10 Disember 2007

Hakim lulus bil, peguam dan aktivis dibebaskan

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Permohonan bil kesemua sembilan peguam dan aktivis yang ditangkap semasa perarakan semalam telah diluluskan oleh hakim. Kesemua sembilan yang ditahan semalam dilepaskan tanpa dibebaskan petang tadi selepas kes tersebut dibicarakan. Edmund Bon dikenakan ikat jamin RM1,000 manakala lapan yang lain dikenakan RM2,000 setiap seorang. Menurut salah seorang anggota pasukan peguam Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Majlis Peguam, Fadiah Nadwa Fikri, hakim telah menetapkan 28,29 dan 30 Disember sebagai tarikh sebutan perbicaraan kes tersebut. "Alhamdulillah, semua telah dapat diikat jamin, meskipun terdapat kemungkinan permohonan tersebut tidak diluluskan," jelasnya kepada Harakahdaily sebentar tadi apabila diminta mengulas mengenai perbicaraan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta pagi tadi bagi mendengar permohonan bil kesemua yang ditangkap semalam. Dalam kejadian semalam, mereka yang ditahan adalah N. Surendran, Latheefa Koya,Eric Paulsen, R Sivarasa, Amer Hamzah, Anthony Andu, Norazah Othman dan seorang aktivis yang masih belum dikenalpasti. Katanya, kesemua mereka didakwa atas kesalahan mengadakan perhimpunan haram serta melakukan kemudaratan awam. Kira-kira 100 peserta termasuk para peguam menyertai perarakan yang dianjurkan oleh sekumpulan peguam yang menggelarkan diri mereka, 'Lawyers for Freedom of Assembly'. Perarakan yang diadakan semalam bermula dengan lancar seawal jam 8 pagi bertempat di pusat membeli belah Sogo menuju ke bangunan Bar Council atau Majlis Peguam yang terletak berhampiran Pasar Seni. Program Festival Hari Hak Asasi Manusia anjuran Majlis Peguam ini turut disertai parti politik seperti PAS dan KeADILan serta beberapa NGO seperti Gerakan Mansuhkan ISA dan CIJ.
Hadir sama, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah dan koordinator Suara Rakyat Malaysia, Arutchelvan.

Tiada ulasan: