KL: Kemunculan sejam Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi debat malam ini menunjukkan kedua-dua personaliti ini 'menyerang' satu sama lain berhubung isu kenaikan harga minyak - dengan bekas Menteri Kewangan berjanji akan mengurangkan harga minyak 50 sen selitar manakala Menteri Penerangan pula mempersoal pembangkang tidak memegang pada kadar harga sebelum 5 Jun.Ahmad Shabery berkata, pembangkang seharusnya menurunkan harga daripada kadar sebelum 5 Jun bukannya berdasarkan paras semasa.
Sambil menyifatkan pendirian Pakatan Rakyat sebagai sesuatu yang populis, Ahmad Shabery memberitahu, berdasarkan kempen pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Anwar telah berjanji akan menurukan harga dengan mengambil kadar ketika itu."Sebelum pilihan raya harga hanya RM1.91 seliter (sehingga 4 Jun), tak timbul harga semasa sekarang."Kita kena pegang kepada keadaan asal sebelum pilihan raya umum," kata beliau yang memulakan debat bertajuk Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak anjuran portal berita Agendadaily, yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini bermula pada 9 malam.Pengerusi DBP, Datuk Johan Jaaffar menjadi moderator debat itu.Anwar yang memulakan debat sebagai pemidato pertama mengusulkan bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah hari ini, esok pihaknya akan mengurangkan kadar minyak sebanyak 50 sen selitar. Debat ini diadakan pada hari Petronas mengumumkan prestasi kewangan yang berakhir 8 Mac lalu, antara lain telah menyumbangkan RM62.8 bilion kepada perbendaharaan kerajaan.
Isu itu juga disentuh oleh kedua-dua pemidato dalam perbahasan mereka.Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga 1998 sebelum dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, penurunan yang disyorkan beliau itu merupakan tindakan peringkat awal.Katanya, harga minyak akan diturunkan secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa.Debat menyaksikan tindakan ungkit-mengungkit latar belakang politik masa lalu, antara Anwar dilabel sebagai sering mengecam polisi Allahyarham Tun Abdul Razak yang memulakan Petronas dan gerakan mahasiswa tahun 1970-an manakala Ahmad Shabery pula disebut bekas ahli Parti Melayu Semangat 46 yang telah dibubarkan.Bagaimanapun kedua-dua pemidato berbahas dengan tenang di hadapan kira-kira 250 penonton termasuk masing-masing 50 daripada sebelah Anwar dan Ahmad Shabery.Anwar dan Shabery berbahas di bawah format kempen pilihan raya Amerika Syarikat dengan mereka berdiri di pentas dengan dipengerusikan oleh Johan dari bawah.Ahmad Shahbery memilih Tan Sri Dr. Nordin Kardi sebagai wakil penonton untuk bertanya soalan manakala Zulkifli Sulong di sebelah Anwar.Ketika merumuskan pandangan kira-kira satu setengah minit, Anwar berkata, jika diberi peluang beliau akan bertanding dalam pilihan raya dalam waktu terdekat."Kita mengumumkan cadangan, gagasan ini dengan penuh tanggungjawab. Kalau kita mahu ekonomi kita kukuh, kerana saya yakin kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, belum tentu sampai bila, kalau diteruskan dengan dasar yang ada sekarang, dalam tempoh dua bulan, tiga bulan lagi ekonomi kita akan jauh lebih parah."Ini kenyataan! Kalau saudara tidak setuju tak mengapa... saya minta teliti dengan baik objektifnya.
"Sebab itu kami di Pakatan Rakyat akan terus menjelaskan kepada rakyat, sebab itu saya tidak mahu hak saya dinafikan, dan untuk meneruskan dengan agenda ini walaupuan saudara Shabery memilih untuk menyerang saya secara peribadi, saya tidak mahu menjawab kerana ini bukan ruang," katanya.
Ahmad Shabery pula berkata, sikap Anwar tidak ubah sejak dari dahulu ketika mengetuai gerakan mahasiswa tahun 1970-an."Dalam sejarah yang banyak memberi sumbangan kepada negara, membina Petronas, kalau dahulu orang yang membina Petronas ialah Tun Abdul Razak, Mahathir yang mengembangkan Petronas sampai ke peringkat dunia tetapi terus ditentang."Pada waktu sekarang Pak Lah (Perdana Menteri) yang tidak mengambil lebih daripada apa yang sepatutnya, maka tiada sebab untuk kita menentang."Apakah kita hendak terus memainkan sentimen-sentimen mengajak orang ke jalan raya sebagaimana dibuat dalam 1974 akan menyelesaikan masalah kita?" ujar beliau.Sementara itu ketika ditemui pada sidang media selepas debat tersebut, Anwar memberitahu, beliau berterima kasih kerana mendapat peluang malam ini dan ia hanya satu saranan atau medium untuk mengemukakan program yang dirancang Pakatan Rakyat yang tidak akan menjejaskan rakyat dan orang ramai boleh melihat sendiri.
Ahmad Shabery pula memberitahu, debat hari ini berjalan lancar serta membuka ea baru kepada negara yang disebut sebagai mengambil pendekatan keterbukaan di bawah pimpinan Abdullah."Peluang ini memberi kesempatan untuk kerajaan dan rakyat mendengar hujah-hujah yang ingin dikemkukakan oleh Anwar."Apa yang penting ialah kita (kerajaan) berani ke depan untuk mempertahankan hujah dengan baik," katanya.Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan hujah dikemukakan oleh Anwar, Ahmad Shabery berkata, tidak perlu kerana tiada pandangan pandangan atau mekanisme baru dikemukakan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.
sumber : http://www.klpos.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan