Sejak kebelakangan ini banyak sungguh suara ketidakpuasan hati kita dengar dari kalangan saf kepimpinan BN sendiri terhadap sama ada BN ataupun Umno selaku tulang-belakang parti komponan tersebut. Kalau sebelum ini saya pernah paparkan suara-suara keras semasa Perhimpunan Pemuda MCA dan Gerakan, pernah juga Zaid Ibrahim dan Tengku Razaleigh mengkritik, tidak ketinggalan PPP, kini terbaru seorang lagi pemimpin dalam komponan BN bersuara lagi. Beliau adalah Naib Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan iaitu Sdr S. Paranjothy. Kata Paranjothy Umno khasnya Pemuda Umno memang sentiasa membakar sentimen perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Malah kata beliau isu-isu perkauman sentiasa dibangkitkan oleh Umno untuk kepentingan politik mereka khasnya di kalangan masyarakat Melayu. Lalu yang selalu menjadi mangsa adalah parti-parti komponan dalam BN yang sentiasa menjadi "punching bag" dan batu oncatan untuk Umno meluncur ke atas. Paranjothy melemparkan serangan ini dalam kenyataan 4 muka beliau berjudul "Discrimination from womb to tomb" ataupun "Diskriminasi dari kandungan sehingga ke liang lahat"! Dalam Buletin Utama TV3 tadi apabila Ketua Pemuda Umno diminta memberikan reaksi beliau terus sahaja menganggap pandangan Paranjothy itu sebagai kata-kata sumbang dan akan meminta Pemangku Presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon untuk memberikan penjelasan. Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda Gerakan dan seorang AJKnya juga turut mengeluarkan kenyataan kononnya terperanjat dengan kenyataan Paranjorthy itu. (Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin dalah anak kepada mantan Presiden Gerakan Lim Keng Yaik). Paranjothy mencadangkan agar semua 14 parti komponan dalam Bn bersatu menjadi satu parti berbilang kaum, satu cadangan yang memang sering dimainkan oleh Gerakan sebelum ini. Bagi beliau hanya dengan cara ini barulah segala bentuk politik perkauman akan dapat diatasi dan demikian juga segala bentuk diskriminasi dan manipulasi. Bagi saya cetusan politik ini membuktikan memang BN bermasalah dan memandangkan ianya kerap sangat dibangkitkan sesama mereka maka masalah itu semakin menggunung dan menunggu masa untuk meletup. Rakyat perlu menggunakan kebijaksanaan bagi menilai semua ini, kalau hak untuk bersuara dan tegur-menegur sesama parti komponan sudah tidak ada sudah dilihat dengan penuh prejudis dan dianggap menderahaka, maka apa lagi hak rakyat untuk menegur dan menuntut untuk didengar. Sudah lama kita tidak mendengar khbar berita dari bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. Tokoh yang dinaikkan di zaman Tun Dr Mahathir itu dahulu memang tidak banyak bercakap tetapi pernah mencetuskan banyak kontroversi. Sebagaimana beliau yang tidak banyak becakap, datang dan perginya juga secara senyap-senyap tidak banyak diketahui orang. Tetapi sekali beliau bercakap, sehinggakan PM terpaksa mengulas dalam waktu perdana siaran berita jam 8.00 malam tadi. Apa kata Daim sehingga mengundang reaksi spontan Dollah? Kata Daim sebagaimana dilaporkan dalam The Star hari ini yang diceduk dari temuramah eksklusif beliau dengan The China Press, kerajaan BN perlu beri perhatian dan tumpuan kepada 3 buah negeri yang beliau sifatkan sebagai "hotspots". Negeri-negeri itu bukannya Kelantan atau Terengganu, tetapi 3 buah negeri yang beliau maksudkan adalah Kedah, Pualu Pinang dan Selangor. Antara faktornya kata beliau, jika di Selangor golongan kelas pertengahan ramai yang tidak berpuas-hati dengan beberapa keputusan pihak kerajaan. Akhbar The Star tidak menghuraikannya tetapi bagi saya di Selangor masalah terbesar rakyat adalah bagaimana mahu mengharungi hidup dalam suasana kos hidup yang tinggi dan mencengkam. Antara negeri yang termaju di Malaysia adalah Selangor sejak zaman-berzaman, namun risiko pembangunan pesat adalah kenaikkan kos hidup yang tinggi yang masalahnya tidak setimpal dengan pendapatan. Pulau Pinang beliau sifatkan sebagai sebuah negeri yang paling aktif berpolitik. Dasar-dasar kerajaan negeri sering dihalusi oleh rakyatnya dan jika BN tidak beri perhatian kepada rungutan dan ketidakpuasan hati rakyat, tidak mustahil "angin perubahan" akan bertiup di negeri ini. The Star tidak pula menjelaskan mengapa Kedah juga termasuk dalam "hotspots" yang beliau maksudkan. Mungkin rakyat di sana telah bosan dengan kerajaan yang didominasi Umno yang gagal memenuhi keperluan mereka. Mungkin faktor Tun Dr Mahathir kuat bermain di Kedah. Mungkin rakyat Kedah mahukan kerajaan yang lebih berjiwa rakyat. Apa pun pandangan Tun Daim ini terus diberi respons oleh Abdullah ketika ditanya oleh para wartawan. Kata Abdullah kita akan beri perhatian kepada negeri-negeri ini dan menghargai pandangan Tun Daim. Pandangan Tun Daim ini jelas menambah kusutkan lagi Abdullah. Beliau sebelum ini dikatakan berhadapan dengan kecenderungan masyarakat Cina untuk memberi sokongan kepada pembangkang pula kali ini, ditambah dengan ketidakpuasan hati masyarakat India ekoran isu Hindraf. Kini masuk pula tiga negeri ini, itu beluam lagi mengambil kira Kelantan dan Terengganu.Mungkinkah BN di bawah Abdullah akan menghadapi gerhana yang lebih teruk dari zaman Tunku pada tahun 1969 atau zaman Tun Dr Mahathir pada tahun 1999?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan