MEREKA yang enggan menjadikan Islam sebagai amalan dalam suri kehidupan, malah terikut-ikut dengan kecelaruan budaya dan pengaruh jahiliyah dianggap golongan tidak bertamadun walaupun hidup di zaman moden.Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, berkata generasi hari ini jangan memberikan pelbagai alasan untuk tidak mengikuti Islam kerana agama ini sudah lama bertapak."Islam disampaikan Rasulullah s.a.w lebih 1,400 tahun lalu, justeru tiada alasan mereka tidak mengetahui dan memahami ajaran Islam."Ajaran Islam wajar diamalkan sepenuhnya, bukan Islam pada sebahagian," katanya dalam ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul 1429 Hijrah di surau The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kuliah itu bertajuk 'Rasulullah s.a.w Teladan Kepimpinan' menyelusuri secara ringkas intisari sirah kehidupan Nabi Muhammad yang wajar dijadikan contoh setiap orang Islam, termasuk sudut tingkah laku, sifat dan peranan baginda sebagai bapa, suami dan pemimpin.Zamihan berkata, Rasulullah s.a.w adalah insan terbaik lagi sempurna, yang perlu dihayati kesempurnaannya itu bagi menggapai kecemerlangan dunia dan akhirat."Pada diri Rasulullah s.a.w terdapat ikutan dan contoh teladan yang baik sama ada sebagai bapa, suami atau pemimpin."Akuan kebaikan diri Rasulullah s.a.w bukannya diberikan manusia tetapi Allah, sebagaimana kata-Nya, sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik."Baginda sebagai bapa cukup penyayang. Pernah satu ketika baginda pulang ke rumah dan mendapati puteranya Ibrahim bermain di perkarangan rumah, lalu didukung puteranya berjumpa dengan isterinya, tetapi kepada isterinya baginda tidak pula marah."Nabi Muhammad s.a.w manusia romantis berbanding manusia lain termasuk Romeo dan Juliet malah dalam keadaan tenat, Nabi Muhammad s.a.w berada dalam ribaan isterinya," katanya.Beliau berkata, Baginda juga pemimpin berwibawa, mempunyai susuk badan yang sungguh sempurna, sangat baik adabnya, malah berjalan secara sopan dan pernah sahabat mengatakan apabila baginda berada di kalangan orang rendah, baginda tidak kelihatan tinggi, manakala berada dengan orang tinggi, tidak pula kelihatan rendah," katanya.Mengikuti Rasulullah s.a.w ialah dengan berpedoman kepada al-Quran dan sunnah, menguasai ilmu bermanfaat, mempraktikkan suruhan dan menjauhi larangan, menyucikan jiwa, mengutamakan kebenaran, mengasihi alim ulama, cinta kematian dan takutkan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan