09 Julai 2009

ANAK MUDA SOKONG HAPUS PPSMI

PERTUBUHAN berkaitan pendidikan dan pemimpin pelajar universiti awam tempatan menyatakan sokongan kepada langkah memansuhkan PPSMI dan kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia.

Mereka menyifatkan keputusan itu akan memartabatkan bahasa Malaysia dan diletakkan pada tahap sepatutnya, manakala penguasaan bahasa Inggeris dimantapkan sebagai bekalan untuk rakyat lebih maju.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyarankan usaha lebih agresif dilaksanakan bagi memastikan perubahan dasar itu mencapai matlamat termasuk menyediakan bajet besar serta memastikan pihak berkaitan menjalankan peranan dengan penuh komitmen.

Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata Institut Terjemahan Negara antara agensi yang perlu memperkasa fungsinya terutama dalam penyediaan bahan rujukan mencukupi dan terkini bagi menyokong pelaksanaan strategi baru itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata walaupun sebelum ini kesatuan lantang menyokong PPSMI, pihaknya akur dengan ketetapan kerajaan.

"Kami akur tetapi meminta penguasaan bahasa Inggeris terus diberi tumpuan termasuk dengan membawa semula guru lama untuk kembali berkhidmat bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar dalam subjek berkenaan," katanya.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohamad Ridzuan Mohamad berkata, ia kerana dasar itu sangat terasa di luar bandar dengan kebanyakan pelajar tidak dapat menguasai dua mata pelajaran itu kerana diajar dalam bahasa Inggeris.

"Kita tidak nampak permasalahan ini pada peringkat pengajian tinggi kerana pelajar berjaya melangkah ke menara gading adalah mereka yang terpilih.

"Jika dikekalkan ia akan menyebabkan bilangan pelajar dari pedalaman yang tidak begitu baik dalam Matematik dan Sains berkurangan seterusnya peluang ke universiti menjadi semakin kecil," katanya.

YDP Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Sofiyussalam Mohamad Johari, berkata selepas PPSMI dilaksanakan prestasi dua mata pelajaran itu kurang memberangsangkan terutama di luar bandar.

"Pencapaian mereka terjejas dan adalah lebih baik jika dimansuhkan. Namun, satu mekanisme untuk pengukuhan bahasa Inggeris perlu difikirkan termasuk memberi galakan kepada pelajar menyertai program berteraskan bahasa kedua itu di luar kelas.

"Pendekatan menarik seperti penggunaan teknologi terkini seperti internet dan video yang lebih bersifat interaktif perlu untuk menarik minat belajar bahasa Inggeris.

YDP MPP Universiti Putra Malaysia, Mohd Syamsul Salleh, berkata PPSMI baik untuk penguasaan dua mata pelajaran itu sebagai bahasa ilmu antarabangsa, namun pemansuhan dasar itu tidak mendatangkan banyak masalah kepada mereka yang akan masuk ke IPT jika negara ini mempunyai sistem pengajaran dan pembelajaran yang baik untuk membangunkan pembelajaran bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohamad Nasir Mohamed Nazri sedih dengan keputusan itu kerana percaya ramai pelajar sekolah setuju jika PPSMI diteruskan.

"Tanyalah bekas pelajar sekolah seperti saya yang cemburu apabila pelajar kini lebih terdedah dengan bahasa Inggeris. Pejuang bahasa kebangsaan perlu membuktikan dengan nyata (hasil mansuhkan PPSMI) selepas kerajaan memenuhi permintaan mereka," katanya.

MANSUH PPSMI: MUSNAH HARAPAN ANAK MUDA KE TUN MAHATHIR ??

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) boleh menjejaskan masa depan generasi muda.

Beliau yang kecewa dengan keputusan itu bagaimanapun mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran menambah bilangan guru bahasa Inggeris dalam usaha memantapkan lagi mata pelajaran berkenaan.

"Usaha menambah guru bahasa Inggeris itu baik dan kita perlu belanja wang yang cukup kerana pelajaran adalah penting bagi masa depan negara.

"Pada masa sama saya sedih kerana yang menjadi mangsa adalah masa depan anak kita dan keputusan ini menyukarkan mereka untuk belajar dan mengetahui perkembangan dalam bidang sains," katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini semalam.

Mengulas pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung PPSMI, Dr Mahathir berkata:

"Memang mereka ada menemui saya tetapi ia dibuat selepas kerajaan membuat keputusan.

"Sebenarnya, saya hanya menerima taklimat dan bukannya untuk mendapatkan pandangan ...selepas itu saya ada mengemukakan beberapa cadangan termasuk meminta kalau tidak boleh dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah, sekurang-kurangnya laksanakan pada peringkat sekolah menengah tetapi itu juga ditolak."

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mengunjungi Cyprus pada 16 Julai ini untuk mengadakan pertemuan dengan sukarelawan dari Free Gaza Movement.

Katanya, kunjungan itu sebagai tanda sokongannya dan rakyat Malaysia terhadap usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membantu mangsa kezaliman Israel di Gaza.

Sains, Matematik kembali diajar dalam BM pada 2012

PUTRAJAYA: Kabinet semalam meluluskan strategi baru untuk memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Ini selaras dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Pada sidang medianya di sini, beliau yang juga Menteri Pelajaran, bagaimanapun berkata penguasaan bahasa Inggeris akan terus ditingkatkan dengan me-nambah baik pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi mendapat bantahan pelbagai pihak terutama pejuang bahasa yang mahu dasar itu dikaji semula.

Muhyiddin menjelaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan bermula secara bertahap bagi Tahun Satu dan Empat di sekolah rendah serta Tingkatan Satu dan Empat di sekolah menengah pada 2012, tetapi tidak membabitkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi.

"Untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014," katanya.

Sambil menolak andaian keputusan itu dibuat akibat tekanan mana-mana pihak, Muhyiddin menegaskan:

"Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan.

"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, iaitu guru mengajar subjek Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris."

Pemantauan kementerian pada 2008, katanya, mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Selain pemantauan kementerian, Laporan Trends in Mathematics and Sciences Study 2007 juga menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam subjek Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke-21 pada 2007.

Bagi subjek Matematik pula, laporan sama menyatakan kedudukan murid Malaysia merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 kepada ke-20 pada 2007.

Kajian universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah di tahap nominal, iaitu tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI yang bermula sejak 2003.

"Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid, iaitu Melayu di sekolah kebangsaan dan menengah dan bahasa Cina dan Tamil di SJK Cina dan Tamil," katanya.

Mengenai langkah untuk memartabatkan bahasa Malaysia, beliau berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada asas kemahiran berbahasa menerusi pendekatan modular bersepadu meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.

"Pada peringkat sekolah menengah, transformasi kurikulum bahasa Malaysia akan memberikan penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek kesusasteraan Melayu di samping memantapkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca membaca, menulis, penguasaan tatabahasa dan seni bahasa," katanya.

INFO: Kelemahan PPSMI

# Peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi subjek Sains dan Matematik.

# Hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada 2008 mencapai tahap profisiensi.

# Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus sekolah luar bandar.

# Peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR 2008 untuk subjek Matematik bagi murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus, luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

# Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Sains dan Matematik semakin melebar.

06 Julai 2009

PEMUDA KEMBALI KE POSISI SEBENAR

Pemuda PAS dengan saf pimpinan barunya tidak mengambil masa yang lama untuk kembali berada di posisi menyerang dari asyik terperangkap dengan isu-isu yang sering membawa pandangan bahawa mereka sedang cuba berbaik dan berdamai dengan Umno.

Dalam satu mesejnya kepada The Malaysian Insider, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat telah menjanjikan komitmen pergerakannya untuk secara bersungguh-sungguh menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang selama ini menjadi tunjang cengkam dan perintah Kerajaan Umno dan Barisan Nasional.

Pemuda PAS juga, mengikut Nasrudin akan berjuang habis-habisan supaya akta drakonian warisan penjajah British ini akhirnya akan dihapus dan dimansuhkan.

Sehubungan dengan itu, Nasrudin dalam kenyataannya menyeru supaya seluruh kekuatan Pemuda PAS digerakkan bagi menjayakan demonstrasi raksasa yang berupa Sambutan Ulang Tahun ke-49 Perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ini.

Sambutan yang telah dua kali tertangguh ini dirancang untuk diadakan di ibu kota Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009 nanti. Penganjurannya adalah oleh GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) dengan kerjasama parti-parti politik termasuk PAS dan juga NGO-NGO.

Antara lain, demonstrasi ini adalah medan peringatan kepada Najib yang selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia telah berjanji untuk menyemak semula ISA, akta yang sejak sekian lama menjadi bahan kritikan oleh banyak pihak.

Malangnya sehingga kini tiada satu pun pengumuman atau langkah konkrit yang diambil Najib dalam menangani hal ini.

Demi menjayakan demonstrasi dan perayaan ini, Nasrudin di akhir kenyataannya meminta semua saluran penerangan PAS terutamanya ceramah, kuliah dan sesi pidato digunakan bagi menyebar luas maklumat tentangnya, supaya nanti hasrat untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 100,000 rakyat akan tercapai.

Perhimpunan besar-besaran terakhir yang pernah diadakan sebelum ini adalah himpunan Bersih dan bantahan terhadap PPSMI.

Adakah perhimpunan membantah ISA ini akan berjaya sebagaimana dua perhimpunan sebelum ini, masih terlalu awal untuk diperkatakan.

PRK MANEK URAI : UMNO TOK BREHI NOK MENE

Mohd Fauzi Abdullah, 50 atau lebih dikenali sebagai Abe Uji sah ditentang Tuan Aziz Tuan Mat pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai. Pengumuman mengenai perkara itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan raya, Haji Adnan Hussin kira-kira jam 12 tengahari.

Ribuan penyokong kedua-dua pihak memenuhi di luar pagar Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra. Biar pun berdiri di bawah pancaran terik matahari penyokong PAs tetap tidak berganjak.

Sebaliknya penyokong Umno sudah mencari tempat-tempat teduh di kawasan berdekatan.

Jumlah penyokong PAS jauh lebih besar berbanding penyokong Umno. Biar pun mereka terpaksa berjalan kaki sehingga 1.5 km, namun ia tidak menghalang keghairahan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Keadaan itu sudah memberi gambaran awal Umno seakan berdepan dengan keadaan sukar kerana kehadiran mereka yang mengiringi calon BN jauh ketinggalan berbanding calon PAS.Image

Situasi sama pernah berlaku di Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Permatang Pauh yang memperlihatkan Umno dan BN seperti kehilangan arah.

Sebaik sahaja selesai solat hajat di Masjid Jauhar mereka berarak ke tempat penamaan calon. Penyokong PAS bersesak sesak berlarak mengiringi Abe Uji dan pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden, Dato'Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang, dan Abe Uji menaiki kenderaan kemudian diikuti penyokong berjalan kaki sejauh mata memandang.

Kawalan ketat anggota keselamatan yang hanya mmebenarkan mereka yang mempunyai pas sahaja dibenarkan masuk ke kawasan sekolah. Polis juga menggunakan helikopter bagi mengawal keadaan.

ImageSejurus selepas rombongan PAS berada di khemah yang disediakan, tiba pula calon BN, Tuan Abdul Aziz Tuan Mat yang diiringi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishamuddin Husien, Dato' Seri Shafei Afdal, Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed.

Ketika mengumumkan calon yang bertanding Adnan memberitahu Tuan Aziz menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.00 pagi kemudian diikuti Abe Uji 9.18 pagi.

Sebelum itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya memberitahu terdapat satu bantahan namun ditolak pihaknya. Bercakap kepada orang ramai selepas itu Abe Uji berharap semua penyokong PAs dan Pakatan Rakyat bekerja keras bagi memastikan kemenangan PAS pada 14 Julai ini.

"Saya tidak mampu memikul seorang diri tanggungjawab ini kalau tidak dibantu penyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia merupakan satu tugas berat," katanya