08 Februari 2008

Rahman sedia tundukkan Hadi lagi

MARANG 7 Feb. - Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar bersedia mengulangi kejayaannya menundukkan Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang sekiranya dipilih bertanding di kawasan Parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
Abdul Rahman yang digelar giant killer ekoran kejayaannya pada pilihan raya umum 2004 itu berkata, beliau tidak gentar berdepan dengan orang nombor satu Pas itu.Malah, beliau yakin dapat menambah jumlah majoriti undi berbanding 163 undi ketika mengalahkan Hadi pada pilihan raya lalu."Apa nak takut? Saya sudah buktikan apabila saya menewaskan Presiden Pas itu pada pilihan raya umum 2004. Ketika itu tidak ramai orang percaya Abdul Hadi akan tewas, tapi saya berjaya melakukannya."Saya yakin mengulangi kejayaan saya tidak kira sama ada parti pembangkang meletakkan Hadi atau sesiapa saja calon mereka di kerusi Parlimen Marang," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis Sentuhan Kasih di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang di sini hari ini.Beliau yang juga ahli Parlimen Marang turut menyampaikan hadiah kecemerlangan berbentuk wang tunai kepada 37 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007.Abdul Rahman berkata, lebih 80,000 penduduk Marang mendaftar sebagai pengundi dan majoriti mempunyai keyakinan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini. Beliau memberitahu, berdasarkan pemerhatian, golongan muda yang berfikiran terbuka dan lebih toleransi menyokong UMNO dan BN malah sokongan golongan veteran juga semakin meningkat. ''Sejak mentadbir kembali Marang pada 2004, BN telah memenuhi segala janji yang telah diberikan kepada rakyat malah parti juga melakukan banyak pembangunan.''Hal ini jauh berbeza ketika Pas memerintah selama empat tahun sejak 1999.
''Saya percaya hal ini turut diakui pembangkang dalam diam, tetapi sudah tentu mereka tidak akan mengakuinya secara terang-terangan kerana itu sudah jadi tabiat mereka,'' katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dalam meletakkan calon BN di kawasan Parlimen Marang dan beliau akan akur terhadap keputusan tersebut.Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang berkata, jentera UMNO di daerah itu kini bersedia untuk bergerak dalam memastikan BN mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada pilihan raya umum nanti.

Tiada ulasan: