Kejayaan besar Kerajaan BN adalah bijaknya mereka membazir serta menghabiskan duit rakyat. Kejayaan besar ini dapat dicapai kerana pemimpin BN mempunyai masalah memahami apa yang dimaksudkan dengan duit negara. Bagi mereka duit negara adalah seperti duit bapa mereka sendiri. Oleh itu, mereka tidak langsung dihantui rasa bersalah jika duit rakyat tidak dibelanjakan dengan betul dan teliti. Saya akan mengemukakan beberapa contoh kes yang secara jelas menunjukkan betapa mudahnya wang rakyat dibazirkan oleh BN. Bagi meredakan kegelisahan rakyat terhadap masalah salah laku, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam institusi polis, PM Abdullah Badawi telah menubuhkan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia. Suruhanjaya ini ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamed Dzaidin dan 15 anggota yang lain. Ia telah ditubuhkan pada 4 Februari 2004. Suruhanjaya tersebut telah mengemukakan 125 cadangan kepada kerajaan untuk membaiki imej polis. Salah satu cadangan utama Suruhanjaya tersebut adalah untuk kerajaan mewujudkan IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission), yang dicadangkan tarikh akhir penubuhannya pada 31 Mei 2007. Umum mengetahui betapa banyak duit yang telah dibelanjakan oleh Suruhanjaya tersebut bagi menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Sebagai rakyat, kita boleh menerima jika jutaan ringgit yang dibelanjakan oleh Suruhanjaya tersebut boleh memberi manfaat kepada rakyat iaitu pembaikan institusi polis dalam ngara ini. Malangnya ianya tidak berlaku begitu. Kerajaan bukan sahaja masih gagal melaksanakan banyak daripada saranan Suruhanjaya tersebut malah sanggup mengubah 360 darjah saranan Suruhanjaya tersebut khususnya dalam isu penubuhan IPCMC. IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya, Special Complaints Commission (SCC) pula yang hendak dibuat oleh Kerajaan BN. Tan Sri Dzaidin, Pengerusi Suruhanjaya Diraja yang begitu marah dan kecewa dengan tindakan kerajaan tersebut menyatakan: "The proposed Special Complaints Commission (SCC) now being formed by an act of parliament, was 'something entirely different' from what we recommended. The government, in its wisdom, did not accept the core recommendation of an independent oversight body." (Cadangan SCC yang digubal melalui Akta Parlimen adalah 'sesuatu yang berbeza sama sekali' daripada yang kami cadangkan. Kerajaan tidak menerima cadangan utama bagi mewujudkan IPCMC.) Tan Sri Dzaidin juga berkata IPCMC dan bukannya SCC diharap untuk menerima dan menyiasat aduan salah laku polis dan menghalang, membanteras dan menyiasat rasuah dan salah laku polis bagi meningkat keyakinan rakyat ke atas pihak polis. Salah laku didefinisikan termasuk rasuah polis, penglibatan polis dalam perbuatan jenayah dan kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur undang-undang. Nampaknya, kata Dzaidin, rasuah tidak langsung disebut dalam Akta SCC. Jelas senario terbaru ini menunjukkan Abdullah dan sekutunya dalam BN telah berbohong kepada rakyat dan sanggup membazirkan wang rakyat begitu sahaja. Seperti yang saya katakan BN amat cekap dan bijak membazirkan wang rakyat. Kita tentu masih ingat bagaimana dalam isu insinerator di Broga, Semenyih, Kerajaan BN yang di atas kebodohan mereka tidak mendengar keluhan rakyat, terpaksa membazirkan berbilion ringgit membatalkan projek tersebut. Insinerator yang seberat 1,500 tan dan menggunakan teknologi 'fluidized bed gasification' yang dikatakan terbesar di Asia ditaksirkan menelan belanja RM1.5 bilion (lebih kurang USD395 juta) untuk dibina dan RM200 juta (USD53 juta) bagi kos operasinya setiap tahun. Meskipun kerajaan tahu dan sedar projek tersebut adalah tidak "viable" dan boleh mengancam kesihatan rakyat ianya masih ingin diteruskan. Akhirnya Najib Tun Razak mendedahkan kebodohan BN dengan menyatakan keputusan membatalkan projek itu kerana kos membinanya lebih kurang USD435 juta dan bukannya kerana protes berkaitan dengan impak alam sekitar dan kesihatan. Najib berkata pembinaan insinerator bukan sahaja melibatkan perbelanjaan modal (capital expenditure) sebanyak RM1.5 billion tetapi juga kos penjagaan (maintenance costs) yang tinggi. Kalau dah tahu tinggi kenapa hendak dibina juga? Walau apa pun alasan Najib, pokoknya duit rakyat telah dibazirkan di atas perbelanjaan kerja-kerja yang telah dijalankan dan pembayaran pampasan atau ganti rugi berbilion ringgit yang kena dibayar oleh kerajaan kepada syarikat yang dikurniakan untuk membina insinerator itu iaitu konsortium daripada syarikat Jepun, Ebara Corporation and rakan kongsi tempatan iaitu Hartasuma Sdn Bhd. Selain projek insinerator Broga, BN juga berjaya membazirkan wang rakyat dalam isu pembinaan Zon Bebas Niaga Pelabuhun Klang (PKFTZ). Projek yang diselubungi oleh pelbagai kontroversi tersebut menyaksikan pertambahan kos yang meningkat sebanyak RM3.5 billion daripada kos asal. Bukan sahaja Kerajaan gagal menyiasat kegagalan projek tersebut, ia sebaliknya bersetuju pula untuk memberikan pinjaman (soft loan) sebanyak RM4.681 billion kepada Port Klang Authority (PKA). Anwar Ibrahim dalam kenyataan rasminya menyatakan "episod ini adalah satu daripada banyak contoh daripada kerajaaan yang mendedahkan konflik kepentingan, rasuah, dan salah pengurusan yang melibatkan ahli politik, ahli perniagaan dan penjawat awam." PKA telah membeli 1000 ekar Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd pada harga RM25 satu kaki persegi dengan nilai RM 1.8 billion (termasuk faedah). Kuala Dimensi telah mengaut keuntungan sebanyak RM993 juta kerana syarikat tersebut hanya membeli tanah yang berkaitan daripada Pulau Lumut Development Cooperative Berhad pada nilai RM95 juta sahaja (iaitu pada harga RM3 satu kaki persegi). Menurut Anwar, urusniaga yang menguntungkan ini melibatkan ahli politik Umno dan MCA termasuklah Pengerusi Tetap Umno pada masa ini iaitu Tan Sri Dato Seri Haji Onn Ismail, Bendahari Umno, Dato Seri Azim Mohamed Zabidi, Dato Chor Chee Heung, MCA yang juga Pengerusi KPA dan mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Tiong King Sing dan tidak ketinggalan Ahli Parlimen Bintulu. Apa yang lebih mengejutkan lagi dalam keadaan rakyat menderita dengan kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang semakin meningkat Kerajaan BN masih sibuk memikirkan bagaimana ingin habiskan duit rakyat dengan bermegah untuk membina kompleks sukan di Kota London. Isu ini menjadi bahan kritikan apabila terbocornya maklumat bahawa Kerajaan BN perlu membayar kos sebanyak RM490 juta untuk mengubah Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) kepada High Performance Training Centre (HPTC). Dilaporkan kemudiannya bahawa RM490 juta tersebut adalah kos bagi membina kompleks sukan. Apa yang lebih memeranjatkan adalah angka yang ada di minda Jawatankuasa Kabinet untuk membina HPTC hanyalah sekadar RM70 juta. Bagaimanakah ia boleh meningkat kepada 490 juta? Baru-baru ini dilaporkan permohonan Malaysia untuk mengubah sebahagian TARRC di Brickendonbury, London kepada HPTC telah ditolak oleh Jawatankuasa Majlis Kawalan Pembangunan Timur di London. Sebenarnya tiada apa yang hendak dipelikkan. Di dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan; antara lain menunjukkan bagaimana pembelian 13 item untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) meningkat sehinggai RM8.39 juta - satu nilai yang jauh daripada harga pasaran. Dilaporkan dua 'crane towers' misalnya dibeli dengan harga RM5.72 juta apabila kos sebenar hanyalah RM2.98 juta sahaja. Kementerian Belia dan Sukan juga telah membeli 17 set buku teknikal pada harga RM181,900 atau RM10,700 bagi setiap set sedangkan harga sebenar hanyalah RM417 bagi setiap set. Syabas BN, kamu memang hebat menipu rakyat yang malangnya suka pula terus ditipu oleh kamu! - tajdid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan