03 Januari 2008

SPR: Pilihan raya kecil Labis tidak perlu

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Labis, Johor tidak perlu diadakan ekoran peletakan jawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mengosongkan kerusi itu hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman.Beliau berkata, mengikut Perlembagaan, pilihan raya hanya perlu diadakan sebelum dua tahun tempoh hayat Parlimen tamat seperti diperuntukkan mengikut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.Tempoh hayat Parlimen lima tahun, sekarang sudah tiga setengah tahun, ada baki lagi satu setengah tahun. Dilihat kepada perkembangan ini, ia tidak perlu,” katanya kepada Bernama.Bagaimanapun, Ab. Rashid berkata, pilihan raya boleh diadakan jika ada permintaan parti pemerintah yang mahu kekosongan kerusi tersebut diisi disebabkan kedudukan partinya tidak stabil.“Parti pemerintah boleh meminta Speaker Parlimen memaklumkan kepada SPR bahawa kerusi itu perlu diisi.“Sama ada keadaan parti yang tidak stabil itu wujud atau tidak, saya tidak boleh beri sebarang komen,” katanya.Beliau berkata, oleh sebab Ahli Parlimen Barisan Nasional dalam Dewan Rakyat menguasai lebih daripada dua pertiga kerusi, kekosongan itu tidak perlu diisi.Perlembagaan menyebut kekosongan itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang Dipertua Dewan Rakyat memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu.Chua, 61, yang mengaku semalam beliau adalah lelaki dalam DVD seks yang diedarkan di Johor, hari ini meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan, semua jawatan parti dan sebagai anggota Parlimen berkuat kuasa serta-merta pada satu sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Tiada ulasan: