17 Disember 2007

TAMATKAN RIWAYAT BN SEGERA !!

KEPALA BATAS 16 Dis. – Barisan Nasional (BN) mampu untuk terus memerintah negara kerana mempunyai rekod pemerintahan yang panjang dan berjaya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, berdasarkan pengalaman yang panjang itu, parti berkenaan berjaya memacu ekonomi dan pembangunan negara ke tahap yang gemilang.“Kerana itu kita perlu mengekalkan tradisi ini (memilih kerajaan sekarang) bagi memelihara hubungan baik antara kaum untuk memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika melancarkan Gerak Gempur BN Kepala Batas di pekarangan Wisma UMNO di sini hari ini.Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menambah, BN memerlukan mandat untuk tempoh yang lebih panjang bagi membolehkan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2020 dilaksanakan.Menurut beliau, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, BN sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan kerana itu, ia sentiasa dihormati serta dihargai.“Kita adalah parti yang sentiasa mempunyai idea yang bernas untuk membangunkan negara dan memiliki kesungguhan politik,” jelasnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu semua anggota parti bersiap sedia dan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak mengetahui bila pilihan raya umum akan diadakan.
“Saya diberitahu bahawa semua persiapan telah dibuat. Eloklah begitu, Kepala Batas ini kubu kuat BN dan kita perlu mempertahankan kubu kuat ini.“Kita ada tenaga yang banyak tetapi kerja mestilah lebih tersusun dan kerja kita tidak ada noktahnya,” tambah beliau. Pada pilihan raya umum 2004, BN mencatat kemenangan besar dengan mendapat 199 kerusi Parlimen berbanding DAP (12), Pas (6) dan masing-masing satu kerusi bagi Keadilan dan calon bebas.Sementara itu, BN menyapu bersih semua kerusi bagi Parlimen Kepala Batas dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal.Abdullah mendapat 25,403 undi menewaskan calon Pas, Khalid Rasid yang mendapat 7,281 undi. Bagi kerusi DUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim mendapat 6,707 undi menewaskan calon Pas, Subri Arshad (4,462 undi).DUN Bertam pula, Datuk Helmi Rashid memperoleh 7,615 undi menewaskan calon Keadilan, Mahamad Hashim (2,350 undi) manakala DUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin mendapat 8,941 undi menewaskan lawannya Mohd. Salleh Man dari Pas (2,653 undi).

Tiada ulasan: