15 Mei 2008

GEJALA PENYAKIT ROHANI

Perkataan rohani dalam bahasa melayu seringkali kita kaitkan dengan hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang terwujud sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dibayangkan oleh pancaindera. Tetapi symptom atau masalah dalam kerjanya dapat dirasakan seperti menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.Menurut Imam Ghazali dalam kitab Ihya ulumuddin bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.Keterangan tentang adanya penyakit rohani itu dikemukakan di dalam Al-Quran antaranya yang bermaksud:'Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan surah Al-Baqarah, ayat 10 .
seseorang yang sihat rohaninya akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan. Ini kerana orang yang mengidap penyakit rohani, akan nampak kemundurannya dalam kemampuan bekerja, hilang ghairah dan semangatnya untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan kemalasan. Orang yang sihat rohaninya juga mudah menangkap kebenaran, hatinya selalu dipancari (nur) kebenaran. Adapun orang yang sakit rohaninya terlihat adanya kebodohan, kelemahan dalam berfikir sehingga susah menerima kebenaran ini kerana didalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup mata hatinya. Selain itu orang yang sihat rohaninya ialah orang yang begitu terkesan apabila mendapat nikmat dan rahmat Allah yang diterimanya dengan penuh syukur. Adapun bagi orang yang tidak pandai bersyukur dengan nikmat Allah dianggap sebagai memiliki perasaan dangkal dan kelemahan zauq. Pendangkalan rasa terhadap nikmat Allah itu boleh dipandang sebagai symptom penyakit rohani, Disamping itu terdapat ketenangan pada air mukanya berbeza dengan orang yang mengalami gangguan penyakit rohani, terdampar pula melalui sikapnya yang diliputi kegelisahan dan keluh kesah. Kegelisahan dan keluh kesah itulah yang merupakan gambaran ketidakstabilan mental.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :'Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya mendatangan dia merasai keluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan amatlah kedekutnya. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Yakni mereka yang tetap dalam sembahyangnya' Al-Maarij, ayat 19-23.
Salah satu daripada tanda seseorang itu merasai ketenangan jiwa ialah kecenderungan mencari dan menerima kebenaran dan menolak kebatilan. Fikirannya tenang dan sentiasa mempertimbangkan sesuatu itu dengan baik. Sebaliknya orang yang liar terhadap kebenaran dan tidak senang mendengarkan mutiara-mutiara hikmah dapat dipandang sebagai orang yang terkena penyakit rohani.
Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:'Apakah di dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu ataupun mereka khuatir kalau-kalau Allah dan RasulNya menganiaya mereka. Tidak! Bahkan mereka itulah orang yang zalim. An-Nur, ayat 50.
Symptom penyakit rohani yang seterusnya ialah mengadakan prasangka yang buruk, antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan RasulNya. Selain mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah dan RasulNya, ia juga mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan. Berbeza dengan Sifat orang yang sihat rohaninya juga selalu rindukan ketenangan, kedamaian dan ketenteraman, berbeza dengan orang yang berpenyakit rohani kadangkala suka menghasut dan menimbulkan pergaduhan. Salah satu symptom daripada ketidak-normalan jiwa ialah sikap menaruh hati dan berkeinginan terhadap wanita-wanita yang sudah mempunyai suami. Kerana itulah, maka Allah memberi nasihat kepada isteri-isteri Nabi s.a.w.
Firman Allah s.w.t. bermaksud: 'Hai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak sama dengan seorang pun dari wanita-wanita lain jika kamu berbakti. Maka janganlah kamu berlembut kata (kepada lelaki lain), kerana akan menaruh harapan (akan timbul keinginan) orang yang hatinya ada penyakit melainkan ucapkanlah perkataan yang sopan.
Al-Ahzab, ayat 32.
Di antara ahli tafsir ada yang mentafsirkan pengertian penyakit dalam ayat tersebut sebagai syahwat zina. Keterangan ini logik kerana orang yang normal fikirannya tentu dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang halal dan mana yang haram. Orang yang berpenyakit rohani tidak akan dapat menikmati ketenangan hidup. Ini kerana hanya orang yang sihat rohani sajalah yang dapat menikmati ketenangan dan kebahagiaan. Dengan kata lain symptom ini disebutkan sebagai muhlikat, sifat buruk yang merosakkan atau ahlaqul mazmunah yakni akhlak yang tercela. Jika seseorang itu memiliki rohani yang sihat atau mental yang baik, dia akan dapat bekerja dengan tekun dan beramal kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya sebagai bakti kepada Allah dan ihsan kepada sesama manusia. Sebaliknya orang yang berpenyakit rohani, daya kerjanya lumpuh dan tidak sanggup melakukan sesuatu yang penting dan bernilai dalam pembangunan.Ahli-ahli di bidang kesihatan pada umumnya sependapat bahawa penyakit-penyakit rohani mengakibatkan berlakunya kerosakan pada jantung, tekanan darah, saraf, paru-paru dan selain itu gangguan pada mental juga boleh menyebabkan seseorang itu merasa tidak enak makan, dan tidak dapat tidur. Apabila penyakit rohani itu berlarutan tanpa ada usaha pengubatan dan pencegahan, maka akan membahayakan dirinya sendiri mahupun bagi orang lain.

Tiada ulasan: