16 Mei 2010

AHLI PAS PERLU BERANI BUAT PERUBAHAN

Ahli PAS di Melaka khususnya perlu berani melakukan perubahan demi kebaikan parti dalam suasana politik baru hari ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Jasin, di sini, baru-baru ini.

"Keadaan politik di Malaysia ada orang Islam tak sokong parti Islam tapi orang bukan Islam sokong kita, maka tak pelik di Melaka ini mereka yang akan menangkan kita.

"Kita perlu dekati mereka tanpa gadaikan prinsip mereka, sebab itu kita telah tubuhkan Kelab Penyokong PAS dan pertingkatkannya kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS tak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, kita sekarang ini sedang mengalami politik baru sebab itu kita perlu berubah, bukan dasar tapi uslubnya perlu berubah dan cara dakwahnya juga perlu berubah serta kita perlu berani berubah untuk kebaikan parti.

Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah parti siasah dan Gerakan Islam, PAS sangat bertuah kerana Islam menawarkan banyak petunjuk terhadap pelbagai persoalan yang timbul sebelum atau selepas memerintah yang boleh dijadikan sebagai panduan.

"Perkara yang paling penting mesti ada sifat hikmah atau kebijaksanaan, sebab itu kalau orang yang tak boleh korbankan pandangannya dia akan terpelanting dan dalam politik baru kita perlu bersedia terima dengan benda-benda baru yang tak kita temui sebelum ini," tambahnya.

Sebelum itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang dalam ucapan aluannya kesal dengan sikap beberapa individu yang tergelincir atau gagal dalam memberikan ketaatan dan kepatuhan kepada pimpinan PAS Kawasan mutakhir ini.

"Antara kegagalan itu ialah mengambil sikap ringan terhadap tanggungjawab yang diberikan, tidak wala' dan taat dengan arahan, bersekongkol dengan pihak musuh politik, lebih berminat perkara furu' daripada memberikan tumpuan perkara dasar dan mendahului pimpinan dalam sesuatu perkara," ujarnya.

PAS Kawasan Jasin juga meluluskan dua usul yang dibentangkan oleh perwakilan PAS Cawangan Kesang Tua, Ali Mahadi yang mengusulkan agar Lajnah Perpaduan Nasional di peringkat Negeri dan Kawasan diaktifkan bagi merealisasikan matlamat parti kerana usaha tersebut dilihat masih jauh ketinggalan.

Manakala usul yang ke dua ialah PAS Cawangan Kesang Tua mengusulkan agar calon PAS bertanding semula di kerusi Dewan Undangan Negeri Bemban (N24) bagi Pilihan Raya Umum yang akan datang kerana majoriti tenaga kerja yang bertungkus lumus dalam pilihan raya adalah daripada PAS.

Tiada ulasan: