10 Disember 2007
Pecat Semua Sekali !!!!
KECEWA dengan prestasi skuad negara yang terpaksa pulang awal dari Korat, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, mahu bedah siasat dan laporan lengkap disediakan bagi mengetahui punca kegagalan itu. Baginda bertitah, laporan awal juga dinantikannya daripada Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin yang menyaksikan semua aksi negara selain jurulatih kebangsaan, B Sathianathan. “Saya sedih dengan keputusan yang diraih Malaysia ketika menentang Singapura kerana kita mendahului permainan hingga ke minit ke-79 tetapi akhirnya seri 1-1. “Kita kena buat bedah siasat berhubung prestasi di Korat dan saya mahu dengar apa kata timbalan saya dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman yang balik hari ini (semalam). “Selepas itu, saya mahu laporan lengkap daripada jurulatih dan pengurus pasukan,” titah baginda di Rompin, semalam. Malaysia mensia-siakan peluang terakhirnya dalam kancah pusingan awal acara bola sepak Sukan Sea Korat apabila sekadar seri dengan Singapura 1-1 di Stadium Surapala Keeta Sathan, Universiti Teknologi Suranaree, petang kelmarin.Selepas terselamat apabila anugerah sepakan penalti Singapura diselamatkan penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein pada babak pertama, Mohd Amirul Hadi menjaringkan gol pendahuluan negara pada minit ke-72. Namun kelekaan pemain negara yang sudah percaya mampu memenangi perlawanan menyaksikan pemain gantian Singapura, Agu Casmir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-79 untuk membolehkan pasukannya layak ke separuh akhir. Malaysia menamatkan cabaran peringkat awal Kumpulan B dengan hanya empat mata selepas menang 4-0 ke atas Laos dan kalah 1-3 di tangan Vietnam. Sultan Ahmad Shah bagaimanapun bertitah di sebalik rasa dukacita dengan prestasi skuad kebangsaan - terutama kekalahan di tangan Vietnam - baginda tidak akan mengaku kalah dalam usaha untuk terus membangunkan mutu bola sepak negara.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan