17 Disember 2007

Hiburan melampau, Islam Hadhari hanya lakonan

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Perlaksanaan Islam Hadhari oleh kerajaan Umno-BN adalah gimik politik semata-mata bagi mengelirukan rakyat terhadap perjuangan sebenar yang dibawa oleh Umno-BN.Ini termasuklah menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal, seperti yang berlaku dalam fatwa penganjuran program karnival Jomheboh oleh Majlis Fawa Kebangsaan. "Matlamat dan dasar Umno-BN tidak berubah walaupun mereka kini mencanangkan pendekatan baru pada era pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi," ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin kepada Harakahdaily. Hal ini ujarnya membayangkan konsistennya dasar sekular yang dibawa serta menjelaskan hakikat Islam Hadhari, yang dikatakan Islam moderate atau sederhana itu sebagai fahaman yang menyimpang daripada Islam yang sebenar. Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang tidak mengambil serius mengenai pemantauan program hiburan yang melampau serta menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Tambahnya, gejala sosial melalui penganjuran program hiburan serta memperkasakan budaya 'lagha' iaitu berhibur dengan melampau masih berterusan dan hebat adalah kesinambungan daripada dasar Umno-BN yang lama walaupun pelbagai nama dicipta bagi mengaburinya. Abdul Ghani mengulas mengenai tindakan kurang sopan artis semasa konsert 'Live n Loud KL 07' pada 28 November lalu. Kontroversi bermula pada malam R&B Nite di Stadium Negara apabila K-Ci & Jojo membuka baju dan memasukkan tangannya ke dalam seluar. Lil G Of Silk turut mencemarkan persembahan dengan aksi kurang sopan ketika menari bersama dua penonton wanita. "Jangan mudah terpedaya. Apa yang dilakukan oleh Abdullah kini adalah untuk mengukuhkan kezaliman yang sedang dilaksanakan oleh rejimnya bagi memelihara keselamatan Umno-BN, bukan keselamatan negara," kata Abdul Ghani. Jelasnya, meskipun terdapat garis panduan perlaksanaan hiburan dalam Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia tidak cukup untuk membasmi masalah gejala sosial yang kini kian meruncing. Abdul Ghani berkata, tidak cukup dengan itu Abdullah sebagai Perdana Menteri yang sering bercakap tentang Islam seolah-olah mempermainkan tuntutan amar ma'aruf nahi mungkar yang menjadi tuntutan kepada pemerintah Islam yang berkuasa mencegahnya. "Inilah kesan daripada dasar Umno-BN yang mengasingkan Islam daripada politik dan pemerintahan Islam. Yang menjadi mangsa kepada keadaan adalah rakyat dan negara itu sendiri," tegasnya

Tiada ulasan: