10 Disember 2007

Mohamad Sabu dikepung dan ditangkap polis; Tian Chua turut dicekup

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Hrkh) - Pengarah Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat anjuran Bersih 10 November lalu, Mohamad Sabu telah ditangkap polis sebentar tadi di Sunway City, Tambun, Perak
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS sebelum itu dikepung oleh kira-kira enam buah kereta peronda polis sedang dalam perjalanan membawa rombongan perkahwinan anak perempuannya menuju ke rumah pengantin lelaki. Menurut sumber, Mohamad Sabu ditangkap di hadapan Masjid Negeri dan kini masih berada di sana untuk menunggu peguamnya, Asmuni Awi tiba. Hal tersebut adalah disebabkan oleh pertikaian mengenai waran tangkap yang dikemukakan oleh pihak polis adalah salinan yakni bukan waran asal. Saya mungkin akan didakwa di bawah Akta Polis 1967 kerana perhimpunan sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily yang sempat menghubungi beliau di saat beliau sedang dikepung dan hampir ditangkap polis. Besan beliau yang sedang menguruskan kenduri perkahwinan tersebut juga turun ke tempat kejadian bagi memberikan sokongan kepadanya. Maklumat terkini yang diperolehi menyatakan bahawa Mohamad Sabu telah dibenarkan pulang ke Pulau Pinang dengan diiringi pihak polis dan diminta menyerah diri di balai polis Pulau Pinang. Bagaimanapun beliau beserta peguamnya masih belum memutuskan sama ada untuk menyerah diri ataupun sebaliknya.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Parti Keadilan Rakyat memaklumkan bahawa Ketua enerangannya, Tian Chua telah ditangkap oleh Ketua Inspektor Koh Fei Chew dari Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Pejabat SUARAM di Johor Bahru, jam 5:15 petang tadi.

Tiada ulasan: