10 Disember 2007

Polis pergiat tangkapan peserta himpunan Bersih

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Hrkh) - Polis kini sedang giat menangkap para peserta yang terlibat dengan perhimpunan Aman Rakyat anjuran Bersih pada 10 November lalu. Harakahdaily dimaklumkan oleh salah seorang peguam yang mengendalikan kes tangkapan tersebut, Fadiah Nadwa Fikri, setakat ini polis telah menangkap beberapa individu bersabit dengan perhimpunan Bersih. "Yang terbaru ialah dua orang individu iaitu Mohamad Hasri dan Fathullah yang ditangkap di Balai Polis Tun HS Lee hari ini," katanya. Kesemua yang ditangkap akan dibicarakan pada jam 9 pagi 10 Disember, esok di Mahkamah Jalan Duta. Pada 4 Disember lalu, sepuluh individu yang terlibat menyertai perhimpunan aman rakyat anjuran Bersih pada 10 November telah dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan. Walau bagaimanapun mereka tidak dapat menghadirkan diri. Semua mereka telah dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) pada hari ini oleh seorang pegawai polis melalui panggilan telefon. Perkara ini dimaklumkan peguam yang mewakili mereka, Zulkarnain Luqman yang menghubungi Harakahdaily. "Kesemua mereka tidak dapat hadir disebabkan ia merupakan 'short notice' atau panggilan mengejut oleh polis, dan mereka semua perlu mengambil masa untuk hadir," ujarnya. Lagipun tambahnya, tidak ada sebarang notis atau surat yang dihantar secara rasmi meminta 10 individu terbabit hadir hari ini. "Mungkin dengan sebab itu mereka tidak hadir, tambahan pula mereka tinggal di Kedah, Besut, Pahang dan Selangor," jelasnya lagi. Sbelum ini, mereka yang ditahan pada 10 November lalu telah diikat jamin pihak polis dan dibebaskan pada hari yang sama. Bagaimanapun, mereka tetap akan hadir ke IPKKL pada 10 Disember ini bagi memperbaharui tempoh jaminan yang berakhir pada tarikh tersebut. "Kami masih tidak dapat menjangkakan apakah dakwaan yang akan dikenakan ke atas mereka semua, kerana tidak ada sebarang hitam putih," kata Zulkarnain ketika diminta mengulas bentuk dakwaan yang akan dikenakan kepada 10 individu terbabit. Menurut laporan sebelum ini, seramai 29 individu telah ditahan semasa perhimpunan, yang mana 24 daripadanya telah dibebaskan pada hari yang sama. Perhimpunan Aman Rakyat tersebut telah berjaya dijalankan dengan kehadiran lebih 100,000 orang rakyat yang datang daripada seluruh pelosok negara. Walaupun diugut dan dikenakan amaran, rakyat tetap turun dengan menggunakan pelbagai mekanisme meskipun terdapat sebahagian yang dihalau pulang oleh pihak polis yang mengadakan sekatan jalan raya

Tiada ulasan: