13 Januari 2008

Masa depan rakyat lebih buruk jika BN kekal memerintah - Tuan Ibrahim

TEMERLOH, 11 Jan (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan umat Islam di Negara ini akan menghadapi masa depan yang lebih buruk jika Islam sebagaimana yang diperjuangkan PAS tidak diberikan kemenangan pada pilihanraya yang akan datang. Menurutnya lambakan masalah yang menimpa umat Islam dibawah pemerintahan Umno tidak mampu diselesaikan sebaliknya akan bertambah buruk kerana dasar pemerintahan yang diamalkan Umno tidak menjurus kepada usaha pembinaan iman dan akhlak. "Kalau Islam tidak menang dalam pilihanraya akan datang ini masa depan umat Islam akan bertambah buruk dan sukar diselesaikan. Sekarang ni pun dah berpuloh ribu orang Islam murtad. Kita menghadapi masalah dengan penagih dadahnya. Kita ada masalah social yang begitu teruk. "Kalau kita (PAS) tak menang buruklah masa depan umat Islam. Pilihanraya akan datang merupakan garis sempadan yang menentukan kearah mana umat Islam nak pergi. Dengan masalah yang banyak dan lebih teruk lagi orang dah tak kenal agama mereka sendiri. Sebab itu kita kena menang," katanya. Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata, demikian dalam dialog bersama petugas pilihanraya PAS Temerloh, di Bilik Gerakan Dun Kuala Semantan, dekat sini, baru-baru ini. Tambahnya lagi, petugas PAS perlu menggunakan kesempatan dengan masa yang semakin terhad memberikan penerangan kepada masyarakat betapa perlu mereka membuat perubahan dengan memberikan sokongan kepada PAS. "Masa sudah semakin suntuk. Kita kena kerja kuat sungguh-sungguh bagi menangkan perjuangan PAS. Kita kena bersuara kalau tidak masa depan umat Islam bertambah buruk," katanya.

Tiada ulasan: