11 Disember 2007

Mohamad Sabu, Tian Chua, lima peguam antara dihadap ke mahkamah


KUALA LUMPUR 10 Dis. – Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan seorang lagi pemimpin kanan PKR, N. Gobalakrisnan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu kota pada 10 November lalu. Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.Turut didakwa atas tuduhan sama dan pertuduhan pilihan ialah pemandu, Mohamad Zad Abdullah, 39; penoreh getah, Taib Abdullah, 33; dua remaja masing berusia 17 dan 16 tahun; penganggur Mohamad Abi Salam Arifin, 24, dan pekerja kampung, Ishak Othman, 33.Lelaki-lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebelah bangunan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada kira-kira pukul 1 tengah hari 10 November lalu.Lapan lagi didakwa atas pertuduhan yang sama di Jalan Raja Laut di sini pada kira-kira 3.50 petang hari yang sama.Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri mendakwa mereka di mahkamah.
Selain tuduhan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Mohamad Sabu, Tian Chua, Gobalakrisnan dan para penyokong pembangkang itu juga didakwa di bawah pertuduhan pilihan kerana ingkar perintah untuk bersurai yang diberikan oleh Cif Inspektor Riduan Khalid di Jalan Istana Baru di sini pada pukul 3.05 petang.
Bagi pertuduhan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun jika disabitkan kesalahan.Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.Rozana menetapkan kes itu dibicarakan selama empat hari bermula 11 Februari depan.Antara peguam yang mewakili para pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu ialah Mohamed Hanifah Maidin, Ranjit Singh, C.H. Lai, G.K. Ganesan, Rajpal Singh dan S. Kartigesan.Sementara itu, lima peguam dan empat aktivis hak asasi manusia dihadapkan ke sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, juga dengan Abdul Gani sendiri mengetuai pasukan pendakwaan, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram ‘People’s Freedom Walk’ sempena Hari Hak Asasi Manusia di sini pagi semalam serta menghalang penjawat awam daripada menguatkuasakan undang-undang.
Lima peguam yang didakwa itu ialah K. Sivarasa, Latheefa Beebi Koya, Amer Hamzah Arshad, N. Surendran dan Edmund Bon. Empat aktivis pula ialah Johny Andu @ Abu Bakar Adnan, Eric Paulsen, Noorazah Othman dan seorang warganegara India, Ashraf Ali Sadakatullah.Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.Empat peguam termasuk Sivarasa, Latheefa, Amer Hamzah, Surendran dan empat aktivis didakwa bersama-sama sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan melakukan mudarat awam di hadapan bangunan Kamdar, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini antara pukul 8.10 pagi dan 8.50 pagi, semalam.
Seorang lagi peguam, Edmund Bon, 33, pula didakwa atas tuduhan menghalang penjawat awam iaitu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada menurunkan kain rentang di hadapan bangunan Majlis Peguam, Jalan Leboh Pasar Besar di sini pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.Para peguam yang mewakili mereka antaranya ialah P. Puravelan, Tommy Thomas dan K. Ragunath.Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 atas tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang pada masa dan tempat yang sama.Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama iaitu hukuman didenda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun.Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh terus menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan mengetahui perhimpunan itu telah diarahkan bersurai.Mereka didakwa di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan telah mengingkari perintah untuk bersurai oleh Supritendan Che Hamzah Che Ismail pada waktu dan tempat yang sama.Abdul Gani yang mengetuai pendakwaan membantah sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh di kedua-dua Mahkamah Sesyen itu. Beliau berhujah bahawa perbuatan menyertai perhimpunan haram serta enggan mematuhi arahan pihak berkuasa boleh mencetuskan huru hara dan mengancam keselamatan negara.Peguam Negara berpendapat sekiranya tertuduh dalam kedua-dua kes itu dibebaskan dengan ikat jamin, mereka akan mengulangi perbuatan yang sama dengan menyertai perhimpunan haram pada masa akan datang.Beliau berkata, nama Mohamad Sabu dan Tian Chua tersenarai dalam satu laman web sebagai antara orang yang akan menyertai perhimpunan di hadapan Parlimen, esok.(Perhimpunan itu dikatakan akan diadakan bagi membantah pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi menaikkan had umur bersara anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.)Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Mohamad Sabu dan Tian Chua masing-masing dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.Tertuduh yang lain termasuk lima peguam dan aktivis masing-masing dibenarkan jamin antara RM1,000 dan RM3,000.Komathy kemudian menetapkan perbicaraan kes yang dikendalikannya selama tiga hari bermula 3 Mac 2008.

Tiada ulasan: