09 Julai 2009

MANSUH PPSMI: MUSNAH HARAPAN ANAK MUDA KE TUN MAHATHIR ??

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) boleh menjejaskan masa depan generasi muda.

Beliau yang kecewa dengan keputusan itu bagaimanapun mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran menambah bilangan guru bahasa Inggeris dalam usaha memantapkan lagi mata pelajaran berkenaan.

"Usaha menambah guru bahasa Inggeris itu baik dan kita perlu belanja wang yang cukup kerana pelajaran adalah penting bagi masa depan negara.

"Pada masa sama saya sedih kerana yang menjadi mangsa adalah masa depan anak kita dan keputusan ini menyukarkan mereka untuk belajar dan mengetahui perkembangan dalam bidang sains," katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini semalam.

Mengulas pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung PPSMI, Dr Mahathir berkata:

"Memang mereka ada menemui saya tetapi ia dibuat selepas kerajaan membuat keputusan.

"Sebenarnya, saya hanya menerima taklimat dan bukannya untuk mendapatkan pandangan ...selepas itu saya ada mengemukakan beberapa cadangan termasuk meminta kalau tidak boleh dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah, sekurang-kurangnya laksanakan pada peringkat sekolah menengah tetapi itu juga ditolak."

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mengunjungi Cyprus pada 16 Julai ini untuk mengadakan pertemuan dengan sukarelawan dari Free Gaza Movement.

Katanya, kunjungan itu sebagai tanda sokongannya dan rakyat Malaysia terhadap usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membantu mangsa kezaliman Israel di Gaza.

Tiada ulasan: