13 Januari 2008

Pemuda PAS gerakkan 20,000 ahli untuk hadapi pilihan raya

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh) - Pemuda PAS sudah menggerakkan kira-kira 20,000 jentera pemuda bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang yang difahamkan akan diadakan pada awal Mac depan. Ketuanya, Salahuddin Ayub, berkata Pemuda menerima maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa pilihan raya umum akan diadakan awal Mac depan dan menyatakan kesediaan sayap kanan PAS itu berhadapan dengan pilihan raya bila-bila masa. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco pemuda di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang tadi. Ketika ditanya wartawan mengenai bilangan calon pemuda diletakkan sebagai calon pilihan raya umum akan datang, Salahuddin menyatakan pihaknya menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti. "Soal pemilihan pemuda untuk calon pilihan raya, saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Saya tidak melobi untuk mana-mana di kalangan pemuda diterima menjadi calon. Saya hanya ajar anak-anak buah saya supaya berkerja kuat dan gigih. Biarlah pucuk pimpinan yang menilai kegigihan mereka dan saya pasti pucuk pimpinan dapat menilai 'performance' mereka yang baik jika mahu diletakkan sebagai calon nanti," jelas beliau. Dalam pada itu, beliau turut mengatakan bahawa pemuda tidak mempunyai manifestonya sendiri, sebaliknya mempunyai satu dokumen yang dinamakan 'Dokumen Anak Muda Malaysia'. Dokumen yang dijangka akan dilancarkan pada 9 Februari depan, di sebuah hotel yang akan dimaklumkan kemudian itu merupakan salah satu antara janji Pemuda PAS kepada anak-anak muda di negara ini. Menyentuh soal isu-isu semasa yang boleh membantu pemuda meraih sokongan golongan muda, Salahuddin menegaskan pihaknya akan menumpukan beberapa isu tertentu seperti kesejahteraan hidup rakyat, hak pendidikan yang semakin terhakis, isu keselamatan rakyat serta salah laku pemimpin Barisan Nasional (BN). Sementara itu, dalam perkembangan mengenai laporan polis yang dibuat pihaknya berhubung surat yang ditulis Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Salahuddin akan menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 14 Januari depan, di Bukit Aman. Penyerahan memorandum berkenaan bertujuan mendesak pihak polis segera mengadakan siasatan berhubung kesahihan isi kandungan tersebut yang dikatakan boleh membahayakan negara dan orang ramai. "Setakat ini, selepas kita membuat laporan polis 9 Jan lalu, tiada sebarang respons diterima daripada pihak polis mahupun Radzi sendiri. Beliau (Radzi) tidak menafikan dan juga tidak mengiyakan. Justeru, kita desak polis segera siasat perkara ini," tegas beliau. Sebelum ini, Salahuddin mendakwa surat tersebut diterima melalui pos di pejabatnya. Surat tersebut merupakan surat daripada Radzi kepada Setiausaha dan Ketua-ketua Bahagian Umno dan Barisan Nasional untuk mengambil tindakan bersama ekoran keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti tersebut untuk melaksanakan satu pelan tindakan bersama terhadap 'Isu Perkauman'. "Kita berasa bimbang dan sangsi dengan isi kandungan surat tersebut yang mengandungi satu 'Pelan Isu Perkauman' yang akan digunakan oleh BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya

Tiada ulasan: