Sekurang-kurangnya empat nama disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Johor, menggantikan Dato' Abdul Ghani Othman yang dikatakan akan ditukarkan. Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Abdul Latiff Ahmad mendahului yang lain-lain diikuti nama-nama Dato' Nur Jazlan Tan Sri Mohamed (Ahli Parlimen Pulai), Razali Ibrahim (Ahli Parlimen Muar) dan Dr Shahruddin Md Salleh (Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani). Ghani yang dikatakan sudah bersedia bertanding di Parlimen Ledang dan mengosongkan kerusi MB dalam pilihan raya umum yang lalu bagi memberi laluan Dato' Mohamad Khaled Nordin, ditukarkan disaat-saat akhir, bagi mengekalkan kerusi MB untuk sepenggal lagi. Walaupun banyak pihak mendakwa Mohamad Khaled kemungkinan akan dinamakan semula bagi menggantikan Ghani, tetapi banyak pihak mendakwa, peluang untuk Mohamad Khaled menjadi Menteri Besar sudah berlalu. Jika Dr Abdul Latiff terpilih, dia mengulangi sejarah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang dibawa balik menjadi Menteri Besar ketika menjadi Timbalan Menteri di peringkat nasional. Dr Abdul Latiff juga bakal mencipta sejarah, mewakili kawasan Endau menduduki Menteri Besar seperti yang pernah diduduki Dato' Abdul Ajib Ahmad suatu ketika dahulu. Sementara itu, jika Nur Jazlan terpilih, ia mencipta rekod peribadi kerana suatu ketika dahulu nama bapanya, Tan Sri Mohamed Rahmat pernah disebut-sebut bakal Menteri Besar Johor. Manakala Razali Ibrahim diramalkan menggantikan Ghani atas kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Negeri Johor. Muhyiddin juga merupakan Ketua Pemuda Negeri ketika dilantik menjadi MB Johor dahulu. Tradisi anak Muar menjadi MB Johor akan diteruskan jika Razali terpilih. Mohamad Khaled juga adalah anak kelahiran Muar. Manakala Dr Shahruddin merupakan calon luar yang dilihat boleh mencipta kejutan tetapi pengalamannya menjadi Setiausaha Politik Muhyiddin selama lapan tahun dikatakan boleh menjadikan dia antara calon yang cukup berpotensi. Namun ada juga yang meramalkan Ghani akan terus dikekalkan atas kehendak istana dan kemampuannya mengemudikan WPI yang sudah dimulakan. Tidak mustahil, anak jati Muar ini meneruskan kepimpinannya kerana setakat ini tiada alasan menukarkannya kecuali 'sudah agak lama' di situ. Hubungannya yang cukup rapat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menyebabkan banyak pihak menyebut, Ghani akan terus menjadi Menteri Besar. Jika ini berlaku, ramailah yang 'terkilan' kerana 'angan-angan mat jenin' mereka tidak menjadi. Walaupun Ghani tidak begitu 'mesra publisiti' kerana sikapnya yang tidak sanggup membeli iklan di media-media cetak untuk mempromosi diri sendiri seperti orang-orang lain tetapi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri 'sukakan' sikapnya yang sentiasa merendah diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan