08 Februari 2008

SERANGAN PERTAMA BAKAL DILANCAR ???

SABAK BERNAM 7 Feb. – Barisan Nasional (BN) Selangor akan cuba memperkenalkan calon-calonnya lebih awal di tiga kawasan yang dikatakan bermasalah bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 kali ini, kata Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini.
Ini bertujuan supaya pengundi di tiga kawasan berkenaan dapat mengenali dengan lebih dekat lagi calon-calon BN yang dipilih, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat dan Sukaneka di Sungai Nipah di sini.Ditanya mengenai tiga kawasan yang dikatakan bermasalah itu, Khir yang juga Menteri Besar Selangor berkata, di antaranya ialah Sekinchan dan Sungai Pinang tetapi beliau enggan memberitahu satu lagi kawasan kerana tidak mahu menimbulkan spekulasi.Khir berkata; “Kita nak tengok dan kita telah bincang dengan pengerusi parti kawasan terlibat (ketua bahagian) dan mereka telah bersetuju untuk menggantikan calon yang kalah atau calon yang menyebabkan kawasan itu hitam atau kelabu”.Beliau berkata, calon baru akan memberi kesan yang besar kerana dipilih daripada antara yang terbaik dan dijangka mampu mengatasi kelemahan wakil BN atau pembangkang.Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi dewan undangan negeri Sungai Panjang pada pilihan raya umum kali ini, beliau berkata; “Ia bergantung pada Pak Lah.”Khir berkata; “Saya yakin sekurang-kurangnya kita dapat mengekalkan apa yang kita ada dalam pilihan raya lepas”.Mengenai sama ada senarai calon telah dihantar kepada Perdana Menteri, beliau berkata; “Senarai itu masih dalam pemikiran saya”.Pada pilihan raya umum lepas, BN Selangor menyapu bersih kesemua 22 kerusi Parlimen dan 54 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN).Khir juga berkata, masa ini adalah yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya bukan saja jentera pilihan raya Barisan Nasional Selangor sudah bersedia malah rakyat ternanti-nanti bila Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen.“Rakyat tidak pernah persoalkan pilihan raya wajar diadakan atau tidak malah apa yang kita lihat rakyat hari ini pun menunggu pengumuman Perdana Menteri bila dia nak bubarkan Parlimen”.Menteri Besar berkata, semangat ahli-ahli parti komponen cukup tinggi pada masa ini berbanding dengan beberapa pilihan raya umum dulu di mana ada parti-parti komponen agak lewat bergerak.“Kali ini saya tengok MCA, MIC telah mula buka bilik gerakan masing-masing... ini petanda baik. Wanita BN telah mula turun ke bawah.“Tak perlu persoal kesesuaian masa kita mesti siapkan jentera, kalau kita nak tunggu best time sampai bila kita tidak dapat,” katanya ketika mengulas pendapat sesetengah ahli politik yang mengatakan belum tiba masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.Khir berkata, pada kali ini nampaknya pembangkang seperti Pas tidak mempunyai banyak isu untuk dijaja dan mereka mungkin mencari kelemahan beliau sebagai modal kempen.Mereka akan mengatakan beliau mempunyai rumah di “Janda Baik, Janda Nakal” di Genting Highland, dan London untuk menimbulkan kebencian masyarakat terhadap beliau, katanya.Tujuh belas tahun Pas memerintah Kelantan sampai sekarang hukum hudud tidak dilaksanakan dan tidak ada sebuah masjid pun dibina di negeri itu, katanya.“Inilah yang mereka jaja, ramai rakan-rakan yang terpengaruh dengan Pas sudah 17 tahun kena tipu pun percaya lagi. Mereka yang percaya dakyah Pas eloklah kembali ke pangkal jalan,” kata beliau lagi.Khir berkata, sejak beliau menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Panjang banyak masjid dan surau telah dinaik taraf atau masjid baru dibina dan terkini ialah sebuah Masjid di Simpang Lima yang bercirikan seni bina Demak, Indonesia.Pada pertengahan tahun ini, Khir berkata, sebuah lagi masjid akan dibina menggunakan seni bina Iran di Pekan Selasa bernilai antara RM7 juta hingga RM8 juta.

Tiada ulasan: