15 Januari 2008

Skandal kehakiman, Lingam kata Fairuz hubunginya melalui telefon - Saksi

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) - Saksi keempat siasatan skandal kehakiman 'Pita Lingam', Loh Mui Fah memberitahu para anggota Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes tersebut bahawa Dato' VK Lingam adalah individu yang bercakap dalam klip video berkenaan. Loh yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berkata, beliau bertanya Lingam siapakah lelaki yang bercakap dengannya melalui telefon. Lingam memaklumkan kepada beliau bahawa individu terbabit ialah Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim (bekas Ketua Hakim Negara). Menurut Loh, Lingam menerima panggilan daripada Fairuz ketika beliau berkunjung ke rumah peguam kanan itu bagi urusan guaman. Begitupun kata Loh, beliau tidak tahu apa yang dibincangkan antara Lingam dengan pihak pemanggil. Loh membuat pengakuan itu dihadapan lima pesuruhjaya yang mendengar kes tersebut yang terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor; bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong; bekas Peguamcara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh; Dato' Mahadev Shankar dan Prof Emeritus, Khoo Kay Kim. Terdahulu, Loh mengakui dalam siasatan hari ini bahawa anaknya, Loh Gwo Burnee telah merakamkan insiden ataupun pertemuan yang melibatkan perbualan Lingam dengan seorang hakim. Beliau menyedarinya setelah melihat rakaman video itu di internet dan perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh kakitangan pejabatnya pada tahun 2007 walaupun kejadian itu telah berlaku pada 2001. Anak Loh belum dipanggil sebagai saksi memandangkan beliau kini berada di luar negara. Ketika ditanya oleh peguam mengenai dua keping gambar (diserah kepada Suruhanjaya Diraja sebagai bukti) yang diambil oleh anaknya selain video klip yang dimaksudkan, beliau hanya mengesahkan bahawa gambar itudiambil oleh anaknya.
Namun, Loh tidak dapat memastikan bahawa kamera yang sama digunakan untuk merakamkan video klip yang didedahkan pihak tertentu melalui internet. Loh turut mengaku telah menulis surat pada Disember 2007 kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan kesanggupannya untuk tampil sebagai saksi siasatan kes Pita Lingam. Prosiding yang dimulakan jam 10.00 pagi menyaksikan lima orang peguam menyoal Loh sebelum ditangguhkan pada jam 2.30 petang. Peguam-peguam yang menyoal Loh telah ditegur beberapa kali oleh Haidar dan Mahadev kerana menyoal soalan yang kurang tepat, berulang kali dan tidak relevan. Malah sesetengah peguam menjalankan soal jawab seperti berada di kamar perbicaraan kes mahkamah sedangkan kata Haidar ia merupakana siasatan awam. Dalam pada itu Loh diminta mengecam kembali video klip yang dirakam pada 20 Disember 2001 di rumah VK Lingam. VK Lingam juga hadir dalam kamar bicara Mahkamah Tinggi selama seminit setengah bagi tujuan pengecaman oleh Loh. Terdahulu, Loh dalam satu wawancara dengan akhbar internet menyatakan anaknya adalah orang yang merakam klip video perbualan antara seorang peguam kanan (Lingam) dengan seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan (Fairuz). Loh seterusnya menyatakan kesediaan menjadi saksi di hadapan Suruhanjaya Diraja siasatan Pita Lingam yang bermula semalam.

Tiada ulasan: