02 April 2008

Adun Sungai Rambai tambah edaran MHI untuk saingi Harakah

Zaili Muhammad

SUNGAI RAMBAI, 2 April (Hrkh) Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sungai Rambai, Hassan Abdul Rahman (BN), bertindak menambah edaran akhbar rasmi kerajaan negeri, Melaka Hari Ini (MHI) yang banyak memuatkan berita dan aktiviti Umno bagi menyaingi peranan Harakah yang berjaya mengurangkan majoriti beliau.Menurut Hassan, bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai, beliau akan memastikan semua masjid, sekolah dan warung-warung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai akan dibekalkan dengan akhbar MHI, malah kosnya akan dibiayai oleh beliau sendiri. "Dengan adanya akhbar MHI ini, masyarakat sekeliling dalam DUN Sungai Rambai akan dapat mengetahui perkembangan yang berlaku dan mereka tidak akan mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang selalu membuat pembohongan," katanya. Menurut bekas calon PAS bagi DUN tersebut, Aminuddin Abdul Jalil, tindakan menyalah gunakan akhbar rasmi kerajaan negeri sebagai alat propaganda murahan Umno adalah merupakan suatu tindakan yang tidak bermaruah. "Beliau sudah terdesak kerana risalah kempen dan peranan besar yang disumbangkan oleh Harakah telah berjaya menyedarkan pengundi dan hasilnya majoriti BN merosot pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu," kata Aminuddin. MHI adalah akhbar rasmi Kerajaan Negeri Melaka yang diterbitkan setiap hari dan dijual dengan harga RM1 senaskhah tetapi tidak mendapat sambutan daripada orang-ramai. Ini menyebabkan kerajaan negeri menanggung segala kosnya dan mengedarkan secara percuma kepada orang-ramai. Berita dan laporan yang dimuatkan di dalamnya bukanlah bertujuan menyampaikan maklumat berkenaan hal-ehwal Negeri Melaka tetapi dieksploitasikan bagi mengambarkan kebaikan dan keselesaan rakyat Melaka di bawah pemerintahan BN.

Tiada ulasan: