Menteri Penerangan baru Ahmad Shabery Cheek begitu tidak sabar untuk memperlihatkan yang dia lebih cerdik daripada bekas Menteri Penerangan Zainuddin Maidin. Shabery mengingatkan Dr Mahathir supaya tidak mengulangi sejarah Umno tahun 1988. Dalam ertikata lain, Shabery menyalahkan Dr Mahathir kerana perpecahan didalam Umno yang membawa kepada Umno diharamkan dan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 di bawah pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Jelaslah yang Shabery, selain daripada menghidap sindrom penafian atau denial syndrome, bekas Ketua Penerangan S46 ini juga turut dijangkiti sindrom "selective memory" ataupun ingatan terpilih. Shabery antara lupa atau tidak tahu fakta, atau seperti dikatakan, buat-buat lupa fakta. Umno diharamkan apabila 11 ahli Umno memfailkan tuntutan dimahkamah bahawa pemilihan tahun 1987 tidak sah kerana terdapat perwakilan yang tidak sah. Mahkamah memilih untuk mengharamkan Umno. Kita tidak akan persoalkan keputusan mahkamah yang lepas untuk mengharamkan parti yang merupakan tonggak kerajaan Persekutuan pada waktu itu. Kita juga tidak akan debat apakah implikasi pengharaman Umno kepada negara dan orang Melayu kerana perkara ini telah lepas, walaupun kita harus mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut. Tetapi tindakan pantas dan bijak Dr Mahathir untuk mewujudkan Umno Baru telah menyelamatkan keadaan. Pada watu itu, pihak Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh mewujudkan Semangat 46 sebagai mengambil semangat asal Umno pada tahun 1946. Fakta juga akan membuktikan bahawa tangan-tangan dibelakang 11 ahli Umno itu ialah pemimpin-pemimpin Team B, yang juga pada waktu itu disokong oleh Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Apabila Umno diharamkan dan Umno Baru diwujudkan Tengku Razaleigh tidak ikut serta dan mengambil jalan menubuhkan Semangat 46. Tetapi Abdullah serta pemimpin Team B yang bertindak baling batu sembunyi tangan, termasuk Musa Hitam, telah terus memilih untuk kekal dengan Umno Baru pimpinan Dr Mahathir. Shabery sendiri menyertai Tengku Razaleigh dan berjaya menaiki tangga parti itu sampai ketahap jawatan Ketua Penerangan sehinggalah Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996 serta kesemua ahli-ahlinya secara en bloc kembali menyertai Umno. Persoalannya, Shabery yang ketika Semangat 46 dibubarkan dan menyertai Umno tanpa segan silu sebagai Ketua Penerangan parti itu berusaha meyakinkan ahli-ahli untuk bersama-samanya untuk menyertai Umno Baru atas nama penyatuan Melayu. Ketika itu, dia adalah antara pemimpin terkehadapan memuji kepimpinan Dr Mahathir. Ini kerana keterbukaan Dr Mahathir yang tidak berdendam dan seorang negarawan yang sanggup menerima kembali musuh politiknya dengan tangan terbuka. Shabery juga tidak menimbulkan pada tahun 1996 bahawa sejak tahun 1987 tidak ada demokrasi didalam Umno kerana tidak ada pertandingan presiden dan timbalan presiden. Malahan Shabery meyakinkan ahli-ahli akar umbi Semangat 46 bahawa Umno dibawah kepimpinan Dr Mahathir adalah wadah perjuangan yang paling baik ketika itu. Shabery juga turut mempertahankan tindakan Dr Mahathir memecat Anwar kerana ketika itu, dia dan Tengku Razaleigh merasakan bahawa Anwar menjadi dalang yang menyekat ahli-ahli Semangat 46 yang telah kembali kepada Umno untuk menaiki hierarki parti. Ini kerana Shabery dan bekas kepimpinan Semangat 46 percaya bahawa Anwar tahu jika dia cuba untuk mencabar Dr Mahathir, bekas Semangat 46 akan mempertahankan Dr Mahathir yang telah banyak berjasa menerima masuk kembali ahli Semangat 46 demi penyatuan Melayu. Menurut perkiraan Shabery pada masa itu menunjukkan betapa bekas ahli Semangat 46 menghargai peranan Dr Mahathir dan merasa bahawa Dr Mahathirlah satu-satunya pemimpin yang telah memberi mereka nyawa politik yang telah hampir lupus selepas parti itu memutuskan persahabatan dengan PAS. Jadi persoalannya, siapa yang sudah lupa? Dr Mahathir atau Shabery? Siapa yang tak mengenang budi di sini? Sekali lagi kepimpinan Abdullah menonjolkan seorang lagi pemimpin yang tidak ikhlas, yang melakukan dusta kerana itulah yang mahu didengar oleh Abdullah. Maka Abdullah terus dibuai oleh kata-kata manis serta sokongan oleh orang yang terdahulu dari itu telah mengeluarkan kata-kata sokongan yang tidak ternilai kepada Dr Mahathir dan didalam kes Shabery, kepada Tengku Razaleigh sendiri. Hari ini, Shabery yang pada satu ketika dulu mengangkat dan mengagungkan Dr Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab meyatukan orang Melayu pada tahun 1996 kini menukar kiblat hanya kerana diberi jawatan Menteri oleh Abdullah. Sekarang ini belang Shabery sudah jelas. Dia tidak ada rasa malu sama sekali untuk membelakangkan Tengku Razaleigh yang telah mendidik serta menatangnya seperti anak didalam menaiki tangga politik. Shabery dianggap "blue-eyed boy" Tengku Razaleigh semasa mereka didalam Semangat 46 sehingga ramai pemimpin Semangat 46 yang lebih senior berasa kecil hati kerana Tengku Razaleigh melebihkan Shabery. Tengku Razaleigh bukan sahaja melebihkan Shabery didalam arena politik malahan secara peribadi, Tengku Razaleighlah yang menampung kehidupan Shabery dan keluarganya semasa Shabery didalam kegelapan politik (political wilderness). Jika Shabery hari ini sanggup membelakangi Tengku Razaleigh yang memeliharanya seperti anaknya, adalah tidak menghairankan jika Shabery hari ini mengubah pandangannya mengenai Dr Mahathir malahan menempelaknya. Inilah jenis manusia yang tidak ada nilai murni, walau sedikitpun didalam mengejar kepentingan politiknya. Inilah pemimpin yang dicipta oleh Pak Lah. Kerana itu, bila sampai harinya Pak Lah terpaksa meninggalkan kerusi empuk Perdana Menteri dan Presiden Umno, percayalah, orang seperti Shabery yang akan paling lantang mencerca Pak Lah dan memuji pemimpin baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan