09 Julai 2008

Menteri Salah Guna Power

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Hrkh) - Sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mencuri tumpuan ahli Parlimen Pakatan Rakyat.Ia bermula apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato'Chor Chee Heung menyentuh berkenaan isu ISA, yang dianggap masih perlu digunapakai di Malaysia. Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS-Titiwangsa) bangkit membantah penggunaan ISA di negara ini dengan menyatakan bahawa ianya disalahgunakan Menteri Dalam Negeri. "ISA ini telah disalahgunakan menteri terbabit dengan menahan atau melanjutkan tahanan seseorang itu tanpa sebarang alasan kukuh mengapa ditahan. Sebagai contoh, dua tahanan ISA iaitu Mat Sah Satray dan Shamsuddin Osman telah disambung penahanannya selama dua tahun lagi menjadikan lapan tahun. Tak cukupkah tempoh enam tahun untuk menyiasat dan mengumpul bukti?" soal beliau di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau bangkit membantah cadangan Dato' Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk menggunakan ISA terhadap mereka yang terlibat dengan 'sabotaj ekonomi'.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Dato' Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertindak menegur Lo' Lo' agar tidak membawa isu lain yang boleh dijadi bahan perbahasan. Sementara itu, Chee Heung dalam jawapannya menyatakan bahawa ISA adalah satu akta pencegahan dan masih diperlukan serta akan digunakan secara adil. Beliau juga menafikan dakwaan yang mengatakan menteri menyalahgunakan kuasa berkaitan ISA ini. Ketika ini M Manogaran (DAP-Telok Intan) bangun meminta penjelasan Chee berkenaaan seorang tahanan Hindraf, P Uthayakumar yang dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan. Chee, kemudiannya menyatakan bahawa Uthaya telah diberikan haknya untuk mendapatkan rawatan sambil menegaskan bahawa mereka yang ditahan di bawah ISA tidak dianiaya. "Mereka yang ditahan di bawah ISA akan disiasat berkenaan dakwaan yang dikenakan terhadap mereka. Jika mereka sudah pulih dalam tempoh empat tahun, contohnya mereka akan dibebaskan. Jika belum, ia akan disambung lagi dua tahun. Bukannya sampai mati," tegas beliau.

Ketika ini beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat bangkit bagi memohon penjelasan, bagaimanapun tidak diberi laluan oleh Chee. Sementara itu, Ir Khalid Samad (PAS-Shah Alam) ketika bangun memohon penjelasan menyatakan bahawa semua tahanan ISA yang disiasat perlu dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. "Saya rasa tak betul, tak tepat bahawa apabila ditahan di bawah ISA itu tidak zalim dan dilayani secara adil. Itu satu pembohongan. Jika dah siasat, ada bukti, bawa ke mahkamah. 'That's is justice'," kata beliau dan mendapat tepukan daripada Pakatan Rakyat

Tiada ulasan: