16 Januari 2008

PM MAIN TEKA TEKI

MADRID 15 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-12 yang diramalkan banyak pihak akan diadakan pada bulan Mac depan.Beliau berkata, pilihan raya umum boleh diadakan antara sekarang hingga bulan Mac depan atau antara sekarang hingga sebelum Mac 2009.Menurut Abdullah, pada bulan Mac ini beliau akan menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Senegal, Afrika.Sidang kemuncak OIC di Senegal akan diadakan pada 8 hingga 14 Mac ini. Katanya, beliau perlu menghadiri sidang kemuncak itu bagi menyerahkan mandat yang dipegangnya selaku Pengerusi OIC sejak sidang kemuncak pertubuhan itu di Malaysia pada Oktober 2003. ‘‘Pada sidang kemuncak itu nanti, saya akan menyerahkan jawatan yang saya sandang... takkan saya tidak hadir pula,” kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri sidang kemuncak OIC itu ketika banyak pihak membuat spekulasi pilihan raya umum akan diadakan pada bulan Mac.Bercakap pada sidang akhbar di sini semalam, Abdullah memberitahu, sehingga kini beliau masih ‘‘belum membuat apa-apa lagi’’ untuk mengadakan pilihan raya umum ke-12.Ditanya lagi sama ada pilihan raya itu akan diadakan sebelum atau selepas Mac kerana beliau terpaksa menghadiri sidang kemuncak OIC itu, Perdana Menteri menjelaskan:‘‘Biasanya setahun sebelum mandat yang diperoleh daripada rakyat pada pilihan raya yang lalu berakhir, kita akan membuat persiapan. Inilah yang kerajaan lakukan sebelum ini dan proses yang sama diteruskan.‘‘Oleh itu ia (pilihan raya umum) boleh diadakan antara sekarang atau bulan depan atau antara sekarang hingga sebelum Mac 2009. Seronok pula bila dapat tahu semua orang dah tidak sabar ... nak sangat pilihan raya.”Dalam pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004, Abdullah memimpin Barisan Nasional (BN) memenangi 198 daripada 219 kerusi Parlimen dengan undi popular sebanyak 63.9 peratus.Perdana Menteri berada di sini bagi menghadiri Forum Tahunan Pertama Perikatan Ketamadunan yang diadakan bagi merapatkan jurang antara negara dan budaya di seluruh dunia dan membentuk perkongsian baru bagi menggalakkan persefahaman sejagat.Forum dua hari yang bermula hari ini dirasmikan oleh Presiden Sepanyol, Jose Luis Rodriguez Zapatero.

Tiada ulasan: