13 Julai 2008

SIAPA PINGGIR BANGSA SENDIRI ?UMNO ATAU PAKATAN RAKYAT

YAB Perdana Menteri telah membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP), RMKe-9 Khamis lalu. Banyak kejayaan telah dilaporkan dan banyak inisiatif baru telah diperkenalkan untuk terus maju ke hadapan dalam suasana geo-politik dan ekonomi negara, serantau dan dunia yang tidak menentu.

YAB Datuk Seri telah memberikan ulasan yang positif, di samping memberikan beberapa syor yang konstruktif.

Dalam pada itu kedengaran pula suara-suara sumbang bahawa kononnya Kerajaan terlalu banyak menolong Bumiputera. Kononnya bukan Bumi dipinggirkan. Eloklah dipaparkan dan diteliti kedudukan sebenar.

1. Kadar Kemiskinan 2007:

Bumi = 5.1% Cina = 0.6% India = 2.5%

Bandar = 2.0% Luar bandar = 7.1%

2. Pendapatan Bulanan Isi Rumah 2007:

Bumi = RM3,156 Cina = RM4,853 India = RM3,799

Bandar = RM4,356 Luar bandar = RM2,283

3. Nisbah Pendapatan 2007:

Bumi:Cina = RM1:RM1.54 Bumi:India = RM1:RM1.20

Luar Bandar:Bandar = RM1:RM1.91

4. Ekuiti 2007:

Bumi = 19.4% Cina = 42.4%

India = 1.1% (syernya turun daripada 1.2% tapi nilai ekuiti naik 9% daripada RM6.4 bilion kepada RM7 bilion)

5. Hak Milik Aset 2007:

Bangunan: Bumi = 15.7%, Cina = 75.7%, India = 4.3%

Premis industri: Bumi = 3.5%, Cina = 87.2%, India = 1.5%

Hotel: Bumi = 20.8%, Cina = 54%, India = 2.7%

Berdasarkan fakta di atas maka yang benar dan jelas ialah antara tahun 2004 dan 2007, kadar kemiskinan semua kaum telah menurun, kecuali kaum Cina kekal tetapi ianya sudah cukup rendah (0.6%) Dalam tempoh yang sama, pendapatan bulanan isi rumah semua kaum serta pendapatan semua isi rumah bandar / luar bandar telah meningkat. Perbezaan pendapatan antara kaum dan antara luar bandar/bandar juga telah mengecil.

Fakta-fakta ini merupakan satu bukti kukuh bahawa semua kaum mendapat faedah dari usaha kerajaan; tiada kaum yang terpinggir. Malah ekuiti kaum Cina meningkat lebih pantas lagi (+RM57 bilion) dalam tempoh 2005/2007 berbanding dengan pertambahan ekuiti Bumi sebanyak RM20 bilion; perbezaannya hampir tiga kali ganda ! Jadi mengapa mereka nak pertikaikan kaum Melayu.

Sepatutnya, pengkritik kaum bumiputera ini hendaklah menerima hakikat bahawa kadar kemiskinan Bumi adalah yang tertinggi (5.1%). Pendapatan mereka adalah yang terendah (RM3,156 sebulan) dan jurang ekonomi antara Bumi dengan bukan Bumi masih lebar. Berdasarkan perbezaan marginal increase di atas, nampaknya jurang ini akan semakin melebar, bukan akan mengecil.

Hak milik ekuiti dan aset Bumi juga rendah berbanding kaum Cina.

Kombinasi data-data tersebut menunjukkan bahawa sebenarnya yang terpinggir di ‘kepuk’ sendiri ialah Bumi! Bukan Bumi pula berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik daripada Bumi. Maka memang wajarlah perhatian yang lebih diberikan kepada Bumi; apatah pula, di kalangan yang terpinggir itu, Bumi lah yang teramai.

Tumpuan ini tidaklah bermakna bukan Bumi yang miskin akan terbiar dan terpinggir. Kaum India sendiri tidak perlulah menjerit kerana, dalam beberapa aspek, kedudukan mereka adalah lebih baik daripada Bumi. Namun, mereka akan terus dibantu.

Pelan tindakan khas telahpun disediakan untuk membantu mereka:

(a) akan diperluaskan akses kepada peluang latihan kemahiran dan keusahawanan – 6,269 belia India sudahpun dilatih,

(b) ekuiti akan ditambah melalui skim amanah; antara 2004/2007, pelaburan India dalam PNB telah meningkat 128%, daripada RM262 juta kepada RM599 juta, dan

(c) memberi bantuan kewangan melalui skim usahawan muda India di bawah TEKUN.

Justeru itu, untuk mencapai keadilan sosio-ekonomi maka Teras 3 perlulah diberi keutamaan. Peruntukan sebanyak RM17.6 bilion adalah kecil; hanya 7.7%. Ia perlulah digandakan Supaya akan terus wujud keharmonian sosial, bukan Bumi hendaklah belajar berterima kasih dan bersyukur bahawa kaum Bumi telah banyak bertolak ansur. Janganlah terus menolak dan mendesak sehingga menimbulkan perasaan terhimpit dan terhakis di kalangan Bumi. Bukan Bumi hendaklah dilihat memiliki kejujuran untuk menolong Bumi; bukan menimbulkan persepsi seolah-olah sentiasa hendak memperkecilkan hak mereka yang tinggal sedikit itu.Jika benar bukan Bumi ingin memperjuangkan isu (issue-based) dan tidak bersifat perkauman, maka perjuangkanlah juga 6 isu ini:

1. membasmi kemiskinan,

2. menambah pendapatan bulanan isi rumah,

3. merapatkan jurang sosio-ekonomi (pendapatan, aset, ekuiti, pekerjaaan di sektor swasta),

4. memperbaiki keadilan sosial,

5. menghormati kontrak sosial,

6. menyokong affirmative policy/initiative.

Kaum Bumi sedar bahawa semua isu yang dipilih dan diperjuangkan oleh bukan Bumi selama ini - kesamarataan, meritokrasi, daya saing, ketelusan, hak milik tanah bagi penduduk kampung baru dan seumpamanya - adalah isu-isu yang bersalutkan kepentingan kaum mereka sahaja.

Tiada ulasan: