Memaparkan catatan dengan label TAZKIRAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TAZKIRAH. Papar semua catatan

15 Mac 2010

HARGAI NILAI AIR MATA KITA

PERNAHKAH anda menangis?

Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri. Allah yang menciptakan ketawa dan tangis. Banyak air mata mengalir di dunia ini.

Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti. Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta.
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik yakni pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka. Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu: Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat. Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya. Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud:

Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.
1. Apabila dahinya berpeluh.
2 Air matanya berlinang.
3. Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t. Justeru, serulah air mata itu daripada persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

10 Ogos 2009

Konsep Kerja Menurut Pandangan Islam

Majoriti manusia menghabiskan masa dewasanyatiga puluh tahun atau lebih untuk bekerja selama lapan jam sehari dalam dunia pekerjaan. Dan adalah salah sekiranya berpegang kepada hakikat bahawa pekerjaan merupakan beban yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Terdapat bukti yang jelas bahawa manusia memerlukan pekerjaan malah pekerjaan merupakan salah satu aktiviti yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Sejak dari nabi Adam as hingga ke zaman kini, manusia menjadikan pekerjaan sebagai sebahagian besar daripada pusingan hidup mereka. Sememangnya pekerjaan menjadi gelanggang tempat manusia berjuang dan besraing sebagai salah satu proses memajukan diri dan menyambung usia hidup.


Dalam Islam, pekerjaan mempunyai taraf kemuliaan yang tinggi yang tidak ada tolok bandingnya dengan agama dan juga kebudayaan lain. Islam memandang tinggi setiap pekerjaan yang diakui sah dari segi hukum sebagaimana penghormatan yang diberikan oleh Rasulullah terhadap pengikutnya yang pernah mengajukan soalan kepada baginda yang bermaksud : "Hai Rasulullah, apakah pendapat tuan mengenai kerja saya? Baginda bertanya : Apakah pekerjaan kamu? Jawab orang itu : Pembuat pukat. Lalu baginda bersabda : Pekerjaan kamu adalah pekerjaan bapa kita nabi Adam as. Ia adalah orang yang pertama menjalin pukat yang diajar oleh Jibril."


Penegasan Islam tentangnya pentingnya pekerjaan dapat dilihat dalam al-Quran dan Hadith-hadith Rasulullah saw yang akan dijadikan landasan perbincangan dalam bab ini. Allah swt berfirman yang bermaksud : "Katakan Muhammad! Bekerjalah, akan dilihat oleh Allah hasil kerjamu itu, dan oleh Rasul dan oleh orang yang beriman."(Surah at-Taubah ayat 106). Menurut penjelasan Sunnah Rasulullah saw bahawa kesemua para Nabi as biarpun tinggi darjat mereka, mereka telah menjadikan pekerjaan sebagai landasan hidup masing-masing. Adam telah mengambil bahagian dalam pertanian, Nuh dalam perniagaan, Daud dalam pertukangan besi, Musa dalam penulisan, Zakaria sebagai seorang tukang kayu dan begitulah juga para nabi selain mereka.

KITAKAH PEMIMPIN YANG DICARI ??

Salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan seorang manusia adalah memimpin. Bila kita mampu memimpin diri kita ke arah syakhsiah cemerlang maka ia merupakan kejayaan bagi kita. Di samping itu, kita mesti memimpin diri orang lain agar kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah generasi Al-Quran.
Manusia sebagai Khalifah.

Setiap manusia di muka bumi ini dijadikan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah. Sama ada dia memimpin diri sendiri atau orang lain, ia dinamakan sebagai khalifah.

Ayat di atas jelas menunjukan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita sebagai khalifah atau pemimpin. Namun begitu, tidak semua mampu mentadbir dirinya dan orang lain dengan baik mengikut landasan Islam yang sebenarnya. Dunia akan kucar-kacir jika semua manusia mahu menjadi pemimpin dan enggan menjadi orang yang dipimpin atau lebih dikenali sebagai "orang bawahan". Oleh kerana itu, Allah SWT dengan sifat bijaksananya telah mengatur dan menentukan kehidupan manusia mengikut acuan keperibadian yang asal sejak dari azali lagi. Ada
segolongan manusia yang dilantik menjadi pemimpin, golongan lain sebagai yang dipimpin dan golongan yang mengadu-domba enggan menjadi pemimpin dan enggan dipimpin.

Persediaan Sebelum Menjadi Pemimpin
Perkara utama yang perlu ditekankan sebelum melangkah memikul jawatan pemimpin ialah persediaan kita sebelum menjawatnya supaya terlaksana proses pembentukan Syahsiah Berakidah di kalangan orang bawahan.

Kita wajib membuat persediaan awal di samping menempuh berbagai ujian sebelum layak digelar Pemimpin Dunia Dan Akhirat. Dalam dunia menuju ke gerbang akhir zaman, majoriti pemimpin dewasa ini sebenarnya tidak layak memimpin lantaran diri mereka sendiri tidak terpimpin dengan pimpinan dari Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka merupakan Pemimpin Dunia semata, mengejar kemewahan dunia, menindas orang bawahan, bertopengkan syaitan dalam menentukan hukum-hakam Islam dan seribu satu macam keburukan berupa keduniaan. Benar sabda Rasulullah s.a.w:-

Di sini jelas menunjukan bahawa pemimpin yang zalim termasuk di dalam keburukan agama. Sedangkan pemimpin akhirat tidak ramai dan boleh dikira dengan jari.
Terdapat banyak syarat yang menyumbang ke arah melahirkan seorang pemimpin dunia dan akhirat. Untuk memenuhi syarat-syarat ini ramai yang tewas dan kecundang kecuali beberapa orang yang sememangnya telah dipilih oleh hakim yang agung iaitu Allah S.W.T.

1) Pemimpin Berilmu
Ilmu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan pemimpin yang unggul. Tanpa ilmu,
pemimpin akan menjadi "lembu dicucuk hidung", hanya memimpin setelah diarah-arahkan oleh orang lain. Berapa ramai Perdana Menteri di serata dunia yang menjadi boneka. Menjadi pemimpin tetapi tidak memimpin. Warisan ilmu pengecut yang dimiliki oleh oleh para pemimpin menyebabkan mereka rela menjual maruah agama demi sesuap nasi?.
Maksud firman Allah SWT: "Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?". Ilmu di sini merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Seorang pemimpin yang berilmu pasti mendapat kepercayaan masyarakat untuk menangani sebarang masalah yang menimpa negara berbanding pemimpin yang tidak berilmu. Ini adalah satu hakikat yang nyata. Kedunguan pemimpin-pemimpin masa kini dalam menyelesaikan masalah dalam negara menyaksikan campur tangan kuasa asing yang sewenang-wenangnya mengubah dasar negara hatta undang-undang sama ada peraturan negara atau agama.
Untuk mengubah situasi yang telah menjadi adat ini, negara kecil seperti Malaysia contohnya harus meletakkan pemimpin yang bijak dan berilmu untuk menerajui negara supaya negara kita nanti tidak "sekandang dengan lembu-lembu yang dicucuk hidung sejak sekian lama."

2) Pemimpin Sebagai Idola Dan Pentazkirah
Di kalangan masyarakat pertengahan, mereka lebih mementingkan seorang pemimpin yang peka dengan isu-isu dunia dan bijak bercakap hal-hal keduniaan.Tanpa disedari, kita sepatutnya "dahagakan"seorang pemimpin yang bersifat universal. Seimbang antara dunia dan akhirat. Contoh tanpa bandingan tapi patut dijadikan ikutan, Rasulullah SAW mampu menjadi pemimpin dalam masa yang sama berada di tempat yang teratas dalam pemikiran dan penampilannya kepada masyarakat dan yang paling utama kepada Penciptanya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh masyarakat bawahan.
Sebagai seorang pemimpin yang menjadi idola kepada masyarakat, pemimpin seharusnya memiliki akhlak yang terpuji mengikut adab-adab kemanusiaan sejagat dan lunas-lunas islami yang tulin. Ciri-ciri pentazkirah pun harus ada pada seorang ketua bahkan ciri-ciri seorang ulama'.
Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa'dan pandai 'mentazkirah' orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Seperti kata-kata 'cakap serupa bikin'.
Contoh melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini.

3) Sanggup Menghadapi Tribulasi Untuk Mencapai Matlamat
Ujian adalah satu perkara tabi'i yang pasti 'memburu' kehidupan seorang manusia. Semakin tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t. dan di sisi masyarakat, maka semakin besar cubaan dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Berjaya atau gagal menghadapi mehnah perjuangan ditentukan oleh kekuatan asas yang terpasak dalam diri seseorang. Mereka yang lemah dari sudut material dan rohani terutamanya pasti akan tewas dengan mudah dan jatuh tersungkur di tengah-tengah medan perjuangan. Hanya pemimpin yang mempunyai kekuatan jiwa dan semangat sahaja yang tetap kekal dengan matlamat yang satu walaupun tanpa kekuatan material. “Demi sesungguh-Nya akan Kami uji kamu dengan satu cubaan, iaitu kekuatan, kelaparan dan kekurangan harta, manusia dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira bagi orang-orang yang sabar atas cubaan itu”.Al-Baqarah ayat 155.

Seperti yang telah dinyatakan, setiap manusia akan diuji. Tatkala Malaysia diuji dengan kejatuhan nilai RM, kita turut juga teruji. Bagi yang di luar kemampuan (kekurangan harta), pulang ke tanah air adalah langkah terakhir sebagai jalan penyelesain tanpa menamatkan pengajian tentunya.

Ketiga-tiga faktor di atas bakal melayakkan kita menerajui negara bahkan dunia. Tidak mustahil suatu hari nanti kita bakal menjadi polis dunia menggantikan Amerika yang mengaku berjaya memimpin dunia ke arah keamanan tetapi sebenarnya ke arah kemusnahan. Pemimpin dunia abad akan datang wajar diwarisi oleh pemimpin islam untuk 'meneutralkan' dunia sebelum menjadi padang jarak padang terkukur. Oleh itu, bersama-samalah kita berganding bahu untuk mencipta seorang pemimpin Islam yang tulin sebagaimana yang pernah diciptakan oleh ulama'-ulama' yang terdahulu.

16 Jun 2008

STRATEGI SYAITAN PROFESIONAL

Mohd Zawawi Yusoh
SYAITAN ialah musuh sejati, bukannya teman sejati. Ia tidak boleh dibuat kawan, sebaliknya kena dibuat lawan. Jika hendak bermusuh dengan syaitan, kita mesti mengetahui teknik serta sepak terajang syaitan dan konconya yang begitu taktikal, sebab tugas mereka sangat profesional menggoda dan menyesatkan manusia.Pertemuan kali ini kita ingin melihat strategi syaitan dengan pelbagai cara supaya dengan mengetahuinya kita boleh menghindari diri dan terhindar daripada godaan mereka.Antara strategi syaitan ialah:
1. Suka orang berada dalam keraguan. Ketika anda menghadapi masalah dan ragu-ragu untuk membuat keputusan, pada saat kebimbangan itulah syaitan mengganggu dan menggoda, mengarah anda untuk memilih itu dan membuat ini. Sudah tentu pilihan syaitan itu ke arah keburukan, jauh dari kebaikan. Malah, jika pilihan baik sekalipun, mereka akan mengalih orientasi dan matlamat supaya berakhir dengan keburukan. Antaranya, melakukan sesuatu bukan kerana Allah, sebaliknya untuk mengejar glamor dan pangkat. Oleh kerana bimbang gangguan syaitan ini, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tinggalkan yang meragukan, ambillah yang meyakinkan."Ini dikatakan 'believe system' (sistem keyakinan diri). Apabila ada keyakinan, hilang keraguan dan apabila hilang keraguan tertutup peluang syaitan untuk menggoda manusia. Sebab itu prinsip Islam bermula dengan keyakinan, yang bernama iman iaitu beriman kepada perkara ghaib, dosa pahala, hari akhirat dan sebagainya. Tetapi apabila rosak iman, rosaklah segala-galanya.
2. Syaitan suka orang kuat ibadat tetapi tidak ada ilmu. Beribadat dan beramal mesti berasaskan ilmu sebagai imam, manakala amal sebagai makmum untuk menewaskan syaitan. Keinginan untuk belajar tidak boleh berhenti. Sesiapa yang berasa cukup dengan ilmu yang sudah ada atau sudah rasa pandai sebenarnya dia sedang memberikan peluang dan ruang kepada syaitan menguasai dirinya.Islam bermusuh dengan kebodohan. Sebab itu ayat pertama diturunkan pada Nabi s.a.w dalam surah al-'Alaq ialah menyuruh nabi membaca. "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)."Suruhan itu bukan sekadar membaca buku dan kitab tetapi membaca fakta, data dan tanda kebesaran Allah di dalam al-Quran. Dengan membaca bererti semakin banyak kita membuka jendela ilmu serta semakin sempitlah peluang syaitan untuk melakukan tipu daya dan mengelecek manusia.
3. Syaitan menyesatkan orang yang tidak ikhlas, sebab itulah ibadat mesti dengan ikhlas, cari ilmu dengan ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, malah berjuang dengan ikhlas. Ikhlas bermakna melakukan sesuatu kerana Allah dan berasa bersama dengan Allah.
4. Syaitan sangat suka orang sombong diri, sebaliknya syaitan akan menjauhkan diri daripada orang merendah diri. Islam menggesa umatnya menjadi orang terunggul dan terhebat, tetapi jangan sampai menjadi seperti Firaun dan Namrud yang sanggup melawan 'Taukeh' (Tuhan).
Kesimpulannya kata kunci untuk melawan syaitan dengan empat huruf, iaitu 'BEST'. B merujuk kepada 'believe in Allah' (beriman kepada Allah), E ialah 'Eager to learn' (gigih untuk belajar sampai mati), S ialah 'sincerity' (melakukan kerja dengan ikhlas) dan T ialah 'towards excellence' (menggapai keunggulan).Cuma satu hal, apabila sudah berjaya jangan sombong diri, nanti makan diri.

17 Mei 2008

ZUHUDNYA SAIDINA UMAR BIN ABDUL AZIZ

Pakaian & Cara Pemakaiannya

Seorang ulama' Quraish meriwayatkan: Sesungguhnya Khalifah Umar Abdul Aziz sebelum dilantik menjadi khalifah pernah berkata: Sesungguhnya aku bimbang kalau2 rezeki yang dikurniakan Allah kepadaku tidak mampu untuk membeli pakaian2 kesukaanku. Sebelum dilantik menjadi khalifah, aku tidak pernah memakai pakaian yang dianggap masyarakat sebagai lusuh, bahkan aku sentiasa dianggap berpakaian baru.Setelah umar menjadi Khalifah, beliau telah membuang sikap & perangai demikian.

Pakaian solat
Seorang pengawalnya berkata: Suatu ketika, Umar Abdul Aziz telah solat Jumaat bersama kami dengan berpakaian yang bertampal poket depan dan bahagian belakangnya. Ketika dia sedang berehat, beliau telah di sapa seorang lelaki: Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya Allah SWT telah membuka bagi mu pintu kemewahan. Alangkah baiknya jika tuan menggunakan peluang tersebut untuk menghiasi diri dengan pakaian hebat. Umar menundukkan kepalanya sebentar, kemudian menjawab: Sesungguhnya sebaik-baik niat yang ikhlas untuk berzuhud, adalah ketika memiliki kemewahan. Dan masa yang paling sesuai untuk memberikan keampunan, ialah ketika mampu membalasnya.

Harum lagi Bergaya
Raja' bin Haiwah meriwayatkan: Sebelum Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau merupakan lelaki paling harum tubuh dan pakaiannya serta paling bergaya cara berjalannya. Setelah menjadi Khalifah, mereka telah menilai harga pakaiannya (baju, serban, kain, pakaian luaran & dalaman, kain baldu) hanya sekadar 12 dirham sahaja.
Pakaian Ketika sakit
Salamah meriwayatkan: Suatu masa aku menziarahi Umar Abdul Aziz yang sedang sakit. Aku melihat dia memakai baju yang sudah kotor. Lalu aku berkata kepada Fatimah: Wahai Fatimah, Tolong basuhkan baju Amirul Mukminin. Jawab Fatimah: InsyaAllah, kami akan laksanakan.Keesokan harinya, aku berkunjung lagi. Aku dapati bajunya masih seperti kelmarin. Lantas aku bertanya: Wahai Fatimah, Bukankah aku telah menyuruh menbasuh baju Amirul Mukminin. Sepatutnya engkau menukarkan bajunya, kerana orang ramai sentiasa mengunjunginya.Jawab Fatimah: Demi Allah, hanya baju itulah yang beliau ada.

15 Mei 2008

GEJALA PENYAKIT ROHANI

Perkataan rohani dalam bahasa melayu seringkali kita kaitkan dengan hati, kalbu, jiwa, mental, fikiran dan sebagainya yang terwujud sebagai suatu unsur peribadi manusia yang paling unik yang tidak dapat dibayangkan oleh pancaindera. Tetapi symptom atau masalah dalam kerjanya dapat dirasakan seperti menangkap dan menyimpan pengertian, mengingat, berfikir, berkemahuan, rindu, sedih, gembira dan sebagainya.Menurut Imam Ghazali dalam kitab Ihya ulumuddin bahawa roh itu ada dua makna. Pertama berupa jenis yang halus dan bersumber dari rongga hati jasmani dengan perantaraan otot-otot dan urat yang bermacam-macam tersebar ke seluruh bahagian-bahagian badan. Kedua, ianya berupa sifat halus pada manusia yang dapat mengetahui sesuatu dan dapat menangkap segala pengertian. Banyak pengertian yang dikemukakan mengenai jiwa namun begitu belum ada yang dianggap memuaskan.Keterangan tentang adanya penyakit rohani itu dikemukakan di dalam Al-Quran antaranya yang bermaksud:'Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambah penyakit mereka dan adalah bagi mereka siksaan yang pedih dengan sebab apa-apa yang mereka dustakan surah Al-Baqarah, ayat 10 .
seseorang yang sihat rohaninya akan memiliki kemampuan beramal yang tinggi, ghairah bekerja dan bersemangat untuk maju dalam kebaikan. Ini kerana orang yang mengidap penyakit rohani, akan nampak kemundurannya dalam kemampuan bekerja, hilang ghairah dan semangatnya untuk maju. Yang menonjol hanyalah kelemahan dan kemalasan. Orang yang sihat rohaninya juga mudah menangkap kebenaran, hatinya selalu dipancari (nur) kebenaran. Adapun orang yang sakit rohaninya terlihat adanya kebodohan, kelemahan dalam berfikir sehingga susah menerima kebenaran ini kerana didalam hati mereka terdapat kotoran yang menutup mata hatinya. Selain itu orang yang sihat rohaninya ialah orang yang begitu terkesan apabila mendapat nikmat dan rahmat Allah yang diterimanya dengan penuh syukur. Adapun bagi orang yang tidak pandai bersyukur dengan nikmat Allah dianggap sebagai memiliki perasaan dangkal dan kelemahan zauq. Pendangkalan rasa terhadap nikmat Allah itu boleh dipandang sebagai symptom penyakit rohani, Disamping itu terdapat ketenangan pada air mukanya berbeza dengan orang yang mengalami gangguan penyakit rohani, terdampar pula melalui sikapnya yang diliputi kegelisahan dan keluh kesah. Kegelisahan dan keluh kesah itulah yang merupakan gambaran ketidakstabilan mental.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :'Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat gelisah. Apabila bahaya mendatangan dia merasai keluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan amatlah kedekutnya. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Yakni mereka yang tetap dalam sembahyangnya' Al-Maarij, ayat 19-23.
Salah satu daripada tanda seseorang itu merasai ketenangan jiwa ialah kecenderungan mencari dan menerima kebenaran dan menolak kebatilan. Fikirannya tenang dan sentiasa mempertimbangkan sesuatu itu dengan baik. Sebaliknya orang yang liar terhadap kebenaran dan tidak senang mendengarkan mutiara-mutiara hikmah dapat dipandang sebagai orang yang terkena penyakit rohani.
Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:'Apakah di dalam hati mereka ada penyakit, atau mereka ragu ataupun mereka khuatir kalau-kalau Allah dan RasulNya menganiaya mereka. Tidak! Bahkan mereka itulah orang yang zalim. An-Nur, ayat 50.
Symptom penyakit rohani yang seterusnya ialah mengadakan prasangka yang buruk, antara lain anggapan yang bukan-bukan terhadap Allah dan RasulNya. Selain mempunyai prasangka yang buruk terhadap Allah dan RasulNya, ia juga mempunyai prasangka yang buruk dan suka curiga terhadap orang lain tanpa alasan. Berbeza dengan Sifat orang yang sihat rohaninya juga selalu rindukan ketenangan, kedamaian dan ketenteraman, berbeza dengan orang yang berpenyakit rohani kadangkala suka menghasut dan menimbulkan pergaduhan. Salah satu symptom daripada ketidak-normalan jiwa ialah sikap menaruh hati dan berkeinginan terhadap wanita-wanita yang sudah mempunyai suami. Kerana itulah, maka Allah memberi nasihat kepada isteri-isteri Nabi s.a.w.
Firman Allah s.w.t. bermaksud: 'Hai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak sama dengan seorang pun dari wanita-wanita lain jika kamu berbakti. Maka janganlah kamu berlembut kata (kepada lelaki lain), kerana akan menaruh harapan (akan timbul keinginan) orang yang hatinya ada penyakit melainkan ucapkanlah perkataan yang sopan.
Al-Ahzab, ayat 32.
Di antara ahli tafsir ada yang mentafsirkan pengertian penyakit dalam ayat tersebut sebagai syahwat zina. Keterangan ini logik kerana orang yang normal fikirannya tentu dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang halal dan mana yang haram. Orang yang berpenyakit rohani tidak akan dapat menikmati ketenangan hidup. Ini kerana hanya orang yang sihat rohani sajalah yang dapat menikmati ketenangan dan kebahagiaan. Dengan kata lain symptom ini disebutkan sebagai muhlikat, sifat buruk yang merosakkan atau ahlaqul mazmunah yakni akhlak yang tercela. Jika seseorang itu memiliki rohani yang sihat atau mental yang baik, dia akan dapat bekerja dengan tekun dan beramal kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya sebagai bakti kepada Allah dan ihsan kepada sesama manusia. Sebaliknya orang yang berpenyakit rohani, daya kerjanya lumpuh dan tidak sanggup melakukan sesuatu yang penting dan bernilai dalam pembangunan.Ahli-ahli di bidang kesihatan pada umumnya sependapat bahawa penyakit-penyakit rohani mengakibatkan berlakunya kerosakan pada jantung, tekanan darah, saraf, paru-paru dan selain itu gangguan pada mental juga boleh menyebabkan seseorang itu merasa tidak enak makan, dan tidak dapat tidur. Apabila penyakit rohani itu berlarutan tanpa ada usaha pengubatan dan pencegahan, maka akan membahayakan dirinya sendiri mahupun bagi orang lain.