17 November 2008

Azhan Atan di Tangga Batu

TANGGA BATU, 10 Nov (Hrkh) - PAS Kawasan Tangga Batu mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke program Hari Terbuka PAS Kawasan Tangga Batu yang akan dimeriahkan dengan kehadiran Juara Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan pada hari Ahad ini, 16 November 2008 di Balai Islam Pantai Kundor, Pantai Puteri, di sini.

Menurut Pengarah Program, Husni Balis Ali, pelbagai acara turut diadakan bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 malam yang akan melibatkan penyertaan semua peringkat usia. "Acaranya termasuklah pesta jualan makanan, gerai dan pameran, kem kesihatan, pertandingan mewarna dan sukaneka untuk kanak-kanak.

"Di samping itu bagi acara remaja dan ibu-bapa akan diadakan pertandingan sepak takraw, pertandingan ping-pong, cabutan bertuah dan sebagainya," katanya. Manakala pada sebelah malamnya berlangsungnya acara kemuncak iaitu program Malam Kesenian Islam yang menampilkan Juara Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan dan kumpulan nasyid dari pelajar-pelajar Madrasah An Nuriah serta pelajar-pelajar PASTI. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Ketua Penerangan Pas Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad di talian 019-6201515.

Tiada ulasan: