13 Januari 2008

Isu undang Maya Karin ke Kelantan - Muslimat PAS selar Ketua Puteri Umno

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyelar mana-mana pihak yang membuat pemulauan terhadap pelakon Maya Karin hanya kerana beliau telah menerima undangan Kerajaan Negeri Kelantan bagi menjadi salah seorang panelis Forum yang membicarakan Filem Karyawan Iran terkenal iaitu Majid Majidi bersempena MiniFest Kelantan 2007 dalam Bulan Disember tahun lepas. Forum tersebut lebih bersifat ilmiah dan membudayakan ilmu dalam bidang perfileman bukanlah suatu jenayah. Apa jua perbincangan bagi mengangkat martabat serta 'value' bidang perfileman dalam konteks penerapan nilai-nilai yang baik hatta selari dengan budaya Timur dan Tamaddun Manusia mestilah disambut juga dengan cara yang baik. Tindakan mempolitikkan kehadiran Maya Karin mahupun mana-mana jua artis ke acara-acara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS sebenarnya menampakkan kejahilan pihak-pihak tersebut.
Bahkan ia merupakan satu tindakan 'desperate' mereka kerana menampakkan kepada rakyat umumnya seolah-olah pihak-pihak tersebut tidak ada perkara yang utama untuk ditangani dan dibicarakan. Sedangkan negara ini sedang berdepan dengan pelbagai kemelut ekonomi serta penyakit sosial yang memualkan. PAS tidak pernah mengenepikan golongan artis kerana PAS memberi tawaran khidmat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama mahupun ideologi politik. Justeru, tuduhan yang dilontarkan khususnya oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia hari ini (seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, m/s 9, 11 januari 2008) bahawa kononnya Kerajaan PAS Kelantan telah menganjurkan satu program serta bertindak secara bercanggah dengan pendekatan politik yang selama ini PAS perjuangankan jelas hanya menampakkan betapa Ketua Puteri Umno Malaysia itu sangat rendah tahap ilmu dan pemahaman politiknya. 'Pendekatan' dengan 'dasar' ádalah dua perkara yang sangat berbeza. Kita boleh mengunakan pelbagai 'pendekatan' mengikut keadaan semasa tetapi 'dasar' kita tetap sama dalam semua keadaan dan sepanjang masa. DMPP juga menginsafi betapa sikap dan nilai rakyat sesebuah negara dibentuk oleh pelbagai faktor. Dan salah satu faktor utama yang membentuk mereka ialah sikap juga nilai pemimpin-pemimpin politik dalam negara ini. Jika baik pemimpin maka rakyat juga akan menjadi baik. Jika pemimpin mempunyai sikap dan nilai-nilai yang buruk maka demikian jugalah nantinya rakyat itu terbentuk. Ibarat seekor ikan, bilamana busuk kepalanya maka busuk jugalah keseluruhan ikan tersebut. Justeru, mendekati setiap lapisan rakyat jelata daripada peringkat tertinggi sehinggalah yang paling rendah yang dianjurkan oleh PAS dan BA adalah tindakan bagi mengimbangi 'kebusukan' yang dibawa oleh pemimpin negara pada hari ini yang ternyata membawa pakej penyakit akhlak dan nilai peradaban paling kronik dalam dekad ini. Akhirnya DMPP mengucapkan syabas kepada Maya Karin kerana 'keberanian' beliau menerima undangan Kerajaan Negeri Kelantan. Di samping ucapan tahniah dan menghormati sikapnya untuk meningkatkan kerjayanya ke tahap yang lebih baik. DMPP juga mengajak rakan-rakan artis yang lain untuk berkunjung ke Kelantan dan jangan takut atau rendah diri untuk bersama dengan kami kerana nilai manusia di sisi Allah ialah taqwanya bukannya harta, pangkat mahupun latar belakang sosialnya.

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha Kenyataan Media
11 Januari 2008/ 2 Muharram 1429 H

Tiada ulasan: