27 Julai 2008

PINTU SUDAH DIBUKA .. GENDANG DAH DIPALU

BANGI: Pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dalam proses bacaan kali kedua di Dewan Rakyat Ogos ini, diluluskan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa.

Beliau berkata, pindaan yang sudah diluluskan Kabinet itu, masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik, tetapi mereka boleh menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik. Katanya, pindaan itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif dan kebebasan dalam mencapai tahap kecemerlangan. "Terserah kepada mahasiswa atau pihak universiti jika hendak menjemput pemimpin pembangkang. Apakah maknanya seorang pelajar universiti jika mereka hanya dibenarkan jemput satu pihak saja.

"Kalau tidak dibenarkan pun mahasiswa boleh mengakses laman web, jadi lebih baik kerajaan benarkan dalam keadaan terpelihara, terkawal. Kita berada dalam dunia maklumat, setakat penguasaan ilmu saja tidak cukup kerana mahasiswa mesti ada 'talent' serta pemikiran yang tajam. "Soalnya bukan hendak jemput parti politik kerajaan saja. Misalnya, jika mahasiswa mahu mendapatkan pandangan mengenai krisis minyak dunia dan kebetulan penceramah yang dijemput adalah daripada parti politik termasuk pembangkang, pindaan AUKU itu akan membenarkannya," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2008 serta pelancaran buku Majlis Kepimpinan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (Maklum), dekat sini, semalam. Minggu lalu, beliau dilaporkan berkata, pindaan AUKU itu dibuat bagi membolehkan mahasiswa membuat keputusan dan menentukan sendiri perkara yang baik dan buruk untuk mereka.

Mohamed Khaled berkata, melalui pindaan AUKU itu juga, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah. "Jika dulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti. "Tetapi tidak bermakna seseorang pelajar itu tidak tertakluk pada undang-undang negara. Jika mereka buat kesalahan mengikut Kanun Keseksaan mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang negara. Contohnya, jika seseorang mahasiswa terbabit dalam demonstrasi tanpa permit, maknanya tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa," katanya. Beliau berkata, pindaan baru AUKU juga membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung oleh pihak universiti untuk mengambil peperiksaan.

Tiada ulasan: