02 Februari 2008

Khairy calon terbaik impian Perdana Menteri?



Akhirnya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mendedahkan kepada umum kriteria bakal calon Barisan Nasional yang akan dipilih dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.
Dalam kenyataanya kepada media baru-baru ini, Abdullah menyatakan bahawa Barisan Nasional hanya akan meletakkan calon yang berwibawa, bersih dan bersedia berkhidmat untuk rakyat. Dia berkata, dia juga mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih calon Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. “Kriteria yang saya tetapkan adalah lebih baik daripada apa yang dikatakan oleh menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri atau pemimpin-pemimpin lain” katanya. Abdullah mengulas kenyataan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Parlimen yang menyatakan kesediaan mereka sama ada untuk bertanding semula, tidak bertanding dan berundur dalam politik. Abdullah menegaskan, kenyatan-kenyataan mereka itu tidak mempengaruhi keputusannya mengenai siapa yang akan menjadi calon pilihan raya.
Dengan nada yang membuktikan dirinya benar-benar berkuasa, Abdullah menegaskan lagi, keputusan akhir siapa yang akan menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang akan ditentukan oleh dirinya. Ketegasan Abdullah bahawa kenyataan pemimpin politik tidak mempengaruhi keputusan beliau malahan lebih baik dari menteri besar, ketua menteri dan pemimpin lain telah 'menempelak' dan 'memperkecilkan' beberapa kenyataan pemimpin politik Umno sebelum ini. Abdullah tidak akan terpengaruh dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak yang menyebut Barisan Nasional akan meletakkan calon yang diyakini menang dan mampu diterima oleh masyarakat walaupun tidak mengetahui semua maklumat individu tersebut. Sebelum ini, Najib ada menyebut wakil-wakil rakyat yang menghadapi masalah kesihatan perlu menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak mampu menjadi wakil rakyat yang berkesan. Katanya, setiap calon wakil rakyat mesti cergas dan perlu bertenaga untuk berkhidmat kepada rakyat kerana tugas sebagai wakil rakyat adalah berat. Dia juga berkata Barisan Nasional hanya memilih calon yang boleh menangkan parti dan bukannya membuat pemilihan berdasarkan selama mana seseorang itu telah menjadi wakil rakyat.
Sebelum itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa bersedia menerima apa saja keputusan pucuk pimpinan parti termasuk tidak dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang. Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien pula menyebut calon-calon dari Pemuda Umno adalah mengambil kira soal peribadi, rekod prestasi dan penerimaan ramai terhadap mereka. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh pula bersedia untuk bertanding di Parlimen jika diminta berbuat demikian. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato' Seri Dr Muhd Khir Toyo pula menyebut bahawa wakil rakyat yang mempunyai skandal seks tidak akan terpilih sebagai calon untuk negeri ini. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Seri Azmi Khalid pula meminta media menghentikan terus spekulasi bahawa beliau akan menggantikan Tan Sri Shahidan Kasim sebagai Menteri Besar Perlis. Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato' Seri Rafidah Aziz pula mencadangkan pucuk pimpinan Barisan Nasional meletakkan sekurang-kurangnya seorang calon wanita bertanding di Kelantan. Rafidah juga yakin dirinya akan menang kerusi Parlimen Kuala Kangsar jika dirinya dipilih semula memandangkan prestasi cemerlangnya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan. Ketua Wanita Umno Pahang, Dato' Maznah Mazlan pula meminta kuota wanita negeri itu ditambah 12 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dan pelbagai pandangan daripada Menteri dan pemimpin tertinggi Umno di setiap negeri melahirkan pandangan mengenai calon dan pilihan raya. Bagi Ahli Parlimen dan Adun biasa pula, masing-masing sibuk membuat pelbagai kenyataan agar dirinya terpilih. Misalnya, Datuk Halimah Sadique bersedia untuk bertanding kerusi Parlimen di salah satu kawasan di negeri Johor. Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim menganggap banyak kerja-kerja beliau yang perlu diselesaikan kerana satu penggal tidak mencukupi. Pengundi-pengundi yang ditemu ramah oleh sebuah akhbar Melayu turut mahukan agar wakil rakyat mereka, Datuk Abu Bakar Ali yang berusia 61 tahun dan menjadi Adun sejak tahun 1986 dikekalkan sebagai calon Dun Temasek Terengganu. Hampir semua Ahli Parlimen dan Adun telah mengeluarkan pelbagai pandangan dan kenyataan walaupun berlapik dengan menyebut 'jika dipilih oleh pucuk pimpinan tertinggi parti'. Mereka 'melobi' dan masih mahu kekal tetapi kenyataan Abdullah yang cukup hebat dan dirinya sebagai 'orang yang paling berkuasa' telah menyebut tidak akan terpengaruh dengan kenyataan pemimpin politik lainnya.
Pandangan dan kreteria yang dia mahukan adalah yang lebih hebat dari pandangan pemimpin lain. Dia mahu calon Barisan Nasional yang berwibawa, bersih dan sedia berkhidmat.
Sememangnya hebat kenyataan beliau ini. Calon pilihan Abdullah yang cukup wibawa dan bersih bolehlah kita rujuk dalam lantikan Menteri Kabinet pada tahun 2006 lalu. Antara mereka yang hebat dalam jawatan menteri penuh termasuklah, Dato' Seri Azmi Khalid, Dato' Seri Mohd Effendi Nawawi, Dato' Seri Zainuddin Maidin, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansur dan Dato' Seri Radhi Sheikh Ahmad serta yang lain-lain. Timbalan Menteri yang hebat yang dia pilih adalah seperti Dato' Noh Omar, Dato' Abdul Rahman Suliman, Dato' Khamsiyah Yeop, Dato' Zainal Abidin Mohd Zin dan sebagainya. Antara Setiausaha Parlimen yang dilantik pula adalah Dato' Paduka Abdul Rahman Ibrahim dan Dato' Dr Mashitah Ibrahim yang mendakwa ada komplot mahu menjatuhkan dirinya. Pilihan Abdullah ini menyebabkan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang ada menyebut 'new line-up a disappointment'. Sesuatu yang diharapkan kabinet baru tetapi inilah yang terbaik untuk Abdullah. Begitu juga kedudukan dalam ahli Majlis Tertinggi Umno yang dilantik oleh Abdullah. Antara mereka yang bersih dan wibawa termasuklah Ketua Penerangan, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Bendahari pula adalah Dato' Abdul Azim Mohd Zabidi. Sementara ahli Majlis Tertinggi yang dilantik Abdullah termasuklah Dato' Hamzah Zainuddin dan Dato' Mohamad Norza Zakaria. Selain Abdullah yang cukup berkuasa dan selamat sebagai calon, ada seorang pemimpin lain yang cukup wibawa dan bersih sebagai persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pemimpin ini adalah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga menantu beliau, Khairy Jamaluddin. Pemimpin muda, bijak dan cukup pengalaman adalah tokoh muda yang menjadi pilihan utama sehingga hebat menyerang bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2006 lalu. Khairy juga antara pemimpin muda Umno dan Barisan Nasional yang hebat 'mencabar' pembangkang dan pengundi-pengundi Cina satu ketka dahulu. Apa yang pasti, Khairy akan menang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang walaupun mungkin dia bertanding di luar negeri Sembilan. Kerana itu, sebelum membuat kenyataan atau pelbagai pandangan, para pemimpin Umno termasuk Timbalan Presiden perlu mendengar dahulu nasihat dan pandangan Khairy menjelang pilihan raya umum kelak. Terpulang kepada pengundi dan pembangkang dalam persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum kelak. Dr Mahathir yang cukup hebat satu ketika dahulu pun terpaksa ke mahkamah kerana isu VK Lingam!

Tiada ulasan: