10 Disember 2007

Tamatkan segera 'serangan' kerajaan ke atas rakyat - Anwar

Pelbagai pihak menyifatkan penahanan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua, 12 anggota Unit Amal dan lapan aktivis hak asasi manusia sebagai satu tindakan yang menutup ruang demokrasi secara total.Ironinya penahanan rakyat, aktivis dan pemimpin pembangkang secara 'pukal' atas alasan berhimpun secara aman untuk menyatakan hak kepada kerajaan hanya memperlihatkan betapa ruang demokrasi di negara ini semakin sempit. Kenyataan-kenyataan terkini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pilihan raya, tangkapan rakyat dan perhimpunan yang disifatkannya sebagai melanggar undang-undang membayangkan Abdullah mula bertindak setelah tercabar dengan kenyataannya sendiri. Jika sebelum ini Abdullah menyatakan bahawa beliau pantang dicabar dan rakyat menyahutnya dengan himpunan 100,000 rakyat pada 10 November lalu, hari ini Abdullah dilihat mahu mengotakan cabarannya itu kerana tertekan dengan amukan rakyat. Selepas beberapa hari himpunan Bersih, Hindraf mengambil langkah turun ke jalan raya, dan 9 Disember (semalam) aktivis anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pula menyahut cabaran Perdana Menteri. Penahanan secara besar-besaran ini dilihat seakan mengulangi operasi lalang dan benarlah seperti yang pernah dijangka oleh Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar pertengahan tahun 2007 bahawa tindakan yang sinonim dengan Operasi Lalang akan berlaku pada tahun ini. Semuanya gara-gara kecenderungan rakyat untuk melihat satu pembersihan ke atas sistem pilihan raya yang bersih dan adil selain hak kebebasan rakyat yang terjamin dalam amalan demokrasi, rejim Abdullah terpaksa bertindak menutup suara itu. Lalu amukan rakyat dibalas dengan asakan polis semata-mata untuk menakutkan rakyat dan mengkhabarkan kepada rakyat bahawa 'ini bukan budaya kita' meskipun Umno sering melakukannya sebelum ini. Bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) suara rakyat hanya boleh didengar melalui saluran mereka sahaja dan himpunan yang pernah disegarkan oleh pemimpin mereka sebelum ini telahpun diharamkan dengan fatwa mereka sendiri. Kenyataan Abdullah bahawa beliau tidak memilih kasih dalam bertindak sememangnya benar kerana jika beliau memilih kasih, tentunya menantunya, Khairy Jamaluddin akan diarahkan untuk ditangkap. Benar Abdullah tidak memilih kasih tetapi memilih dari kalangan yang dikasihi (termasuk Khairy) untuk dibela meskipun pernah juga menganjurkan himpunan di jalan raya. Penulis bersetuju dengan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam blognya yang menyatakan, individu yang mengepalai perhimpunan aman menggambarkan janji-janji kosong yang telah Perdana Menteri laungkan kononnya Malaysia harus dipuji amalan demokrasinya.
Seperti kata Anwar, alasan yang dangkal dan tidak masuk akal kononnya perhimpunan lebih 100 orang peserta mendatangkan sebarang musibah kepada keselamatan awam, menjadi satu pembuktian sahih bahawa undang-undang telah digunakan di Malaysia untuk mencabar kebebasan dan menekan hak demokratik untuk berhimpun secara aman.
Bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu, individu-individu yang ditahan adalah di antara rakyat Malaysia yang paling patriotik dan telah mendedikasikan kehidupan mereka untuk menjunjung kedaulatan undang-undang.
Di sebalik kesamaran pembuktian kononnya mereka merancang untuk mengganggu keselamatan awam, penahanan mereka menggambarkan tidak ada selain daripada taktik kolot yang digunakan oleh kerajaan Malaysia, katanya.
"Sayugia saya turut menegaskan betapa kerajaan perlu menamatkan serangan mereka ke atas hak berhimpun secara aman yang dijamin perlembagaan," katanya.
Hal yang sama turut disetujui oleh Ketua Penerangan Wanita KeADILan, Elizabeth Wong pula menyifatkan, penahanan Mohamad Sabu, Tian Chua dan beberapa individu serta aktivis hak asasi manusia adalah satu kesilapan besar yang dilakukan kerajaan.
"Jika kerajaan percaya bahawa tindakan mereka ini akan dapat menakutkan kami, dan menghalang kami daripada mempertahankan hak kami untuk berkumpul dengan aman, maka mereka telah membuat kesilapan yang besar," kata Wong.
Tian Chua telah ditahan pada hari Ahad lalu, selepas mengadakan pembentangan di satu forum hak asasi manusia di Johor Baru, sementara Mohamad Sabu pula ditahan semasa majlis perkahwinan anaknya di Ipoh.
Kedua-duanya telahpun dibawa balik dalam tahanan polis ke Kuala Lumpur, dan kini sedang dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta bersama 12 lagi ahli Unit Amal PAS atas tuduhan ‘berkumpul dengan tidak sah’.
Kata Wong lagi, laporan media eletronik pro kerajaan pada pukul 8.00 malam tadi bahawa Tian Chua telah dibebaskan dengan ikat-jamin polis satu pembohongan yang nyata.
Wong juga mengecam gangguan yang dibuat terhadap Majlis Peguam Malaysia, lebih-lebih lagi penahanan peguam-peguam dan aktivis pada pagi Ahad lalu, semasa mereka sedang mengadakan perarakan untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.
Beliau juga mengecam penahanan beberapa peguam termasuk, R.Sivarasa, Latheefa Koya dan Amer Hamzah serta aktivis hak asasi manusia yang lain dalam himpunan tersebut.
Wong juga berkata bahawa Biro Penerangan telah dimaklumkan bahawa seorang lagi ahli Majlis Tertinggi KeADILan, N. Gobalakrishnan, telah juga ditahan pada hari Ahad.
Katanya Gobalakrisnan dikatakan dibawa menghadap Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini sebagai individu ke-32 yang akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh seorang pegawai polis semasa perarakan Hindraf yang lepas.
"Ini merupakan kongkongan terbesar ke atas suara-suara demokrasi sejak Perdana Menteri mengambil alih kuasa empat tahun yang lalu," katanya,
"Tidak mungkin kerajaan tidak sengaja dalam melakukan penahanan besar-besaran dan gangguan yang makin meningkat dalam beberapa minggu yang lepas ini.
Nampaknya seperti kerajaan telah memulakan satu operasi terperinci untuk menghapuskan semua bentuk bangkangan, daripada Bersih dan Hindraf hinggalah ke Majlis Peguam Malaysia, katanya.
"Kami percaya bahawa Abdullah Badawi mungkin telah pun cukup terdesak untuk mengarahkan penahanan Anwar Ibrahim, bersama-sama dengan pemimpin pembangkang yang lain, iaitu Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang kesemua mereka juga telah hadir di perarakan Bersih itu," katanya lagi. Beliau juga menyeru kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia, lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia merupakan ahli Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. "Jika kerajaan tidak mampu memenuhi tanggungjawab mereka dalam mempertahankan dan mendaulatkan kebebasan asasi di Malaysia, maka Malaysia sepatutnya mengosongkan tempatnya dalam Majlis Hak Asasi tersebut," tegasnya lagi. Begitu juga, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shahrin yang melihat bahawa tindakan terdesak kerajaan Abdullah ini memperlihatkan kerajaan hari ini gila kuasa. "Ayuh kawan-kawan turun beramai-ramai 11 Disember ini di Parlimen.Tunjukkan kuasa rakyat kepada penguasa 'gila kuasa' Parlimen umpama pusat kuasa sesiapa yang gila dan korup menzalimi rakyat harus berasa gentar bila jeritan rakyat sudah terdengar menghampiri istana," katanya

Tiada ulasan: