15 Mac 2008

Dr Agus tempelak Rais Yatim

Petikan Detikdaily Sat Mar 15, 08 1:30:50 pm MYT
Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, berkata pendapat Datuk Seri Rais Yatim itu tidak boleh dipakai kerana ia bukan syarat wajib dari segi perundangan. Kelmarin, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata BN sepatutnya boleh membentuk kerajaan negeri Perak berdasarkan jumlah kerusi terbanyak dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu. BN memenangi 28 daripada 59 kerusi DUN, manakala DAP menguasai 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) (tujuh) dan Pas (enam). Rais berpendapat, bilangan kerusi yang dimenangi tiga parti itu tidak boleh dianggap majoriti kerana bukan terdiri daripada satu parti.
Dr Agus berkatanya, pendapat yang menidakkan hak gabungan pembangkang mentadbir kerajaan Perak selepas memenangi majoriti kerusi DUN adalah tidak demokratik dan bercanggah dengan kehendak rakyat yang diterjemahkan menerusi peti undi. "Dalam konteks ini, tidak perlu kerajaan gabungan, tapi sudah memadai jika ada campuran parti pembangkang yang memberi komitmen untuk bekerjasama, sekali gus menguasai majoriti kerusi DUN.
"Hakikatnya, BN tidak cukup kerusi untuk mendapat sokongan majoriti dalam sidang DUN dan ini bakal menyukarkan pelaksanaan dasar atau pencapaian keputusan dalam isu-isu tertentu," katanya. Di Perak, masalah timbul berikutan kemenangan DAP yang memperoleh 18 kerusi, mahu membentuk kerajaan campuran bersama PKR yang memperoleh tujuh kerusi dan Pas enam kerusi. Bagaimanapun, Perlembagaan Perak memperuntukkan hanya orang Melayu/Islam boleh mengisi jawatan Menteri Besar dan DAP perlu berunding dengan rakan pembangkang lain bagi membolehkannya memenuhi keperluan Perlembagaan negeri.

Tiada ulasan: