29 Jun 2008

RAMAI YANG TAK TAU BENDA NIE

KUALA LUMPUR: Amalan mengambil pelbagai jenis suntikan atau pembedahan plastik untuk mencantikkan wajah bercanggah dengan Islam jika dilakukan semata-mata untuk kecantikan tanpa memenuhi keperluan fitrah manusia.Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Mohd Azhar Abdullah, berkata dalam keadaan tertentu hukum perbuatan itu juga boleh menjadi haram.“Jika melanggar fitrah manusia dan ia berlaku bukan secara semula jadi, hukumnya haram. Ada disebutkan dalam hadis bahawa perbuatan demikian salah di sisi agama Islam.“Apatah lagi jika ia menyebabkan mudarat dan ‘kesakitan’ kepada individu yang mendapatkan rawatan, sedangkan mencukur dan mengukir kening pun tidak dibenarkan, apa lagi jika mengubah rupa bentuk asal kepada bentuk lain,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jika seseorang melakukan rawatan tertentu untuk ‘merawat’ kecacatan seperti mulut sumbing atau ada kesan terbakar atau melecur pada muka, ia dibenarkan.
“Jika ia dilakukan dengan tujuan baik, tidak salah jika kita dapatkan rawatan susulan. Misalnya, jika seseorang itu bermasalah kerana mulutnya sumbing hingga menyebabkan suaranya sengau dan sukar bercakap, dia dibenarkan mendapatkan rawatan demikian.“Apatah lagi jika membabitkan nyawa atau kematian, ia harus dilakukan supaya tidak menyebabkan kemudaratan kepada individu berkenaan. Namun kalau sekadar untuk suka-suka, lebih-lebih lagi meniru rupa seseorang, ia haram,” katanya.Namun begitu, katanya, agama Islam sebenarnya ada keterbukaan dan tidak menghalang umatnya tampil menawan di khalayak ramai, tetapi ada batas dan perlu kesederhanaan.“Islam membenarkan kita jaga kebersihan, malah kecantikan juga perlu dipelihara, tetapi ia perlu selari dengan kehendak dan garis panduan ditetapkan.“Cuma yang dilarang jika ia membabitkan kosmetik atau bahan kimia yang dilakukan secara suntikan dan pembedahan yang menyebabkan perubahan dan ‘kerosakan’ pada wajah. Ia tidak memenuhi fitrah manusia kerana ia berlaku secara ‘paksaan’,” katanya.Sementara itu, Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim, berkata tindakan atau kesanggupan artis ‘menukar wajah’ didorong status diri mereka yang menjadi perhatian ramai.Selain itu, katanya, tindakan nekad berkenaan dilakukan kerana artis menjadikan bidang seni sebagai punca pendapatan, sekali gus mahu mengekalkan kedudukan serta menarik perhatian ramai, sama ada peminat mahupun penaja.“Artis mendapat sumber kewangan melalui kecantikan dan daripada segi psikologi, mereka sanggup lakukan apa saja untuk kekalkan kedudukan, mendapat penaja serta menjadi pujaan,” katanya.

Tiada ulasan: