13 Julai 2008

Saya orang yang pertama keluar PAS -Datuk Amir Yaakub

KUALA LUMPUR, 9 Julai: "Saya orang yang pertama keluar PAS." Demikian reaksi Datuk Amir Yaakub, bekas calon PAS Dun Lendu, Melaka jika PAS bersetuju menerima orang bukan Islam sebagai ahli PAS sepenuhnya."Jika begitu, apa beza keahlian saya dengan mereka dalam parti Islam ini," kata Datuk Amir berhujjah.Datuk Amir, bekas Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, menyertai PAS bersama-sama dengan penghijrahan beramai-ramai bekas pegawai tinggi kerajaan khasnya bekas pegawai tinggi angkatan tentera dan polis ke dalam PAS awal tahun 2000an lalu.Inilah dilema yang dihadapi PAS menjelang Muktamarnya yang ke 54 di Ipoh pertengahan Ogos depan.

Satu pihak mahukan orang bukan Islam diterima sebagai ahli PAS, namun sebahagian pula tidak bersetuju kerana PAS adalah parti Islam."Jika kita menerima orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu sahaja, ini bermakna kita meletakkan mereka sebagai ahli kelas kedua. Jika begitu, lebih baik tidak payah," kata Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.Namun, setelah beberapa kali mesyuarat, para pimpinan PAS difahamkan masih belum mencapai kata sepakat dalam soal ini.Desakan dari orang bukan Islam samada dari kaum India atau Cina semakin banyak sekarang bagi membolehkan mereka menjadi ahli PAS.Dari segi politik pula, PAS sangat mahukan mereka menyertai parti itu bagi membolehkan PAS disokong oleh semua pihak tanpa ada batasan agama dan bangsa.Lajnah Perpaduan Nasional PAS yang diketuai anggota Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof adalah pihak yang banyak mengendalikan hal ehwal mereka.Mujahid mencadangkan agar Kelab Penyokong PAS, tempat berkumpulnya orang bukan Islam sekarang dijadikan dewan setaraf dengan Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat yang ada sekarang.

Baru-baru ini, mesyuarat satu unit dalam PAS mencadangkan agar orang bukan Islam diterima sebagai ahli penuh dalam PAS.Namun, untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, hanya orang Islam sahaja yang layak untuk menduduki kerusi itu. Ia perlu ditegaskan dalam perlembagaan parti."Ini satu cadangan yang baik," kata Datuk Amir."Kalau begitu saya setuju dan akan kekal bersama PAS kerana saya rasa, sebagai orang yang beragama Islam, saya ada kedudukan istimewa sesuai dengan PAS adalah sebuah parti Islam," katanya.Dengan cara ini, kata beliau, orang bukan Islam tidak akan terasa mereka ahli kelas kedua kerana mereka berhak mengundi dan diundi sebagaimana ahli PAS yang lain.Cuma tidak boleh menjadi timbalan dan presiden PAS sahaja kerana ia diperuntukkan kepada orang yang beragama Islam sesuai dengan namanya parti Islam."Itupun mereka boleh apabila mereka memeluk Islam selepas melihat keadilan yang diberikan Islam dalam PAS," kata Datuk Amir.

Tiada ulasan: