15 Januari 2008

'Pita Lingam', Penganalisis Forensik sahkan sample klip video sahih

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) - Penganalisis Forensik dari Cybersecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib (saksi kelima) mengesahkan sampel klip video yang diterima daripada Penguasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), Wan Zulkifli Wan Jusoh adalah sampel yang sahih berdasarkan ujian saintifik yang dijalankan Makmal Biometrik di Madrid Sepanyol. Zabri yang memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya DiRaja siasatan kes 'Pita Lingam' petang tadi mengesahkan suara dari sampel suspek (nombor 22) adalah sama dengan suara yang dirakam dalam klip video yang dikaji. Ujian dibuat di Madrid pada 9 Januari 2008 dan diserahkan kepada Wan Zulkifli pada 12 Januari 2008 jam 3.00 petang. Zabri menambah, tidak terdapat tanda-tanda klip itu dipinda atau ditambah suara (dubbing) setelah ujian dijalankan. Beliau menyatakan ujian dibuat ke atas sampel dua klip video, pertama melibatkan jangkamasa 8.26 saat manakala klip kedua 14 minit 15 saat. Kedua-dua sampel itu katanya diterima dari Wan Zulkifli pada tarikh berasingan.Terdahulu, Wan Zulkifli mengakui rakaman klip video itu diambil daripada lama web www.anwaribrahimblog.com (milik Dato' Seri Anwar Ibrahim). Klip video itu seterusnya diserah kepada Zabri atas arahan pegawai penyiasat BPR untuk dianalisa oleh Zabri berhubung ketulenan klip itu.Zabil menyatakan bahawa rakaman itu adalah konsisten dan tiada kerja-kerja 'dubbing' atau 'editing'. Zabri turut menunjukkan tayangan slaid selama setengah jam, bagaimana kaedah ujikaji dijalankan bagi menentukan kesahihan video dan pengecaman suara dengan sampel-sampel yang disediakan. Di akhir prosiding yang dijalankan petang tadi peguam kepada VK Lingam diajukan beberapa soalan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor berhubung kepastian samada anak guamnya adalah orang yang dirakam dalam klip video tersebut. Haidar bertanya demikian setelah meneliti keterangan Zabri mengenai kesaihan suara suspek dengan suara sampel yang pada rumusan Zabri adalah sahih. Bagaimanapun peguam bagi VK Lingam teragak-agak untuk menjawab soalan Haidar, seterusnya meminta masa untuk mendapatkan jawapan dari anak guamnya. Suruhanjaya DiRaja menyiasat 'Pita Lingam' ditubuhkan setelah beberapa desakan dikemukakan NGO dan pembangkang sejak Anwar mendedahkan klip video tersebut pada 19 September lalu. Antara anggota suruhanjaya itu ialah, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor; bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Peguamcara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh; Dato' Mahadev Shankar dan Prof Emeritus, Khoo Kay Kim. Pita tersebut antara lain dikatakan mengandungi perbualan antara seorang peguam kanan, VK Lingam dengan seorang bekas hakim kanan yang didakwa sebagai, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Antara yang dibincangkan dalam perbualan itu ialah soal percaturan kedudukan hakim pada tahun 2002 yang dikatakan turut dipengaruhi oleh ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Pelancongan). Akhbar arus perdana melaporkan 16 saksi akan dipanggil dalam prosiding siasatan. Antara mereka yang disenaraikan itu termasuklah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Vincent Tan; Anwar dan Mahathir . Anwar dijangka memberi keterangan hari ini.

Tiada ulasan: