06 Disember 2007

Dah Tau Haram .. Yang Biarkan Buat Apa ??

Setelah memakan banyak mangsa dan telah berlarutan sejak sekian lama, akhirnya kegiatan “gores dan menang” diharamkan berkuatkuasa mulai hari ini (Isnin). Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan perkara itu berkata, kegiatan itu diharamkan kerana banyak membawa kemudaratan kepada pengguna. Malah lebih membimbangkan katanya, peraduan "gores dan menang" didapati telah menular di kawasan luar bandar dan ramai pengguna di kawasan itu terpedaya dengan kegiatan syarikat yang menjalankan kegiatan itu dan menawarkan barangan tidak berkualiti. Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, Mohd Shafie berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 6,903 kes difailkan di Tribunal Tuntutan Malaysia dan kes gores dan menang adalah kes paling banyak difailkan iaitu 1,393 aduan, diikuti kes pembelian kenderaan sebanyak 529 kes. Sementara itu, menurut kenyataan kementerian hari Isnin, penyalahgunaan peraduan "gores dan menang" banyak dilakukan oleh syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung. "Pelbagai strategi dan modus operandi yang berbeza-beza digunakan dalam usaha mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada orang ramai. Antaranya melalui penawaran baucer, kad gores dan cabutan bertuah," menurut kenyataan itu. Sejak 2005 hingga Oktober lepas, sebanyak 20 lesen jualan langsung telah dibatalkan kerana menyalahgunakan lesen dengan menjalankan aktiviti gores dan menang. Pada 2005, sebanyak 41 kes dikesan dan diambil tindakan dengan hasil nilai rampasan RM790,450; tahun lepas 51 kes (nilai rampasan RM1.2 juta) manakala bagi tempoh Januari hingga September lalu, terdapat 53 kes dengan nilai rampasan RM2.3 juta. Aduan banyak diterima daripada orang ramai mengenai skim cepat kaya, cabutan bertuah dan penyalahgunaan taktik gores dan menang. "Kementerian akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membanteras penipuan gores dan menang, skim cepat kaya serta penipuan jualan langsung yang lain di samping meneruskan kempen kesedaran pengguna dan menjalin kerjasama dengan jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," menurut kenyataan itu. Orang ramai dinasihatkan membuat laporan kepada kementerian melalui emel: e-aduan.kpdnhep.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau SMS ke 32255 atau di semua pejabat cawangan kementerian di seluruh negara. – 3/12/2007

Tiada ulasan: