14 Disember 2008

IJTIMAK KEPIMPINAN MTD SERKAM (IKMS) SIRI 1 -Malaysiakini

Satu ijtimak kepimpinan MTD akan diadakan di Markaz MTD Serkam,Kampung Pulai malam ini. Ijtimak yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Dun Serkam ini adalah bertujuan untuk menyalurkan maklumat terkini berkenaan dengan isu-isu terkini yang berlaku di negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya.

Program yang melibatkan peserta seramai 80 orang daripada 8 cawangan yang berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) serkam ini akan memberikan pengkhususan kepada aspek tarbiyah kepimpinan serta gerak kerja yang lebih efisen ke arah meraih sokongan daripada segenap lapisan masyarakat yang berada di dalam DUN serkam.

Antara pengisian yang disediakan dalam program ialah pembentangan kertas kerja berkenaan dengan tarbiah serta pembentangan slide analisa keputusan pilihanraya yang ke 13 khususnya bagi DUN serkam. Sesi soal jawab juga diberikan semasa program berlangsung.

Majlis di akhiri dengan majlis penyerahan borang keahlian PAS dan borang keahlian Kelab Penyokong PAS kepada cawangan-cawangan yang terlibat sebagai simbolik kepada bermulanya gerak kerja yang lebih agresif lagi. Salah seorang dari AJK PAS cawangan, Sdra Abdul Malik menyatakan program ini perlu diikuti oleh setiap AJK PAS cawangan kerana ianya boleh diumpamakan satu program ilmu yang boleh memberikan manfaat buat semua kerana selain dapat menambahkan maklumat, program ini juga memberikan peluang kepada ahli PAS cawangan untuk menyatakan persoalan yang mungkin dapat dikongsi bersama dengan perserta dan pembentang kertas kerja tersebut.

Semoga dengan program yang dianjurkan, ianya akan membawa satu perubahan dalam gerak kerja organisasi PAS cawangan dalam DUN Serkam.

12 Disember 2008

Ketokohan Ulama Dikagumi -Malaysiakini

Presiden Kesatuan Eropah,Marc Barety melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz di negeri Kelantan.Beliau berkata demikian, ketika mengetuai seramai 14 peserta lawatan sambil belajar terdiri daripada Duta dan wakil kesatuan Eropah (EU) yang berkunjung ke negeri Kelantan baru-baru ini.

Delegasi tersebut terdiri dari negara Perancis, Republik Chech,Poland, Hungary,Slovakia, Austria, Sweden, United Kingdom,Belgium, Romania,Italy,Denmark dan Findland .

Rombongan deligasi tersebut telah disambut oleh Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Darulnaim.Sementara itu di sidang media, Tuan Guru berkata kunjungan delegasi dari EU ini memberi erti kerajaan Kelantan mendapat pengiktirafan dan penghormatan dari kaca mata dunia, beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian mereka berkunjung ke negeri Kelantan.

Tuan Guru juga berkata beliau telah ditanya berkaitan dengan perbezaan corak pentadbiran dengan pusat dan beliau menegaskan bahawa selagi corak pentadbiran Pusat tidak berlandaskan Islam, selagi itulah kami akan menegurnya.

Beliau juga berkata selepas kerajaan PAS mengambil alih Kelantan, beliau terus menukarkan semua akaun bank milik kerajaan kepada bank Islam yang tidak berlandaskan riba dan kini sudah banyak bank-bank yang menawarkan sistem perbankan tanpa riba. Menyentuh kepada pemimpin sesebuah negeri ianya tidak semestinya keturunan melayu, Kaum lain seperti Cina juga boleh menjadi ketua negeri asalkan ia seorang yang alim dan warak serta menurut perintah Allah SWT.

"Sebab itulah kini,kita lihat adanya kelab penyokong PAS dari kaum-kaum lain, mengapa mereka tak tubuh kelab penyokong Umno kalau Umno itu betul gak,"ujar beliau. Kerajaan Kelantan kini juga mempunyai penghulu dari kaum-kaum lain bagi merapatkan hubungan sesama kaum di negeri ini tanpa mengira agama.

Dari segi ekonomi pula, kerajaan beranggapan ekonomi tidak salah tetapi ahli ekonomi yang telah membunuh ekonomi itu sendiri, riba telah diteruskan secara berleluasa. "Islam melarang duit membuat duit,mana boleh kita duduk diam-diam,duit datang berterusan,itu namanya riba, sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah,kenderaan dan komputer,mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini,"katanya lagi.

Manakala ketika ditanya tentang pelaburan di negeri ini, Tuan Guru berkata ia tidak dibincangkan bersama delegasi ini,namun kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini seperti dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi,minuman dari alkohol dan pelbagai kegiatan maksiat.

Sementara itu, Marc Barety pula melahirkan rasa kagum di atas corak pentadbiran yang diamalkan oleh pimpinan Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz dan beliau tidak merasa janggal walaupun corak pentadbiran negeri ini berbeza dengan negeri lain seperti Sabah dan kedah yang sebelum ini pernah dikunjungi beliau.

"Pentadbiran sebegini akan berterusan kerana ia dipilih secara demokrasi dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada rakyatnya,"ujar beliau. Sementara itu, isteri delegasi tersebut turut diraikan oleh isteri Menteri Besar,Datin Hajjah Tuan Sabariah Tuan Ishak,mereka dibawa ke pusat kraftangan dan Pusat Batik di sekitar bandar Kota Bharu.
Ulasan : Bila lah Melaka boleh dapat tokoh macam nie yer ???

Wanita Umno dah Tak Laku ??-Malaysiakini


DATO' Seri Mohd Ali Rustam masih dalam demam glamour, ekoran penganugerahan Darjah Dato' kepada artis Bollywood, Shah Rukh Khan baru-baru ini. Dengan penuh kebanggaan, calon bagi jawatan Timbalan Presiden Umno ini mengesahkan akan menghantar sekumpulan pegawai ke Mumbai, India, Januari depan bagi meninjau kemudahan studio perfileman milik Shah Rukh Khan yang berjanji membantu penubuhan studio itu.

Mohd Ali memang dikenali kerana kreativitinya sebagai orang politik. Kerajinannya cukup luar biasa.Jika dijemput, tiada majlis kahwin yang dia tidak sampai. Biarpun kedatangannya sesudah majlis perkahwinan selesai, namun Mohd Ali pasti akan muncul.
Begitu juga dengan sikapnya yang pemurah. Kalau ada kawan-kawan yang sakit, menderita atau meninggal dunia, biasanya jika mereka memberitahu Mohd Ali, pasti akan sampai segala bentuk bantuan dan pertolongan.

Bukan itu sahaja, sejak Mohd Ali menjadi Ketua Menteri Melaka, sikap pemurahnya juga menyebabkan ramai yang bukan orang Melaka, tidak ada jasa kepada Melaka, akan disokong untuk dianugerahkan gelaran Dato'. Malahan, ada yang menerima Dato' Wira, Dato' Seri dan JP. Ini bukan rahsia dan semua orang mengetahuinya. Terutama orang politik dan tokoh perniagaan, jika disokong oleh orang politik, insyaAllah, orang yang disokong itu akan bergelar Dato' dalam masa yang singkat.

Begitu juga Shah Rukh Khan. Dia dianugerahkan gelaran Dato' kerana jasanya kepada Melaka. Malahan, kata Mohd Ali, kemungkinan Shah Rukh Khan akan menerbitkan filem terbaru, yang akan menyebut Melaka pada tajuk filem itu, walaupun belum ada pengesahan tetapi, begitulah janjinya. Ini yang dikatakan kreativiti. Penganugerahan pula, bolehlah disebut inovasi. Bila kreativiti dicampur dengan inovasi, lebih kuat kedudukannya.

Malangnya, ketika Mohd Ali sibuk mencari seluruh orang politik dari seluruh Malaysia, khususnya dari kalangan ketua-ketua bahagian Umno, untuk disokong menerima anugerah Dato', dia terlupa, ada beberapa insan yang dia patut beri anugerah, walaupun orang itu sudah meninggal dunia.
Tahukah Mohd Ali, ketika dia sibuk menyenaraikan seorang demi seorang, ketua bahagian, timbalan dan naib ketua bahagian, selain dari ketua Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian untuk dianugerahkan Dato' kenapa dia tidak menyemak siapa Ketua Kaum Ibu Umno Melaka (Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Melaka) yang pertama, yang tidak pernah menerima apa-apa anugerah dari Kerajaan Negeri Melaka?

Apakah kerana Ketua Kaum Ibu Umno Negeri yang pertama itu, tidak dapat memberikan sebarang undi kepada Mohd Ali atau, memang menjadi dasar Kerajaan Negeri Melaka, orang yang sudah meninggal, tidak perlu dikenang dan tidak perlu diberikan sebarang penghargaan.Tidak ada ruginya Mohd Ali mengarahkan pegawai-pegawainya menyemak sejarah Umno Melaka, siapakah Ketua Kaum Ibu pertama Negeri Melaka.Namanya Asmah Alang dan orang ini pun sudah meninggal dunia dan tidak pernah menuntut apa-apa penghargaan daripada Umno Negeri Melaka, jauh sekali, kerajaan negeri.

Tahun ini, tahun yang cukup sibuk buat Mohd Ali. Tidak payahlah kerja menyemak nama Allahyarham Asmah ini dibuat kerana, masa yang ada sekitar empat bulan lagi adalah cukup baik jika digunakan untuk menyemak siapakah yang dapat memberikan undi mereka kepadanya, untuk dia menang jawatan Timbalan Presiden Umno.
Lawannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib pun bukan calang-calang orang. Maka, persiapan Mohd Ali kenalah lebih hebat dari dua calon yang bejawatan di peringkat pusat, sedangkan Mohd Ali hanya seorang Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, yang hanya mempunyai enam bahagian.

Berbanding dengan Muhyiddin, walaupun tidak menjadi pengerusi kepada mana-mana badan perhubungan negeri, tetapi pengalamannya yang cukup lama dalam kerajaan Pusat dan negeri, membuatkan orang Umno lebih mengenalinya dari Mohd Ali dan Muhammad. Muhammad pula adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, negeri yang mempunyai 22 bahagian dan dari segi sejarahnya, walaupun Muhammad baru sahaja menjadi Menteri Pusat tetapi, dia pernah menjadi MB Selangor selama 11 tahun.

Jika dibandingkan antara Mohd Ali, Muhyiddin dan Muhammad, Mohd Ali yang paling baru dalam MT Umno. Sepenggal dia menjadi anggota MT, terus menang kerusi Naib Presiden berbanding Muhyiddin dan Muhammad pernah menang kerusi Naib Presiden dalam tahun 1993, serentak tetapi Muhyiddin di kerusi nombor satu manakala Muhammad di kerusi nombor tiga.
Ketiga-tiganya pernah menjadi Menteri Besar/Ketua Menteri, tetapi Mohd Ali seorang sahaja tidak pernah menjadi Menteri, berbanding Muhyiddin dan Muhammad. Tidak pula sesiapa menyimpan rekod, berapa ramai yang bergelar Dato' ketika Muhyiddin menjadi MB Johor, begitu juga dengan Muhmmad, berapa ramai yang dianugerahkan gelaran Dato' dari Selangor ketika dia menjadi MB, tetapi ramai yang mengatakan, ketika Mohd Ali menjadi Ketua Menteri Melaka, bukan sahaja orang Umno dan anggota komponen BN mendapat anugerah Dato', malahan, pelakon Bollywood pun kini sudah bergelar Dato'.

Jika Shah Rukh Khan boleh mengundi dalam pemilihan Umno Mac depan, nescaya hampalah Muhyiddin dan Muhammad untuk mendapat sokongan dan undi dari pelakon Bollywood ini.Sebenarnya, soal penganugerahan darjah kebesaran, adalah hak kerajaan negeri dan tiada siapa boleh mempertikaikannya. Cuma, apakah selepas Shah Rukh Khan dapat anugerah dari Melaka, selepas ini ada negeri-negeri lain, bercadang untuk menganugerahkan gelaran Dato' kepada mana-mana ahli gusti WWE seperti Randy Orton, Batista atau Undertaker?

Mudah-mudahan, Shah Rukh Khan menepati janjinya, meletakkan nama Melaka pada tajuk filem terbarunya supaya Melaka sentiasa dalam ingatan para penonton filem Bollywood dari seluruh dunia. Jika dia tidak menepati janjinya, Mohd Ali bolehlah mencari seorang lagi calon Bollywood yang boleh membantu mempromosi Melaka, walaupun dari segi sejarah penganugerahan, hanya mereka yang berjasa kepada negeri sahaja diberikan anugerah seperti ini.

Allahyarham Asmah Alang, Ketua Kaum Ibu Umno (wanita Umno) yang pertama di Negeri Melaka, adalah isteri kepada bekas TPM Tun Ghafar Baba. Walaupun jasanya barangkali tidak sehebat jasa Shah Rukh Khan, dari kaca mata pegawai-pegawai yang membuat penilaian, untuk tujuan penganugerahan gelaran Dato' dari Negeri Melaka.
Ulasan : Berniaga "Datuk" lagi untuk dari berniaga ayam.