07 Mac 2008

Pemimpin Gerakan Ikhwan Eropah gesa rakyat Malaysia sokong PAS

Susunan: Nur Ab Rahman Thu Mar 06, 08 10:20:48 pm MYT
UNITED KINGDOM, 6 Mac (Hrkh) - Pemimpin Gerakan Ikwan Muslimun di United Kingdom, Dr Kamal al-Helbawy menggesa rakyat Malaysia supaya menyokong PAS di dalam pilihan raya umum ke-12, Sabtu ini. Tegas beliau, demokrasi dan kebebasan sepatutnya boleh memberikan peluang kemenangan kepada Islam untuk memerintah di dunia ini. Dr Kamal merupakan Pengasas Muslim British Association (MBA), iaitu penaung kepada gerakan-gerakan Islam di United Kingdom. "Kebebasan berpolitik lebih dinikmati di Indonesia berbanding Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya bersikap lebih terbuka dan adil dalam menghadapi pembangkang," katanya dalam satu wawancara bersama Kelab Maya Barisan Rakyat Malaysia Eropah di sini, baru-baru ini. Dr Kamal juga kagum dengan kepimpinan dan intergriti Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ketika mentadbir negeri Kelantan dan Terengganu. "Saya menyeru kepada seluruh pertubuhan Islam dan kumpulan nasinonalis di Malaysia supaya bersatu dan bersama-sama mendokong perjuangan yang didokong oleh PAS sebagai wadah utama untuk mencapai kemenangan Islam seterusnya membawa keadilan sejagat di tanah air. Ujar Dr Kamal lagi, kedua tokoh pimpinan PAS itu perlu menjadi pilihan rakyat untuk memimpin sebuah negara yang adil, berlandaskan Islam yang sebenar. Beliau turut menyebut nama pimpinan PAS yang lain seperti Ustaz Azizan Razak, Ustaz Hasan Shukri dan Ustaz Yahya Othman yang pernah bersama-sama beliau di dalam gerakan Islam di peringkat antarabangsa. Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan negara ini yang mengadakan pilihan raya lebih awal bagi menafikan kelayakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding. Bagi beliau, Anwar boleh dianggap sebagai pemimpin yang berkarismatik dan bersih. Sementara itu, Pengerusi Himpunan Teknorat dan Profesional Melayu Eropah (HEMAT), Dr Haji Abu Tuah Hisyam berkata, rata-rata komuniti Melayu di UK dan Eropah begitu mengharapkan perubahan dalam kepimpinan negara di Malaysia. Ini katanya kerana sudah 50 tahun rakyat diperbodohkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). HEMAT merupakan sebuah badan profesional dan teknokrat Melayu yang bekerja di seluruh benua tersebut. "Kami daripada jauh dapat melihat kebobrokan pemerintahan negara di bawah kerajaan BN. Kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat telah dirampas sewenang-wenangnya. Imej negara semakin buruk terutama di dalam media Eropah ekoran pencabulan sistem demokrasi dan beberapa penipuan dalam sistem pilihan raya ketika ini. "Pemikiran rakyat telah ditutup dengan pelbagai penipuan dan akta. Rakyat tidak lagi bebas bersuara, sedangkan kebebasan itu merupakan intipati ajaran Islam yang diamalkan secara meluas di barat sehinggakan mereka mampu menjadi bangsa yang menguasai tamadun dunia hari ini," ujar beliau yang bekerja sebagai Research Fellow di sebuah universiti terkemuka di London. Tambah beliau lagi, kemenangan pasti akan tercapai sekiranya seluruh gerakan Islam lain bersatu di bawah PAS. "Sekiranya PAS tidak mencapai kemenangan kali ini, rakyat Malaysia akan terus dibelenggu gula-gula politik Umno dan Barisan Nasional, kami di sini merayu rakyat Malaysia berilah sokongan undi kepada PAS dan Barisan Alternatif di Malaysia," ujarnya.

Tiada ulasan: