa mengadakan sidang akhbar di Bilik Rehat Adun, bangunan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 27 November 2007 lalu. Beliau juga menuntut jumlah yang sama sebagai Ganti rugi Am daripada penyiaran semula kenyataan-kenyataan lisan mereka dalam bentuk rencana bertulis di dalam akhbar New Straits Times dan Berita Harian pada 28 November 2007. Selain itu, saman bagi Ganti rugi Am sebanyak RM1 juta bersabit pencetakan dan penyiaran rencana dalam akhbar New Straits Times bertarikh 28 November 2007 bertajuk 'Suspended BN Duo Turn To ACA' berkenaan Husam. Pihak Husam juga menuntut Ganti rugi Am daripada NST yang berbangkit daripada percetakan dan penyiaran rencana dalam akhbar Berita Harian bertarikh 28 November 2007 bertajuk '9 Penyelewengan PAS didedah' berkenaan Husam sebanyak RM1 juta. Manakala, beliau menuntut Ganti rugi Teladan dan Ganti rugi Teruk masing-masing bernilai RM1 juta. Di samping itu, beliau juga meminta faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan tindakan ini ke atas tarikh penyelesaian atau pada satu kadar atau untuk suatu jangka masa yang dianggap patut oleh mahkamah. Husam sebelum ini melalui peguamnya pada 14 Januari lalu, telah meminta pihak yang didakwa tersebut membuat suatu terbitan penarikan semula yang penuh serta membayar sejumlah ganti rugi yang difikirkan wajar dan berpatutan untuk segala kemudaratan yang dialami oleh Husam sebagaimana yang dinyatakan di atas sebagai bayaran pampasan terhadap kenyataan dan penyiaran fitnah itu dan segala kos guaman. Namun sehingga kini, kesemua yang terbabit telah gagal untuk meminta maaf atau memberikan satu tawaran ganti rugi kepada Exco kanan kerajaan PAS Kelantan itu

Tiada ulasan: