25 Mac 2008

Isu MB Terengganu: Tindakan Idris, Umno melampau - Salahuddin


KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Tindakan Umno dan penyokong Dato' Seri Idris Jusoh dianggap sebagai keterlaluan apabila berlaku penentangan secara terang-terangan terhadap Istana Terengganu berikutan isu lantikan Menteri Besar. Terkini Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mendakwa kain rentang yang bertulis 'KAMI NAK IDRIS, NATANG' telah digunakan oleh penyokong Idris Jusoh, ditujukan kepada Sultan Terengganu. Salahuddin dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini menegaskan kain rentang yang tertulis perkataan tersebut boleh dianggap hasutan dan tidak sepatutnya berlaku apabila sesuatu keadaan tidak berpihak kepada mereka. "Seharusnya mereka bersikap 'gentleman' dalam menghadapi apa jua kondisi politik. Saya yakin dan percaya bahawa sultan dan raja hari ini menunjukkan keprihatinan mereka dan bukan disebabkan mereka ingin campur tangan. Sultan akan memilih sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar sama ada di kalangan PAS, Barisan Nasional atau DAP yang menang," katanya. Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis di Balai Polis Terengganu hari ini agar satu siasatan dilakukan siapakah dalang di sebalik tulisan kain rentang tersebut. Dalam sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Pemuda PAS, Sabki Yusuf dan Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Dato' Mohamad Shahir, Salahuddin turut menunjukkan salinan foto kain rentang yang bertulis perkataan tersebut. Jelas Salahuddin, selain diletakkan di kediaman Menteri Besar, kain rentang tersebut juga didapati digantung di tempat-tempat strategik di seluruh Terengganu. Salahuddin menegaskan beliau tidak menuduh individu atau pihak tertentu di sebalik tulisan di kain rentang tersebut, namun apa yang penting siasatan perlu dilakukan agar tidak wujud suasana yang tidak baik. "Apa yang berlaku hari ini biarlah undang-undang yang menyelesaikan, bukan dengan campur tangan atau menghina serta

memperlekeh mana-mana institusi di raja hari ini. "Jika Perdana Menteri menyatakan interpretasi perlembagaan masih berhak menyatakan kerajaan berhak mendengar pendangannya, itu interpretasi beliau," katanya. Salahuddin juga berkeyakinan sultan mempunyai penasihat undang-undang sendiri dan menggunakan undang-undang tersebut untuk melantik siapakah Menteri Besar yang diyakini. "Sultan juga 'membaca' suasana politik yang berlaku hari ini dan melihat perubahan siapa yang dikehendaki rakyat. Mungkin sudah sampai masanya sultan memilih yang terbaik di kalangan ahli dewan undangan negeri yang telah dipilih bagi memenuhi hasrat rakyat. "Jika di Perak, tiga nama dikemukakan sebagai calon MB, kenapa di Terengganu hanya satu nama sahaja dikemukakan. Persoalannya ialah kenapa Abdullah tetap mahukan Idris? Dan kenapa Umno hanya serahkan satu nama sahaja calon MB? "soalnya. Dalam pada itu sewaktu ditanya pandangannya kenapa Idris tidak layak dilantik sebagai Menteri Besar, jelas Salahuddin masyarakat sedia maklum dan 'orang kampung' juga mengetahui 'siapa Idris Jusoh yang sebenarnya'. Selain itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga percaya bahawa berdasarkan bukti yang diperolehinya, Idris terlibat dengan beberapa kes rasuah sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu. "Ya, saya memiliki fail yang tebal membuktikan Idirs terlibat dengan rasuah. Tunggu dan lihat, saya akan bongkarkan isu ini dalam sidang Parlimen akan datang," katanya. - mns

Tiada ulasan: