24 Disember 2007

30 ahli MIC Tasek Gelugor sertai KeADILan

TASEK GELUGOR, 23 Dis (Hrkh) - Kubu kuat MIC di Bahagian Tasek Gelugor pecah apabila 30 orang ahlinya keluar menyertai Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan) malam tadi.Tindakan ahli MIC itu membuktikan Barisan Nasional (BN) bahagian tersebut kian muram kerana selama ini golongan India di Pokok Machang adalah undi penentu dalam setiap pilihan raya. Penolakan itu bermakna masa depan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Dato' Seri Shariff Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan, Shabudin Yahya tidak lagi selamat. Selama ini Dato' Seri Shariff sering mempergunakan golongan India di situ untuk meraih undi sokongan setelah banyak undi Melayu menolak dalam pilihan raya ke-10 dulu. Semalam Penasihat KeAdiLan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima borang keahlian baru daripada wakil masyarakat India K. Yatharasan sebelum berucap dalam program 'turun padang' di Parlimen Tasek Gelugor. Menurut K. Yatharasan ketika ditemui, dijangka berpuluh-puluh lagi ahli MIC dan penyokong parti pimpinan Dato' Seri S. Samy Vellu sekitar Pokok Machang dan pekan Tasek Gelugor akan berbuat demikian. Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa MIC Tasek Gelugor kecewa kerana Samy Vellu asyik memperkudakan bangsa India untuk kepentingan politik dan kroninya. Sebab itu katanya, sesiapa yang dilihat cergas dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi akan di cantas ekoran bimbang individu terbabit boleh mencabar beliau atau kumpulan yang menyokongnya. "Kami rasa tertipu dengan janji atau sikapnya yang melampau. Kami tidak suka ada pimpinan MIC yang bercakap tidak serupa bikin," ujarnya. Rakan beliau S. Raja juga kesal kerana MIC tidak membela nasib kaum India sebaliknya menjana kekayaan sendiri. Manakala T. Siva pula marah kerana banyak bahagian MIC menyimpan samseng untuk pelindung diri pimpinan. Jika hendak berpolitik biarlah dengan cara bersih bukan mengupah samseng menakut-nakutkan pengundi. Bila menang riuh rendah mengatakan rakyat tetap utuh di belakang BN padahal mereka digertak atau diperhatikan," tegas beliau. Sementara itu, Ketua Bahagian KeAdiLan Bahagian Tasek Gelugor, Haji Mohamad Hashim berkata, sejak enam bulan kebelangan ini hampir 200 ahli baru dapat dicari.
Ini menandakan program mesra rakyat berjaya mendekatkan KeAdiLan dengan rakyat yang ternanti-nanti penerangan yang jelas bukan hebahan kosong. Turut menyaksikan program penyerahan borong itu ialah Pengerusi KeAdiLan Negeri, Dato' Zahrin Hashim dan Setiausaha KeAdiLan Negeri, Haji Malek Kasim. Berceramah sama dalam majlis berkenaan ialah bekas calon PAS bagi Dun Penaga, Ustaz Sobri Arshad

Tiada ulasan: